SEMALAM hari pertama orang ramai diwajibkan memakai pelitup muka di luar rumah sebagai sebahagian langkah jarak selamat lebih ketat semasa pemutus litar.
Dalam satu pos Facebook, Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, mengumumkan kini orang ramai boleh menghantar maklum balas mengenai langkah jarak selamat kepada Pejabat Khidmat Perbandaran (MSO), #OneServiceApp.
Beliau mengingatkan orang ramai agar menghantar gambar yang mereka petik sendiri untuk memastikan kes yang diketengahkan ialah yang terkini dan bukan yang telah ditangani pihak berkuasa.
"Kebanyakan rakyat Singapura memahami tentang pentingnya duduk di rumah agar langkah pemutus litar dapat berjalan dengan berkesan. Tetapi ada yang tidak mematuhi langkah tersebut," kata beliau.
Beliau turut menarik perhatian tentang beberapa kes pegawai penguatkuasaan ditampar seseorang yang tidak mematuhi langkah jarak selamat, manakala seorang duta jarak selamat pula ditumbuk oleh seseorang apabila dinasihati supaya memakai pelitup dengan betul.
"Sikap sedemikian tidak boleh diterima. Kami akan mengambil tindakan terhadap individu tersebut dan tidak akan teragak-agak melakukan yang sama sekiranya ada kejadian serupa," tegasnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg