MASALAH yang dihadapi keluarga banduan seperti kesulitan kewangan dan pengasuhan, mampu menjejas tumpuan para pesalah yang sedang menjalani proses pemulihan, kata Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Justeru, dalam menangani isu itu, Dr Faishal berkata Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) giat bekerjasama dengan rakan masyarakat menerusi pelbagai program untuk membantu dan menyokong keluarga pesalah ini.
"Sepanjang mereka dipenjarakan, pesalah ini digalak mengongsi keprihatinan mereka mengenai masalah keluarga dengan pegawai SPS.
"Sekiranya perlu, rujukan akan dibuat ke Pusat Sumber Keluarga (FRC) SPS, yang kemudian akan mengambil tindakan susulan terhadap keperluan pesalah dan keluarga mereka," jelas Dr Faishal.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Cik Nadia Samdin (GRC Ang Mo Kio) mengenai sokongan berterusan yang diterima pesalah dan keluarga mereka, di Parlimen semalam.
Dalam ucapannya, Dr Faishal berkata pesalah yang baru dipenjarakan juga digalak untuk menyertai Projek Masyarakat Reben Kuning (YRCP).
YRCP merupakan daya usaha di peringkat akar umbi yang bertujuan memberi sokongan proaktif kepada keluarga pesalah.
Sukarelawan yang dilatih akan mengunjungi keluarga pesalah ini dan akan membantu menghubungkan mereka dengan sumber masyarakat sedia ada seperti Pejabat Khidmat Sosial serta Pusat Khidmat Keluarga (FSC), jika diperlukan.
Dalam pada itu, pek bantuan yang mengandungi baucar makanan turut diagihkan setiap tahun tambah Dr Faishal.
Ini bagi membantu meringankan perbelanjaan seharian keluarga pesalah.
Keluarga pesalah yang mempunyai anak-anak yang masih bersekolah juga akan diberi baucar agar mereka dapat membeli barangan keperluan sekolah.
Bagi mengekalkan hubungan kekeluargaan, para pesalah juga berpeluang mengirimkan surat kepada anak-anak mereka dengan bantuan YRCP.
Menurut Dr Faishal, dalam masa sedekad, jumlah divisyen akar umbi YRCP telah berkembang sebanyak 89 divisyen, berbanding hanya lapan pada 2010.
Jumlah relawannya turut meningkat dari 74 pada 2010 kepada 1,200 tahun lalu. Sejauh ini, sukarelawan ini telah mendekati lebih daripada 15,000 keluarga.
Menyentuh tentang proses pemulihan, Dr Faishal berkata para pesalah mengambil bahagian dalam pelbagai program yang dapat "membantu meningkatkan pengetahuan, kemahiran, serta keyakinan mereka dalam menjaga dan membina hubungan yang lebih kuat dengan ahli keluarga mereka".
"Pesalah dan anak-anak mereka juga dapat menyertai sesi mengukuhkan hubungan yang dianjurkan oleh SPS dan rakan masyarakat," tambah beliau.
Bagi pesalah yang akan dibebaskan, Dr Faishal berkata mereka akan dihubungkan dengan seorang pengurus kes.
"Pengurus kes ini akan memberikan sokongan setelah pesalah dibebaskan berdasarkan keperluan mereka untuk berintegrasi semula dalam masyarakat.
"Ini termasuk menghubungkan pesalah dan keluarganya dengan agensi-agensi yang berkaitan seperti FSC dan rakan kongsi dari Rangkaian Tindakan Masyarakat bagi Pemulihan Bekas Pesalah (Care)," ujarnya.
"Sepanjang mereka dipenjarakan, pesalah ini digalak mengongsi keprihatinan mereka mengenai masalah keluarga dengan pegawai SPS. Sekiranya perlu, rujukan akan dibuat ke Pusat Sumber Keluarga (FRC) SPS, yang kemudian akan mengambil tindakan susulan terhadap keperluan pesalah dan keluarga mereka." - Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg