Masjid Abdul Aleem Siddique menyambut ulang tahunnya yang ke-70 dengan melancarkan buku khas pada 13 Julai.
Buku tersebut, yang berjudul ‘70th Anniversary Coffee Table Book’ atau ‘Buku Bacaan Santai Ulang Tahun ke-70’ merakamkan pencapaian masjid di Telok Kurau itu dan bagaimana ia berkhidmat kepada masyarakat sejak ditubuhkan pada 1954.
Ia turut menonjolkan peranan berterusan Masjid Abdul Aleem Siddique sebagai ruang beribadah, penjagaan masyarakat dan penglibatan antara agama.
Buku tersebut dilancarkan dalam satu majlis khas di Masjid Abdul Aleem Siddique pada 13 Julai.
Masjid Abdul Aleem Siddique juga bekerjasama dengan Kumpulan Harmoni Joo Chiat untuk menganjurkan edisi keenam Jamuan Makan Tengah Hari Harmoni bagi meraikan komitmen bersama terhadap perpaduan kaum dan agama pada majlis yang sama.
Sekitar 170 tetamu berbilang agama hadir, termasuk tetamu terhormat, Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Encik Edwin Tong, yang juga penasihat Pertubuhan Akar Umbi (GRO) Joo Chiat.
Encik Tong berkata Masjid Abdul Aleem Siddique menunjukkan Singapura, selepas ia mencapai kemerdekaan, bergantung pada pelbagai institusi yang wujud sebelum 1965 untuk bersama membangun negara.
“Masjid ini, antara banyak yang lain, adalah antara institusi yang telah berkhidmat kepada masyarakat kita dengan baik. Etos masjid ini adalah keterangkuman dan ia memperjuangkan keharmonian itu,” kata Encik Tong.
Dibina pada 1954, Masjid Abdul Aleem Siddique dinamakan sempena seorang ulama dan penulis - Maulana Shah Muhammad Abdul Aleem Siddique, yang berdakwah di Singapura dan tempat-tempat lain di dunia sepanjang hayatnya, menurut maklumat di laman web rasmi masjid itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg