Lebih banyak keluarga diharapkan tampil dalam masyarakat Melayu/Islam bagi menghulur khidmat dan ihsan sebagai ibu bapa titipan.
Berbekal matlamat itu, dua masjid di bawah Daerah Timur, Masjid Darul Aman dan Masjid Darul Ghufran, buat julung-julung kalinya, bergabung tenaga dengan agensi penjagaan anak titipan, Persatuan Pemudi Islam Singapura Oasis (PPIS Oasis) dan Persatuan Muhammadiyah, bagi melancarkan sesi perkongsian tentang mencorak masa depan anak titipan.
Sesi berjudul Hearts & Triangle: Shaping Tomorrow’s Futures through the Power of Fostering Today (Membentuk Masa Depan Anak-Anak dengan Kuasa Penjagaan Anak Titipan Hari Ini) diadakan di Masjid Darul Aman pada 9 November dan disokong Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).
Kerjasama itu bukan sahaja melambangkan perpaduan antara institusi masjid dengan badan sosial, malah menekankan tanggungjawab menjaga anak titipan sebagai fardu kifayah – satu amanah masyarakat yang perlu dilaksanakan untuk kebaikan bersama.
Dengan melibatkan pihak masjid, acara ini membuka ruang untuk menyampaikan pesanan bahawa penjagaan anak titipan adalah sumbangan penting kepada masyarakat, sekali gus memberi peluang kepada anak-anak titipan membesar dalam suasana kasih sayang keluarga.
Sesi itu juga menampilkan perbincangan panel bertajuk ‘Memahami Penjagaan Anak Titipan dalam Masyarakat Muslim’, yang menggabungkan pengalaman ibu bapa titipan dari PPIS Oasis dan pandangan asatizah dari Persatuan Muhammadiyah.
Dalam sesi ini, panel membincangkan aspek keagamaan dan praktikal penjagaan anak titipan, memberi penekanan kepada peranan penting keluarga titipan dalam membentuk kesejahteraan masyarakat.
Penolong Kanan Pekerja Sosial di PPIS Oasis, Cik Aquila Deanna Zulkifli, berkata acara ini memberikan peluang untuk pihaknya mendekati lebih ramai anggota masyarakat yang berpotensi menjadi ibu bapa titipan.
“Acara seperti ini akan membuka lebih banyak peluang bagi PPIS untuk mengadakan dialog mengenai penjagaan anak titipan bersama badan masyarakat yang lain.
“Dengan kerjasama pihak masjid, komuniti masjid seperti golongan asatizah boleh menyokong usaha kami dengan menyebarkan maklumat melalui platform masing-masing tentang kepentingan Skim Ibu Bapa Titipan.
“Sebagai penyumbang kepada pembangunan masyarakat, para asatizah mempunyai pengaruh positif yang kuat untuk mendorong anggota masyarakat tampil dan membantu anak-anak titipan,” jelasnya ketika dihubungi Berita Minggu (BM).
Cik Aquila juga menekankan bahawa sesi perkongsian ini penting untuk mengubah persepsi umum tentang syarat menjadi ibu bapa titipan.
“Ramai yang masih berfikir bahawa seorang ibu perlu menjadi suri rumah sepenuh masa jika ingin menjadi ibu titipan. Sebenarnya, kami juga mempunyai ibu bapa titipan yang bekerja sepenuh masa, dan terdapat sokongan yang disediakan untuk mereka.
“Melalui perkongsian seperti hari ini, kami berharap dapat menyampaikan maklumat yang lebih tepat dan mendalam kepada masyarakat mengenai amanah sebagai ibu bapa titipan,” jelasnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg