Masjid Al-Amin akan menganjurkan Kempen Maulidur Rasul bertema, ‘Kami Rindu Padamu Ya Rasulullah’, dengan tujuan agar masyarakat dapat menghayati perjuangan dan pengorbanan Rasulullah saw demi umatnya.
Ketua Jabatan Dakwah Masjid Al-Amin, Ustaz Mohd Syafiee Mohd Hassan, berkata kempen ini bertujuan memperdalam cinta umat Islam kepada Rasulullah saw dengan menggalakkan mereka hadir dan menyokong program yang dianjurkan di Masjid Al-Amin.
Beberapa acara yang akan diadakan
1. Majlis Maulidur Rasul saw: Bersama Ustaz TM Fouzy dan kumpulan Persatuan Pembangunan Akhlak dan Insan (MHDS) dengan tema, ‘Kami Rindu Padamu Ya Rasulullah’. Majlis akan berlangsung pada Sabtu, 7 September, dari 6 petang hingga 10 malam. Jamuan nasi beriani dan aiskrim akan disediakan untuk hadirin.
2. Kursus Khas Mengenali Rasulullah saw:
(i) Kursus Sehari ‘Bersama Rasulullah saw’ akan diadakan pada Sabtu, 14 September, dari 10 pagi hingga 12.30 tengah hari. Kursus ini akan dikendalikan oleh Ustaz Md Syafiee Md Hassan.
(ii) Kursus ‘Wasiat Rasulullah saw buat Wanita’ bersama Ustazah Syariati Sulaiman, akan berlangsung pada Sabtu, 22 September, dari 10 pagi hingga 12.30 tengah hari.
(iii) Kursus Islam dalam Bahasa Inggeris, ‘Emulating The Characteristic Of The Prophet saw’, akan diadakan pada 10, 17, dan 24 September 2024, dikendalikan oleh Ustaz Fahmy Ahmad Jamil, Ketua Jabatan Dakwah Masjid Al-Amin, bersama Ustaz Mohd Syafiee Md Hassan.
Ustaz Mohd Syafiee menambah bahawa Rasulullah saw sangat mencintai umatnya sehingga Baginda selalu mendoakan agar Allah swt mengampuni dosa-dosa kita setiap kali Baginda bersolat.
Bukan itu sahaja, ketika memikirkan tentang umatnya, Baginda juga memohon kepada Allah swt agar ditambahkan bilangan umatnya yang masuk ke syurga tanpa hisab.
“Rasulullah saw pernah diberi pilihan antara separuh umatnya masuk syurga atau memberikan syafaat. Baginda memilih syafaat kerana syafaat Rasulullah saw merangkumi semua Muslim, termasuk mereka yang berbuat dosa.
“Ini adalah warisan Nabi saw. Umat yang berpegang teguh kepada ajaran Islam. Segala pengorbanan Rasulullah saw, jerih payahnya, dan kesusahan yang Baginda lalui adalah untuk menghubungkan kita dan seluruh manusia kepada Allah swt.
Masjid turut membuka ruang tajaan dan derma sempena kempen Maulidur Rasul ini. Untuk menyelenggarakan Kempen Maulidur Rasul ini, mereka memerlukan 150 penderma bagi setiap infak berjumlah $100.
Lebihan dana akan disalurkan kepada dana penyelenggaraan Masjid Al-Amin.
Anda boleh menyalurkan derma ke nombor UEN: s91mq0008b001, tulis ‘Maulid’ di dalam ruang ‘rujukan’.
Sumbangan sebanyak $50 melalui pautan: https://alaminmosque.mimbar.sg/infaq/1210 akan menerima kad EZ-Link khas Masjid Al-Amin. Ia akan dihantarkan ke alamat yang dikirimkan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg