Topik diikuti
Pergi ke BHkuMasjid Ar-Raudhah perluas program Al-Quran seiring projek naik taraf
Masjid Ar-Raudhah perluas program Al-Quran seiring projek naik taraf
Projek Peningkatan Masjid Ar-Raudhah yang sudah bermula bukan sahaja dapat mempertingkatkan kemudahan fizikalnya, malah memberikan sokongan yang bermakna kepada kelangsungan dan perkembangan program Raudhatul Quran.
Program Raudhatul Quran merupakan salah satu daya usaha Masjid Ar-Raudhah untuk menyediakan peluang kepada masyarakat mendalami pembelajaran Al-Quran dan pengajian Islam secara berstruktur dan berperingkat.
Penolong Ketua Literasi Al-Quran dan Pengajian Tinggi, Masjid Ar-Raudhah, Ustazah Ramlah Marjo, berkata:
“Dengan penyediaan ruang pembelajaran yang lebih selesa, kondusif dan bersesuaian, peserta dapat mengikuti kelas dengan lebih baik, manakala pengajar dapat melaksanakan sesi pembelajaran dengan lebih teratur.”
Kemudahan tambahan seperti peralatan pengajaran, bahan pembelajaran dan teknologi digital juga dapat membantu memperkaya pengalaman pembelajaran serta menyokong pendidikan Al-Quran dan pengajian Islam dengan lebih berkesan, ujar beliau.
Masjid Ar-Raudhah mahu membina masyarakat yang mempunyai hubungan yang lebih erat dengan kitab suci dan ajaran Islam melalui kelas yang ditawarkannya.
Kelas Raudhatul Quran
1. Raudhatul Quran (Pendekatan 5M): Program ini mengaplikasikan pendekatan 5M dalam pembelajaran Al-Quran, iaitu Membaca, Menulis, Memahami, Menghafal dan Menghayati Al-Quran.
Pendekatan ini bertujuan membantu peserta bukan sahaja meningkatkan kemahiran membaca Al-Quran, malah memahami kandungannya dan menghayati ajarannya dalam kehidupan harian.
2. AQL (Kanak-kanak, Remaja dan Dewasa) serta Tahfiz: Pelajar, tidak melebihi 15 orang, akan dibimbing secara berperingkat untuk memperkukuh bacaan asas sehingga mampu membaca Al-Quran dengan lancar dan yakin. Kelas tahfiz pula memberi peluang kepada pelajar mengembangkan kemahiran menghafaz Al-Quran mengikut tahap kemampuan masing-masing.
3. Al-Quran dan Tajwid untuk Jemaah Muslimah Masjid Ar-Raudhah: Jemaah Muslimah yang ingin memperbaiki dan mempertingkatkan mutu bacaan Al-Quran akan dibimbing untuk membaca dengan lancar serta mengaplikasikan hukum tajwid dengan betul.
4. Klinik Al-Quran: Klinik Al-Quran menyediakan pembelajaran secara individu, iaitu seorang guru membimbing seorang pelajar. Kaedah ini sesuai bagi mereka yang menginginkan perhatian dan bimbingan lebih khusus mengikut tahap penguasaan masing-masing.
5. Qiraat Bersanad: Kelas ini dikhususkan kepada peserta yang telah mahir membaca Al-Quran dan ingin mendalami ilmu Qiraat melalui kaedah talaqqi, iaitu pembelajaran secara langsung daripada guru.
6. (3T) Tadarus, Tajwid dan Tadabur Al-Quran (Khas untuk Muslimah): Peserta akan membaca Al-Quran secara bersama-sama, bermula daripada Surah al-Fatihah hingga Surah an-Nas sehingga melengkapkan satu khatam Al-Quran.
Sesi pembelajaran turut merangkumi tadabur ayat-ayat Al-Quran serta bimbingan tajwid oleh asatizah yang memiliki Sijil Pengiktirafan Asatizah (ARS).
7. Bahasa Arab dalam Al-Quran: Kelas ini bertujuan membantu peserta memahami kosa kata bahasa Arab yang terdapat dalam Al-Quran serta mengenali asas tatabahasa Arab.
Kelas-kelas ini ternyata memberi manfaat kepada mereka yang ingin mendalami dan memperbaiki ilmu agama.
Salah seorang pelajar Raudhatul Quran 5M Lanjutan, Cik Shapiny Ninhabi, 62 tahun, berkongsi:
“Dengan kursus ini, saya mampu membaca dengan lebih lancar, lebih yakin dan lebih baik daripada sebelumnya, juga dapat manfaatkannya dengan mengajar anak serta cucu di rumah.”
Masjid Ar-Raudhah turut menawarkan program pengajian Islam secara sambilan yang menyediakan modul-modul asas bagi memenuhi keperluan individu yang mungkin tidak berpeluang mengikuti pendidikan agama secara formal.
Program ini memberi penekanan kepada pemahaman dan penghayatan ajaran Islam agar dapat diamalkan dalam kehidupan harian.
Ia menawarkan tiga kursus pengajian yang tersusun dan berperingkat iaitu Sijil Asas Pengajian Islam Ar-Raudhah (SAPIA), Sijil Pengajian Islam Ar-Raudhah (SPIA) dan Diploma Pengajian Islam Ar-Raudhah (DPIA).
Struktur pengajian yang fleksibel tetapi menyeluruh ini menyediakan laluan pembelajaran Islam sepanjang hayat, sekali gus memberi peluang kepada peserta memperkukuh dan memperdalam ilmu agama secara berperingkat.
Salah seorang pelajar DPIA Tahun 1, Encik Mohamad Sharudin Othman, 54 tahun, berkongsi bahawa struktur pembelajaran yang disediakan lebih menarik baginya.
“Saya mempelajari (di DPIA) ilmu akidah, fiqah, sirah, sunah Nabi, muamalat, muasyarah (kehidupan atau pergaulan Nabi Muhammad saw dan berbagai lagi. Alhamdulillah, dengan mempelajari berbagai-bagai subjek agama, saya dapat mengukuhkan lagi kepercayaan saya dan membentuk akhlak saya,” ujarnya.
Raudhatul Quran juga ada program tambahan seperti khataman Jama’ie, Tadarus Ramadan, Halaqah Cinta Quran, kursus bersangkutan Al-Quran jangka pendek, Al-Quran bersiri kanak-kanak dan lain- lain lagi.
Projek naik taraf masjid ini boleh mengukuhkan peranan Masjid Ar-Raudhah sebagai pusat pembelajaran Al-Quran dan pengajian Islam demi pembangunan masyarakat yang berterusan.
“Kemudahan yang lebih baik berpotensi membuka peluang menambah bilangan peserta, memperluas tawaran kelas dan mengembangkan program pada masa hadapan.
“Ini penting bagi memastikan lebih ramai anggota masyarakat berpeluang mempelajari Al-Quran dan pengajian Islam secara berstruktur, daripada peringkat asas hingga lanjutan,” ujar Ustazah Ramlah.
Masjid Ar-Raudhah kini berusaha mengumpulkan baki dana $2.3 juta untuk projek naik taraf ini.
Maklumat Lanjut
Cara menyumbang kepada projek peningkatan Masjid Ar-Raudhah:
1. Tabung Masjid: Sila masukkan sumbangan anda ke dalam tabung yang disediakan di masjid.
2. PayNow ke UEN S93MQ0024E.
3. Pemindahan bank ke dalam akaun semasa OCBC 501-806368-001.