Walaupun Masjid Darul Makmur telah ditutup bagi menjalani kerja baik pulih, penduduk Yishun tetap mempunyai banyak pilihan ruang untuk mendirikan solat Aidiladha pada Khamis.
Selepas berkunjung ke Masjid Ahmad Ibrahim di Jalan Ulu Seletar dekat Sembawang Road, gelanggang keras berdekatan Blok 327 Yishun Ring Road dan tempat solat sementara Masjid Darul Makmur di tapak lama Sekolah Menengah Northview, Menteri Undang-undang merangkap Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, serta Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, berkata usaha sama antara Masjid Darul Makmur, GRC Nee Soon dengan pemimpin akar umbi dan penaja individu telah membolehkan keperluan penduduk Muslim di kawasan itu dipenuhi.
Pada pagi Khamis, lebih 2,000 jemaah mendirikan solat Aidiladha – dengan dua sesi diadakan – di tempat solat sementara Masjid Darul Makmur, yang terletak di tapak lama Sekolah Menengah Northview di Yishun Ring Road.
Ini kali pertama solat Hari Raya diadakan di ruang sementara itu sejak ia dibuka pada 12 Mei.
Pada hari biasa, ruang sementara itu dibuka bagi solat Jumaat dan menampung jemaah lelaki di tingkat bawah sahaja.
Namun bagi solat Hari Raya, ruang solat bagi wanita turut disediakan.
Ruang sementara itu juga mampu menampung lebih ramai jemaah lelaki selepas penganjur menyewa dewan sekolah di tingkat kedua.
Bercakap dengan media selepas beramah mesra dengan jemaah di tempat solat sementara Masjid Darul Makmur pada Khamis, Encik Shanmugam berkata penerimaan penduduk terhadap usaha itu amat menggalakkan.
“Malah, kami melihat lebih ramai warga emas – sekitar 300 orang – datang bagi solat Jumaat, sambutannya baik. Ia memudahkan penduduk kerana tempat solat ini terletak berdekatan,” kata beliau.
Mengulas mengenai penggunaan pelbagai kemudahan masyarakat seperti sekolah dan gelanggang keras bagi tujuan ibadah, Encik Shanmugam menambah:
“Kami cuba mencipta ruang ini di mana masyarakat dapat menggunakannya. Ia adalah cara baik untuk membina sebuah masyarakat dan memenuhi keperluan orang ramai.”
Dengan sekatan pandemik Covid-19 dilonggarkan dan Singapura melangkah ke fasa endemik, sambutan Hari Raya Aidiladha pada 2023 juga lebih meriah, kata Dr Faishal.
“Alhamdulillah, kita dapat mengerjakan ibadah korban dan solat Hari Raya (Aidiladha) dengan lebih baik. Ruang solat dapat menampung lebih ramai orang dan warga mempunyai pilihan melakukan ibadah korban di sini mahupun di luar negara.
“Keluar daripada pandemik ini, kita juga belajar menyesuaikan diri seperti bagaimana tapak lama Sekolah Menengah Northview diubah menjadi ruang solat sementara Masjid Darul Makmur, yang ditutup bagi kerja penambahbaikan,” tambahnya.
Dr Faishal turut menyampaikan cek kepada pengerusi eksekutif Masjid Darul Makmur, Encik Izuan Mohd Rais, hasil sumbangan pemimpin akar umbi dan penaja individu daripada GRC Nee Soon untuk membantu membiayai separuh daripada kos sewa ruang solat sementara Masjid Darul Makmur.
“Kami bersyukur dan berbesar hati dengan sokongan yang diberikan ini. Ini menunjukkan komitmen penasihat akar umbi di sini bagi masyarakat Yishun, yang juga merupakan jemaah Masjid Darul Makmur,” ujar Encik Izuan.
Salah seorang jemaah di ruang solat sementara itu ialah Cik Nur Athirah Ahmad Desuki, 28 tahun, yang juga merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Northview.
“Tempat solat ini dekat dan mudah untuk ke sini dengan pengangkutan awam. Ruang bagi jemaah wanita juga lapang. Saya gembira dapat kembali ke sekolah saya setelah 10 tahun, meskipun ia untuk tujuan yang berbeza,” pegawai pentadbiran yang tinggal di Yishun itu.
Selain itu, Masjid Darul Makmur juga menganjurkan solat Aidiladha di dua lagi lokasi berhampiran iaitu di gelanggang keras berdekatan Blok 327 Yishun Ring Road dan di kolong Blok 607 Yishun Street 61.
Turut hadir beramah mesra dengan jemaah ialah Anggota Parlimen GRC Nee Soon, Cik Carrie Tan; Encik Louis Ng; dan Encik Derrick Goh.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg