Masjid Darussalam semarak Ramadan dengan pelbagai program, inisiatif masyarakat

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masjid Darussalam semarak Ramadan dengan pelbagai program, inisiatif masyarakat

Terus perkukuh ukhuwah, jaga kesejahteraan masyarakat walau sedang jalani peningkatan
Feb 20, 2026 | 5:30 AM

Masjid Darussalam semarak Ramadan dengan pelbagai program, inisiatif masyarakat

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
MASJID DARUSSALAM
Jemaah di Masjid Darussalam menghadiri kegiatan dakwah di dewan solat sementara yang dapat menampung hingga 700 orang pada satu-satu masa. - Foto MASJID DARUSSALAM

Keharuman Ramadan kembali menyerbak ke seluruh alam.

Umat Islam di seluruh dunia menyambut kehadirannya dengan penuh kesyukuran.

Masjid Darussalam tidak ketinggalan mengalu-alukan ketibaan bulan suci ini.

Pegawai Agama Masjid Darussalam, Ustaz Shazwan Mansoor, dan juga pengerusi jawatankuasa Ramadannya, berkata persediaan bagi menyambut bulan suci ini bukan sekadar dari sudut kerohanian dan fizikal semata-mata.

“Di Masjid Darussalam, ia merupakan satu usaha kolektif untuk memberikan pengalaman kerohanian kepada masyarakat, dengan melihat Ramadan sebagai peluang untuk menuai ganjaran pahala dan meraih keredaan Allah swt.

“Ramadan adalah bulan untuk melatih dan meningkatkan sikap positif. Suasana dan persekitarannya ini sendiri mendorong kepada kebaikan dan amalan baik.

“Ia mempengaruhi sesiapa saja untuk melakukan perkara yang baik. Inilah bulan kita merancang dan berusaha meninggalkan tabiat buruk dan memulakan amalan baik, walau sekecil mana pun,” jelas Ustaz Shazwan.

Peranan masjid dalam memperkukuh ukhuwah dan kesejahteraan masyarakat pada bulan mulia ini amat penting, tambah beliau.

Sepanjang Ramadan, suasana di masjid berubah dengan begitu ketara.

Kehadiran jemaah meningkat, saf solat dipenuhi, dan pelbagai kegiatan keagamaan serta kemasyarakatan disemarakkan.

Masjid bukan menjadi tempat beribadah sahaja, malah berfungsi sebagai pusat penyatuan ummah serta wadah mempererat silaturahim dalam kalangan masyarakat.

Keindahan Ramadan jelas terpancar melalui kemeriahan dan semangat kebersamaan yang hidup di setiap masjid, ujar Ustaz Shazwan.

“Masjid Darussalam ibarat magnet, atau besi berani, menarik masyarakat menjalin hubungan kerohanian.

“Namun, peranan masjid bukan lagi sekadar tempat pengisian rohani, bahkan sebagai platform mengumpul pahala, termasuk berkhidmat kepada masyarakat,” tambah beliau.

Pelbagai kegiatan kerohanian terus menyemarakkan lagi semangat dan keindahan suasana Ramadan di Masjid Darussalam, di Clementi.

Ustaz Shazwan berkata: “Program yang disusun merangkumi kelas agama, forum, persiapan Ramadan serta peluang menjadi relawan masjid.

“Walaupun berdepan cabaran mengimbangi komitmen harian untuk hadir secara konsisten, suasana masjid pada bulan suci ini tetap memancarkan keceriaan dan kehangatan dengan kehadiran setiap (anggota) jemaah.”

Bersedekah dan menderma adalah amalan Islam yang amat digalak, lebih-lebih lagi pada Ramadan.

“Sumbangan sedekah dan derma kepada masjid turut membawa manfaat buat masyarakat Islam dalam pelbagai aspek.

“Masjid beroperasi hasil daripada sumbangan orang ramai. Sumbangan kepada masjid ini dapat meluaskan manfaat kepada generasi seterusnya.

“Kami juga membantu keluarga kurang berkemampuan yang tinggal di sekitar kawasan masjid, terutamanya di flat sewa.

“Kami memastikan kebajikan mereka terpelihara, khususnya di sepanjang Ramadan,” ujar Ustaz Shazwan.

Masjid Darussalam menyediakan program dan kelas dalam talian dan fizikal secara percuma.

Ini selaras dengan inisiatif utama untuk memastikan ilmu asas seperti fardu ain, kelas Iqra’, Al-Quran dan pengajian Islam berstruktur dapat diakses oleh masyarakat.

Pengajian berstruktur peringkat pertengahan dikenakan bayaran.

Memandangkan Masjid Darussalam sedang melalui kerja naik taraf (MUP), beberapa perubahan terpaksa dilakukannya sepanjang Ramadan.

Ustaz Shazwan menjelaskan: “Disebabkan kerja naik taraf sedang dijalankan, keutamaan kami kini ialah menyediakan ruang bagi jemaah menunaikan solat tarawih.

“Kami juga terpaksa menangguhkan penyediaan iftar Ramadan pada 2026.

“Bagi mengatasi kekangan ruang, kami juga menyediakan lokasi tambahan di Blok 377, Clementi Avenue 5.

“Ramadan bukan sekadar perjalanan meningkatkan ketakwaan peribadi, ia mengajar kita berhubungan dan mengambil berat akan masyarakat di sekeliling kita, khususnya golongan memerlukan serta individu berkeperluan khas.

“Ini sebagaimana sabda Rasulullah saw: ‘Wahai manusia, sebarkanlah salam, berilah makan kepada orang lain, eratkanlah hubungan silaturahim, dan dirikanlah solat pada waktu malam sedang manusia tidur; nescaya kamu akan masuk syurga dengan sejahtera.’”

Untuk menyokong Masjid Darussalam, sila imbas kod QR ini.
Untuk menyokong Masjid Darussalam, sila imbas kod QR ini. - Foto MASJID DARUSSALAM

CARA DERMA KEPADA MASJID DARUSSALAM

PayNow: Imbas kod QR atau UEN: S89MQ0032A

Pindahan bank: OCBC: 591-0705-45001 (Tulis ‘Ramadan’ atau ‘Donation’)

Untuk sumbangan menerusi kad kredit (Visa atau Mastercard), kad debit, eNETS, sila kunjungi pejabat Masjid Darussalam di: 3002 Commonwealth Avenue West, Singapura 129579, dari Isnin hingga Jumaat, dari 9 pagi hingga 5.30 petang

Hubungi talian 6777-0028 atau kirim pesanan WhatsApp ke 8993-4736.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg