Topik diikuti
Pergi ke BHkuDua masjid gabung libat belia bantu penerima zakat
Dua masjid gabung libat belia bantu penerima zakat
Dua masjid gabung libat belia bantu penerima zakat
PERANAN belia sangat penting dalam menentukan masa depan masyarakat dan negara.
Mengambil kira kepentingan ini, Masjid Hasanah sentiasa menggalakkan penglibatan belia dalam kegiatan masjid kerana mereka merupakan antara penggerak masjid yang utama.
Pada tahun ini, Masjid Hasanah merapatkan lagi tali persaudaraan bersama golongan belia Masjid Al-Mukminin dengan bergabung tenaga dalam membantu penerima zakat bagi memberi keceriaan kepada mereka dalam menyambut bulan Syawal yang bakal tiba.
Hal ini bertepatan dengan semangat satu sektor masjid, dengan kedua-dua masjid bekerjasama berkhidmat kepada golongan yang memerlukan, khususnya penerima zakat yang tinggal di kawasan Teban dan Pandan Gardens.
Ketua belia Masjid Al-Mukminin, Encik Mohammad Sufian Suhaimi, menjelaskan, peluang yang diberikan oleh Masjid Hasanah adalah yang terbaik untuk golongan belia berbakti kepada masyarakat seperti yang dituntut dalam agama Islam.
Sesungguhnya, daripada Abu Hurairah ra, Nabi saw, bersabda:
"Barang siapa yang melepaskan satu kesusahan seorang Mukmin, pasti Allah akan melepaskan daripadanya satu kesusahan pada hari kiamat. Barang siapa yang menjadikan mudah urusan orang lain, pasti Allah akan memudahkannya di dunia dan di akhirat."
Encik Mohammad Sufian Suhaimi juga menyatakan:
"Alhamdulillah, saya dan teman-teman dapat mendekati dan mengenali masyarakat dengan lebih mendalam.
"Melalui kegiatan mengemas rumah mereka, kami dapat memupuk sifat bantu-membantu dan menyumbang tenaga sebagai relawan.
"Ini sekali gus dapat membina perwatakan, sikap ihsan dalam diri masing-masing, terutamanya pada bulan Ramadan yang mulia ini."
Menurut Pegawai Dakwah Masjid Hasanah, Ustaz Mohd Syahid Salleh, yang telah bertugas sebagai pegawai belia sejak 2017, banyak pengajaran menarik daripada anak muda yang berminat menjadi sukarelawan di Masjid Hasanah.
Antaranya, masjid dapat mengetahui cara pergaulan dan trend terkini anak muda, di samping tidak mengabaikan tuntutan agama.
Selain itu, masjid sedia berkhidmat dalam menjawab pelbagai persoalan golongan belia agar mereka mempunyai rujukan dan keimanan yang sentiasa terjaga.
Ustaz Syahid berkata lagi, program-progam masjid yang dijalankan tidaklah hanya sekadar program syarahan agama dan kuliah semata-mata, malah masjid kini juga lebih kreatif dan bersifat terbuka dengan mengadakan pelbagai program yang boleh menarik belia ke masjid.
Seperti yang ditekankan oleh beliau, tanggungjawab bersama untuk memastikan program atau kegiatan bersama akan memupuk semangat sukarelawan.
Pelaksanaan ini akan membangkitkan semangat untuk membina generasi muda yang lebih bertanggungjawab dan berjaya dalam apa jua bidang yang mereka ceburi.
Pada kesempatan itu, penasihat bagi unit belia dan ahli jawatankuasa Masjid Hasanah, Encik Osman Farouk, meletakkan harapan untuk melihat lebih ramai belia yang berkhidmat sebagai sukarelawan di masjid-masjid dan mengikuti program sedia ada.
Penglibatan belia sangat diperlukan untuk memberi inspirasi dan mencetus minat dalam kalangan anak muda di luar sana bagi memakmurkan masjid dan memupuk ikatan kekeluargaan antara satu sama lain.
Encik Osman Farouk juga berharap dengan adanya kegiatan untuk belia, ia juga dapat mengeratkan silaturahim sesama belia, sekali gus menambahkan ilmu pengetahuan mereka, khususnya dalam bidang ilmu tauhid, fikah, hadis dan Al-Quran.
CARA HULUR DERMA
DERMA
- PayNow ke UEN: S70MQ0042B
- Pemindahan wang ke dalam akaun: OCBC 591-070164-001
Isikan di ruang 'bill reference' dengan 'wakaf' atau 'Infaq'.
Jika anda inginkan resit, isi borang di www.linktr.ee/hasanahmosque.
- Melalui cek atas nama "LPM Hasanah"
Poskan ke Masjid Hasanah, 492 Teban Gardens Rd, Singapura 608878.
Tuliskan nama, alamat dan nombor telefon anda di belakang cek.
INFAK BARANG KEMAS & PENGAMBILAN DERMA $500 KE ATAS DARI RUMAH
- Hubungi pejabat masjid di talian 6561-7990 untuk sesi janji temu.
- Melalui kaunter pejabat: Isnin-Khamis (9.30 pagi - 5 petang), Jumaat (2 petang - 5 petang), Sabtu & Ahad (12 tengah hari - 3 petang)
Pembayaran zakat juga boleh dilakukan di Masjid Hasanah.
