LANDSKAP kehidupan manusia semakin berkembang melalui perubahan demografi, gaya hidup dan teknologi. Dengan transformasi ini, telah membuatkan Masjid Hasanah lebih bersedia menerima dan menyesuaikan diri dengan norma baru dalam persekitaran yang lebih aktif dan progresif.
Oleh itu, Masjid Hasanah menyusun semula strategi untuk menyampaikan perkhidmatan berkualiti dan mendekatkan lagi masyarakat dengan rumah Allah swt.
NILAI TERAS MASJID HASANAH
Penolong Setiausaha Masjid Hasanah Encik Noor Azlan Musa, berkata Masjid Hasanah digerakkan dengan tiga nilai teras utama; keharmonian, keprihatinan, kecekapan agar terus kekal relevan dalam masyarakat Islam Singapura.
Beliau menjelaskan: "Dengan teras keharmonian, Masjid Hasanah berusaha mewujudkan masyarakat yang harmoni dan bersatu padu dengan berpegang kepada keterangkuman dan kepelbagaian.
"Mendukung nilai keprihatinan, kami ikhlas serta prihatin terhadap satu sama lain dan kekal tabah menghadapi cabaran.
Bersama teras kecekapan pula, kami memberi khidmat yang profesional dan inspirasi kepada masyarakat melalui ilmu dan nilai-nilai keislaman.
"Tanpa perkembangan dan sumbangan asatizah tidak mungkin ia menjadi kenyataan kerana merekalah yang menjadi penggerak kepada perjalanan 'spiritual' seseorang Muslim.
Bersama sumbangan asatizah, warga kerja masjid dan sukarelawan, ia akan menguatkan lagi usaha pembangunan ummah. Kami wujud untuk berkhidmat kepada jemaah. Tanpa jemaah, siapalah kami. Amanah yang diberi ini tidak boleh dipandang ringan dan perlu dijalankan secara profesional.
"Sokongan yang diberikan oleh para jemaah selama ini sangat menggalakkan dan kami akan terus berusaha memberi yang terbaik kepada para jemaah."
PELBAGAI PROGRAM MENANTI
Pihak Masjid Hasanah turut mengadakan kerjasama dengan badan-badan dan peniaga makanan bagi menjayakan pelbagai program seperti pengagihan bubur, pembersihan rumah serta lawatan ke rumah para penduduk Teban dan Pandan di bulan Ramadan.
"Warga kerja Masjid Hasanah juga diberi pendedahan dari sudut latihan keselamatan seperti bantuan pernafasan kecemasan (CPR) dan defibrilator luaran automatik (AED).
"Selain program latihan, program dakwah dalam talian turut diberi perhatian memandangkan penggunaan teknologi semakin meningkat.
"Bagaimanapun, program bersemuka tetap menjadi keutamaan dan disokong dengan program dalam talian," kata Encik Noor Azlan Musa, yang juga merupakan koordinator program Ramadan Masjid Hasanah.
BERBAKTI KEPADA PEKERJA BANGLADESH
Pada Ramadan yang lalu, Masjid Hasanah telah berbakti kepada pekerja Muslim yang tinggal di dormitori berdekatan.
Warga kerja Masjid Hasanah juga turut menjalankan program kesihatan dan pendidikan untuk pekerja migran dari Bangladesh serta menyediakan beberapa sumber bagi memenuhi keperluan agama di dormitori ini.
Semangat kesukarelawanan juga ditunjukkan oleh saudara-saudara dari Bangladesh sepanjang Ramadan dan Syawal lalu. Mereka sudah menyumbangkan masa dan tenaga untuk Masjid Hasanah selama lebih kurang enam hingga lapan tahun.
Semasa solat sunat Aidilfitri sesi ketiga baru-baru ini, ucapan alu-aluan dan khutbah telah disampaikan dalam bahasa Bengali dengan bantuan Masjid Ugama Islam Singapura (Muis) dan warga Bangladesh yang berkhidmat di Lembaga Pengurusan Masjid Hasanah (LPM).
Kerjasama antara warga Masjid Hasanah dan masyarakat Muslim luar akan sentiasa diteruskan bagi mewujudkan perpaduan masyarakat yang berbilang di negara ini.
CARA MENYUMBANG KEPADA MASJID HASANAH
1. Paynow ke UEN: S70MQ0042B
2. Pindahkan wang ke akaun OCBC 591-070164-001
Isikan di ruang 'bill reference' dengan 'wakaf' atau 'infaq'.
Jika anda ingin resit, sila isi borang di www.linktr.ee/hasanahmosque
3. Hantar cek kepada 'LPM Hasanah'
Poskan ke alamat:
Masjid Hasanah, 492 Teban Gardens Road, Singapura 608878
Tuliskan nama, alamat dan nombor telefon di belakang cek yang dilampirkan.
4. Infak barang kemas atau dari peninggalan arwah serta sumbangan dari rumah bagi $500 ke atas, sila hubungi pejabat Masjid Hasanah 6561-7990 (Isnin-Jumaat
9 pagi - 5 petang; Sabtu-Ahad 9 pagi - 1 tengah hari)
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg