SOLAT Jumaat akan disambung semula di masjid Jumaat ini (26 Jun), dengan langkah-langkah keselamatan ditetapkan bagi mengekang penularan koronavirus, umum Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) di sidang media hari ini.
Namun, ia terhad kepada 50 orang bagi setiap sesi, dan hanya mereka yang telah membuat tempahan sah dalam talian akan dibenarkan untuk solat berjemaah.
Dalam pada itu mereka yang ingin ke masjid perlu menggunakan sistem SafeEntry berdasarkan NRIC/FIN dan jemaah digesa untuk memuat turun aplikasi TraceTogether.
Dalam satu sidang media hari ini, Muis berkata dua sesi setengah jam akan diadakan setiap Jumaat, dengan selang 30 minit rehat di antara kedua-dua sesi.
Khutbah dan solat pula akan dipendekkan tidak melebihi 20 minit.
Jemaah akan solat di ruang individu khas dengan jarak 1 meter antara satu sama lain.
Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir berkata Jawatankuasa Fatwa telah memutuskan bahawa hukum wajib digugurkan bagi mereka yang tidak dapat menempah slot solat Jumaat.
Golongan berisiko seperti mereka yang mengalami keadaan kronik dan warga emas juga tidak digalakkan menghadiri solat Jumaat.
Mereka hanya perlu menggantikan solat Jumaat dengan solat Zohor, kata Dr Nazirudin.
Mulai 26 Jun juga, masjid akan mengadakan solat jemaah harian, dan akan menawarkan 50 slot bagi setiap solat waktu.
Solat secara individu di masjid melebihi sesi solat berjemaah masih boleh diteruskan, dan juga terhad kepada 50 orang bagi setiap satu masa.
Mereka yang ingin tempah slot solat Jumaat dan jemaah boleh boleh melungsuri https://ourmosques.commonspaces.sg/.
Setelah membuat tempahan, e-mel pengesahan akan dikirimkan kepada jemaah.
Borang dalam talian itu akan dibuka pada Rabu ini (24 Jun), 9 pagi.
Masjid Abdul Ghafoor, Masjid Bencoolen, Masjid Ba'alwie dan Masjid Burhani ditutup buat sementara waktu ini.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg