MASJID-MASJID di Singapura meningkatkan usaha bagi memikat lebih banyak golongan muda lebih terlibat dalam kegiatan serta program yang diadakan secara fizikal sempena tempoh Ramadan.
Ini dilakukan dengan memastikan struktur program yang dilaksanakan sesuai dengan minat golongan tersebut yang jelas cenderung terhadap program yang lebih bersifat kemasyarakatan atau kebajikan, menurut pegawai beberapa masjid di sini.
Dengan kesedaran itu, pihak masjid berharap dapat menghidupkan kembali program fizikal - yang sebelum ini terpaksa dihentikan atau dihadkan disebabkan pandemik - dan menggembleng tenaga sukarelawan, termasuk belia untuk menyumbang kepada masyarakat.
Tahap penglibatan belia, baik dalam kegiatan sukarelawan ataupun kelas-kelas agama, masih belum mencapai tahap sebelum pandemik, dengan ada program yang hanya dapat menarik kurang 50 peratus jumlah peserta berbanding sebelum ini, menurut Ketua Bimbingan Keagamaan dan Pembangunan Masyarakat di Masjid Al-Falah, Ustaz Ahmad Faritz Mohamed Hairudin.
Justeru, strategi bagi menarik minat belia perlu diubah, antaranya dengan menarik komitmen mereka melalui tujuan dan objektif lebih jelas, tambah Ustaz Faritz.
"Belia perlu merasakan apa yang mereka lakukan itu mempunyai objektif dan tujuan yang jelas, dari segi pengalaman yang bermakna atau isu-isu tertentu yang diperjuangkan melalui program," katanya.
Selaras dengan strategi tersebut, Masjid Al-Falah bakal melaksanakan beberapa program Ramadan ini yang lebih menepati citarasa belia seperti pengagihan sajian panas kepada golongan yang lebih memerlukan dan juga acara 'hackathon'.
Menurut Penolong Ketua Penglibatan Masyarakat di Masjid Al-Istighfar, Ustazah Siti Az-zahroh Effendi, Ramadan merupakan tempoh yang sesuai bagi mendekati belia kerana semangat ingin menyumbang di kalangan belia lebih semarak semasa bulan mulia ini.
"Belia berada di tahap usia di mana mereka ingin meneroka dan mencari pengalaman baru.
"Ini termasuk mengalami semangat menyumbang semula kepada masyarakat, dan kegiatan kemasyarakatan dapat menarik minat dan penglibatan mereka," kata Ustazah Az-zahroh.
Masjid mempunyai peranan penting dalam memperkasa masyarakat dan mengukuhkan lagi fabrik sosial dengan menggalak sifat ingin menyumbang kembali di kalangan anggota masyarakat Melayu/Islam, menurut Anggota Parlimen (AP) GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah.
Beliau menambah, masjid juga boleh menjadi hab bagi belia dan golongan karyawan muda melalui tawaran program dan aktiviti yang relevan kepada keperluan dan minat mereka, termasuk terhadap isu seperti kesihatan mental dan kemampanan.
"Masjid juga boleh menyediakan ruang dan peluang bagi belia untuk membangunkan kemahiran kepimpinan mereka, melibatkan diri dalam kegiatan khidmat masyarakat dan menyumbang kepada masyarakat secara lebih meluas," katanya.
Kerjasama dengan badan-badan masyarakat lain dalam menawarkan program juga dapat membantu dalam menggalakkan persefahaman dan empati di kalangan golongan berbeza.
Katanya: "Untuk memastikan ia kekal sebagai ruang masyarakat, ia perlu mudah diakses oleh semua.
"Orang ramai perlu berasa selesa dan kita perlu memastikan ruang fizikalnya juga kekal terbuka."
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg