Topik diikuti
Pergi ke BHku‘Masjid tiga serangkai’ anjur futsal, tingkat kesedaran antidadah
‘Masjid tiga serangkai’ anjur futsal, tingkat kesedaran antidadah
Semangat kesukanan dan persahabatan menyatukan pemain daripada masjid di daerah barat dan utara Singapura menerusi kejohanan Futsal Masjid Daerah Barat 2026 pada 21 November.
Buat julung kalinya, kejohanan futsal tahunan itu turut membuka penyertaan kepada masjid dari daerah utara, sekali gus memperluas peluang bagi masyarakat masjid daripada daerah berbeza untuk berinteraksi dan mengeratkan hubungan menerusi sukan.
Memasuki tahun kelima penganjurannya, kejohanan itu dianjurkan bersama oleh tiga masjid yang dikenali sebagai Masjid 3 Serangkai, iaitu Masjid Hang Jebat, Masjid Ahmad dan Masjid Hussain Sulaiman, dengan kerjasama kempen Dadah Itu Haram (DIH).
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Ehwal Luar), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, yang hadir selaku tetamu terhormat, menekankan peranan sukan sebagai wadah untuk menyatukan masyarakat, membina persahabatan dan memperkukuh hubungan sesama anggota masyarakat.
“Salah satu cara terbaik untuk melakukannya adalah menerusi sukan. Sukan dapat menyatukan kita, membolehkan kita menjalin persahabatan baharu dan mengukuhkan lagi rangkaian hubungan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ketiga-tiga masjid atas usaha menganjurkan kejohanan itu selama lima tahun berturut-turut, selain berterima kasih kepada kelompok masjid yang menyokong kempen DIH.
Menurut Encik Zhulkarnain, usaha membina masyarakat yang lebih kukuh bukan sekadar menggalakkan gaya hidup sihat, malah memerlukan setiap individu memainkan peranan dalam menjaga kebajikan dan menyokong satu sama lain, khususnya golongan belia.
“Usaha ini memerlukan seluruh masyarakat untuk saling mengambil berat. Apabila kita melihat sesebuah keluarga atau belia menghadapi kesukaran, kita perlu membantu mereka bangkit semula,” katanya.
Mengimbas pengalaman ketika muda yang sering mengunjungi pelbagai masjid untuk menyertai kegiatan keagamaan, beliau berkata masjid turut menyediakan ruang penting bagi golongan muda mendapatkan bimbingan dan membina kemahiran hidup.
Sehubungan itu, beliau berharap golongan lebih berusia dapat memainkan peranan sebagai pembimbing dengan berkongsi pengalaman dan kemahiran hidup bersama generasi muda.
Selain perlawanan futsal yang menggalakkan semangat berpasukan dan persaingan sihat, acara itu turut menampilkan reruai pendampingan DIH bagi meningkatkan kesedaran masyarakat.
Usaha tersebut sejajar dengan peluasan program pendampingan DIH oleh Biro Narkotik Pusat (CNB), yang bakal memberi tumpuan lebih besar kepada golongan belia, dengan perbincangan dijadual bermula pada 2027.