Selepas lebih tiga dekad berkecimpung dalam sukan ragbi, Encik Muhammad Fadzli Abdul Latiff kini berkongsi minatnya terhadap sukan itu dengan anak tunggalnya, Faizaan Shabaz Muhammad Fadzli, yang mula mengikuti kelas ragbi pada usia empat tahun.

Bagi Encik Fadzli, ragbi menjadi wadah untuk memupuk semangat berpasukan dan membina hubungan bapa dengan anak melalui kegiatan yang diminati bersama.

Kini berusia lapan tahun, Shabaz memasuki tahun kelima mengikuti ragbi dan bermain dalam kumpulan umur bawah sembilan tahun (Kategori U9) bersama Kelab Ragbi Dragons.

Faizaan Shabaz mula bermain ragbi sejak berusia empat tahun.
Faizaan Shabaz mula bermain ragbi sejak berusia empat tahun. - Foto SITI NURBIAH DAUD

Bapanya masih aktif bermain dalam pasukan veteran kelab itu, malah turut melatih pasukan anaknya.

Ibu Shabaz, Cik Siti Nurbiah Daud, berkata suaminya merupakan individu yang mendorong keluarga mereka mengenali sukan itu, memandangkan beliau telah bermain ragbi sejak di bangku sekolah menengah.

“Pada usia empat tahun, baginya ragbi hanyalah tentang berseronok. Ia seperti berlari-lari dan bermain baling tangkap bersama rakan-rakan di padang luas,” kata Cik Nurbiah, seorang pengurus perkhidmatan Asia-Pasifik.

Sejak itu, Encik Fadzli memainkan peranan aktif dalam perjalanan ragbi anaknya, termasuk berkongsi tip dan melatih pasukannya.

Encik Fadzli berkata antara nilai penting dalam ragbi ialah semangat setiakawan dan kerjasama berpasukan.

Encik Muhammad Fadzli Abdul Latiff kini kongsi minat ragbi bersama anak, Faizaan Shabaz. Beliau juga merupakan jurulatih anaknya dalam Kelab Ragbi Dragons selain bermain sebagai peserta veteran kelab tersebut.
Encik Muhammad Fadzli Abdul Latiff kini kongsi minat ragbi bersama anak, Faizaan Shabaz. Beliau juga merupakan jurulatih anaknya dalam Kelab Ragbi Dragons selain bermain sebagai peserta veteran kelab tersebut. - Foto SITI NURBIAH DAUD

“Sukan ini mempunyai pelbagai posisi yang memerlukan kebolehan berbeza, sekali gus memberi peluang kepada pemain dengan kekuatan masing-masing untuk menyumbang kepada pasukan.

“Tidak semestinya seseorang itu perlu menjadi yang paling pantas. Ada posisi untuk pemain yang pantas, ada juga yang memerlukan pemain yang bijak. Setiap orang mempunyai peranan dan mereka bekerjasama untuk mencapai matlamat pasukan,” kata pengurus itu.

Namun, menjadi bapa dan jurulatih kepada anak sendiri juga memerlukan keseimbangan.

Encik Fadzli turut berkongsi bahawa beliau cuba melatih seluruh pasukan secara adil, meskipun pada masa yang sama mahu membantu anaknya memperbaiki permainan.

Beliau mengakui kadangkala lebih tegas terhadap Shabaz kerana tidak mahu dilihat memberi layanan istimewa kepadanya.

Shabaz berkongsi menikmati ragbi kerana dapat bermain bersama rakan-rakan dan belajar bekerjasama sebagai satu pasukan.

“Ragbi memang sukan yang menyeronokkan kerana kita boleh bermain bersama berpasukan, jadi kita belajar untuk bekerjasama,” kata murid Darjah Dua Sekolah Rendah St Hilda itu.

Namun, sukan itu turut mengajarnya menghadapi persaingan dan menerima hakikat bahawa bukan setiap pemain akan dipilih untuk setiap perlawanan.

Selepas berbincang dengan ibu bapanya dengan pihak kelab, Shabaz beralih ke kumpulan U9 yang melibatkan pemain setahun lebih tua daripadanya.

Peralihan itu memberi cabaran baharu kerana beliau perlu menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan yang lebih tua dan bertubuh lebih besar, selain persaingan yang lebih sengit untuk dipilih bermain.

“Apabila kita naik ke kumpulan umur yang berbeza, persaingan menjadi lebih sengit. Jika tidak terpilih, kita perlu tahu bagaimana mengawal perasaan dan tidak terus berputus asa,” ujar Shabaz yang akur bahawa sukan itu membantu membina daya tahan pemikirannya.

Cik Nurbiah berkata beliau dan suami juga perlu belajar menguruskan emosi ketika anak mereka menghadapi kekalahan.

Beliau biasanya memastikan keperluan makanan dan pemulihan anaknya dijaga sebelum dan selepas latihan atau perlawanan, manakala suaminya memberi bimbingan berkaitan permainan.

Selain ragbi, Shabaz mengikuti kelas renang, kegiatan olahraga menerusi ActiveSG, tuisyen bahasa Melayu dan madrasah mingguan.

Keluarganya juga pernah memperkenalkannya kepada kegiatan seperti catur, badminton dan tarian.

Secara keseluruhan, Encik Fadzli dan Cik Siti Nurbiah menganggarkan perbelanjaan bagi kelas pengayaan anak mereka mencecah sekitar $500 sebulan.

Cik Nurbiah menjelaskan keputusan untuk meneruskan sesuatu kegiatan bergantung pada minat si anak serta kemampuan keluarga.

“Pendekatan kami berdasarkan minat anak. Kami tidak mahu mengikut apa yang orang lain mahu atau rasa perlu dilakukan.

“Kami mahu lihat apa yang dia suka dan apa yang diperlukannya,” kata Cik Nurbiah yang akan berbincang dengan Shabaz sebelum mendaftarkannya dalam sesuatu program.