Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masyarakat Melayu/Islam gemilang pada 2024, papar semangat gotong royong

Kemampuan masyarakat Melayu/Islam terus diperkukuh untuk capai kecemerlangan
Dec 8, 2024 | 5:30 AM
Pelbagai daya utama telah diperkenalkan pada 2024 untuk memperkasa masyarakat Melayu/Islam agar terus cemerlang. Bidang seperti sosial, pendidikan, kesihatan serta warisan terus diperkukuh bagi memacu kemampuan masyarakat. Gambar menunjukkan (duduk, dari kanan) Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad; Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng; Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman; dan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, di acara Jalur Fest 2024 pada September. 
Pelbagai daya utama telah diperkenalkan pada 2024 untuk memperkasa masyarakat Melayu/Islam agar terus cemerlang. Bidang seperti sosial, pendidikan, kesihatan serta warisan terus diperkukuh bagi memacu kemampuan masyarakat. Gambar menunjukkan (duduk, dari kanan) Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad; Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng; Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman; dan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, di acara Jalur Fest 2024 pada September.  - Foto fail

Tahun 2024 menyaksikan pelbagai peristiwa bermakna bagi masyarakat Melayu/Islam, dengan usaha berterusan untuk memperkukuh kemampuan masyarakat demi menghasilkan pencapaian penting.

Antara sorotan utama adalah ulang tahun kelima M Kuasa Tiga (M³) – yang menyatukan tenaga dan sumber Yayasan Mendaki, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), serta Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (Mesra).

Sepanjang lima tahun, daya utama seperti Projek Dian, Bersamamu, KelasMateMatika@CC (KMM@CC) dan Pusat Khidmat Penjagaan Berterusan bagi Pesalah dan Keluarga (Fitrah) berjaya diperluaskan.

Masyarakat Melayu/Islam juga menerima suntikan tambahan dengan pelancaran skim Wakaf Masyarakat Singapura (WMS) serta pengumuman penubuhan Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS), yang akan memperoleh manfaat daripada WMS.

Selain itu, kawasan budaya Melayu seperti Geylang Serai dan Kampong Glam turut dipertingkat, menjadikannya kawasan masyarakat kontemporari yang bersemangat.

Antara pembaharuan itu termasuk pembinaan Gerbang Ikonik di Jalur Budaya Geylang Serai (GSCB).

Namun, di sebalik pencapaian yang membanggakan, 2024 turut menyaksikan kadar masyarakat Melayu/Islam yang membuat pemeriksaan awal bagi barah barah buah dada adalah terendah di samping membentuk golongan perokok terbesar.

Berita Minggu mengimbau detik-detik penting yang membanggakan dan juga yang menyentuh hati masyarakat Melayu/Islam sepanjang 2024.

M³ beri perhatian pada isu sosial, perkukuh sukarelawan

Sejak penubuhannya, M³ telah melakukan pelbagai usaha dalam memacu masyarakat Melayu/Islam.

Antaranya termasuk penubuhan M³@Bandar di serata Singapura, yang membantu menggerakkan lebih ramai sukarelawan bagi agensi M³, mendekatkan program dan perkhidmatan kepada penduduk, dan menawarkan bantuan yang lebih disasarkan.

Dalam pada itu, lebih 400,000 ibu bapa, kanak-kanak, pelajar, belia dan pencari kerja telah meraih manfaat daripada program Mendaki dalam tempoh lima tahun sejak ia dilancarkan.

Antaranya termasuk program KelasMateMatika (KMM), yang berjaya meningkatkan jumlah peserta kanak-kanak dan ibu bapa daripada sekitar 300 setahun dahulu kepada sekitar 3,200 hari ini.

Program bimbingan belia M³ juga telah memadankan lebih 1,600 mentor kepada 5,700 orang muda.

Asatizah tempatan turut berganding bahu dalam menyokong masyarakat seperti dalam program Bersamamu, untuk membantu pasangan yang bakal mendirikan rumah tangga dan juga melalui Fitrah untuk memberikan bimbingan dan nasihat kepada banduan.

Sejak 2019, hampir 30,000 pasangan telah meraih manfaat daripada program Bersamamu, manakala bagi program Insan Mukmin, sekitar 120 banduan telah mendapat manfaat sejak 2020.

Sehingga kini, terdapat 4,000 sukarelawan di seluruh agensi M³.

Pelbagai program M³ mendapat sambutan yang memberangsangkan sejak penubuhannya.
Pelbagai program M³ mendapat sambutan yang memberangsangkan sejak penubuhannya. - Foto fail

Muis lancar Wakaf Masyarakat S’pura (WMS)

Pada Ogos, dana WMS mencatatkan pengumpulan hampir $4 juta, tiga minggu selepas pelancarannya.

Ia diperkenalkan untuk membina dana mampan, menyokong keperluan jangka panjang masyarakat, khususnya masjid, madrasah, asatizah dan pembangunan masyarakat Muslim.

Daya utama tersebut menyediakan wadah bagi masyarakat melabur dalam saham akhirat mereka menerusi sumbangan ke wakaf.

Dalam pada itu, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, menjelaskan WMS akan menjadi sumber dana utama bagi pengajian agama di SCIS.

Skim Wakaf Masyarakat Singapura (WMS) akan memenuhi keperluan masyarakat generasi akan datang dengan menyokong masjid, madrasah, asatizah dan pembangunan masyarakat Muslim.
Skim Wakaf Masyarakat Singapura (WMS) akan memenuhi keperluan masyarakat generasi akan datang dengan menyokong masjid, madrasah, asatizah dan pembangunan masyarakat Muslim. - Foto fail

Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS)

Penubuhan SCIS diumumkan ketika ucapan sulung Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, semasa Rapat Hari Kebangsaan 2024.

Institusi tersebut akan menerima kohort pertama seramai 60 pelajar pada 2028.

Ia akan dibentuk oleh lulusan madrasah tempatan atau pelajar yang memenuhi kriteria kemasukan seperti keupayaan memahami bahasa Arab serta pemahaman asas pengajian Islam.

Menyediakan dua haluan – pengajian Islam atau sains kemasyarakatan – ia bertujuan memberi asatizah masa kini dan akan datang kemahiran dalam pelbagai bidang sedang isu yang dihadapi melibatkan pelbagai dimensi.

Kolej yang terletak di Bencoolen Street itu akan bekerjasama dengan institusi tempatan dan antarabangsa yang mapan untuk menyampaikan programnya.

Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) bertujuan memperkukuh kemahiran asatizah dengan pelbagai bidang.
Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) bertujuan memperkukuh kemahiran asatizah dengan pelbagai bidang. - Foto fail

‘Gerbang ikonik’ Geylang Serai dilancar

Dalam semangat membina masa depan sebagai satu masyarakat, projek naik taraf GSCB pertama kali diumumkan pada Rapat Hari Kebangsaan 2018 oleh Perdana Menteri ketika itu, Encik Lee Hsien Loong.

Antara pembangunan utama GSCB ialah Gerbang Ikonik yang dilancarkan oleh Encik Wong pada 2024.

Menurutnya, pembinaan gerbang itu merupakan detik bersejarah dalam pelaksanaan projek GSCB.

Pembinaan Gerbang Ikonik dan kerja naik taraf lain di kawasan itu bertujuan menyuntik nafas baru, merangkumi kawasan dari Tanjong Katong Complex hingga Kelab Masyarakat Kampong Ubi.

Kerja naik taraf lain turut merangkumi pembinaan bangku baru, kawasan rehat berteduh, serta perluasan kawasan turun naik kenderaan di Joo Chiat Complex dan di luar Pasar Geylang Serai.

Encik Wong turut mengumumkan pembaharuan yang akan dilakukan di kawasan kebudayaan Kampong Glam seperti Masjid Sultan dan Taman Warisan Melayu menjadikannya moden dan progresif, namun masih mengekalkan budaya dan tradisi unik.

Kawasan kebudayaan Melayu akan melalui pembaharuan namun tetap mengekalkan warisannya. Antara pembangunan utama Jalur Budaya Geylang Serai (GSCB) ialah Gerbang Ikonik di simpang empat Joo Chiat Complex, Pasar Geylang Serai dan Wisma Geylang Serai.
Kawasan kebudayaan Melayu akan melalui pembaharuan namun tetap mengekalkan warisannya. Antara pembangunan utama Jalur Budaya Geylang Serai (GSCB) ialah Gerbang Ikonik di simpang empat Joo Chiat Complex, Pasar Geylang Serai dan Wisma Geylang Serai. - Foto fail

Kadar periksa barah buah dada rendah; golongan perokok terbesar

Di sebalik setiap pencapaian, ada juga detik yang terus memerlukan perhatian.

Kadar penyertaan pemeriksaan barah buah dada dalam kalangan masyarakat Melayu adalah paling rendah dalam tiga tahun, dengan hanya 16.9 peratus berbuat demikian.

Meskipun jumlah perokok Melayu telah berkurang kepada 16 peratus berbanding 19.5 peratus pada 2022, mereka terus membentuk kumpulan perokok terbesar.

Ini berdasarkan hasil Tinjauan Kesihatan Penduduk Nasional 2023 yang diumumkan Kementerian Kesihatan (MOH) pada Ogos 2024.

Kadar masyarakat Melayu periksa barah buah dada rendah.
Kadar masyarakat Melayu periksa barah buah dada rendah. - Foto fail
Keberkesanan M³

Lima tahun yang lalu, kami menubuhkan M³ untuk berkhidmat dengan lebih baik kepada masyarakat Melayu/Islam kami. M³, seperti yang anda semua tahu, membangunkan kerja cemerlang yang telah dilakukan oleh Muis, Mendaki dan Mesra. Muis telah memberikan bimbingan kepada umat Islam Singapura, membolehkan mereka mengamalkan kepercayaan mereka secara progresif dan harmoni dalam masyarakat kita yang berbilang kaum dan agama. Mendaki telah meningkatkan hasil pendidikan dan pekerjaan, membolehkan masyarakat maju bersama negara kita. Dan Mesra telah memupuk semangat warga negara yang aktif dengan mewujudkan platform untuk penyertaan masyarakat. Bukan sahaja untuk masyarakat Melayu/Islam (MMO), malah masyarakat kita yang lebih luas. Secara individu, setiap ‘3M’ telah melaksanakan kerja dengan sangat baik.  
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Usaha M³ sejak lima tahun lalu

Dalam lima tahun, M³ telah mencatat banyak pencapaian yang membanggakan. Ini hasil kerja keras dan dedikasi semua pihak termasuk para sukarelawan serta rakan kongsi M³. Kejayaan M³ membuktikan bahawa kita boleh capai apa-apa sahaja jika kita bersatu padu dan bekerjasama. Ayuh kita bekerjasama dengan lebih rapat supaya masyarakat Melayu/Islam terus maju ke hadapan sebagai sebuah Masyarakat Gemilang.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Penubuhan Kolej Pengajian Islam Singapura

Kita melihat asatizah kita sekarang ada sebahagian mereka menceburi bidang di luar lingkungan pendidikan agama sahaja. Sebahagian mereka bertugas dalam kerja sosial, memberi kaunseling dan nasihat kepada individu dan keluarga dan sebagainya. Kami menghargai keinginan dan kemahuan mereka menceburi bidang-bidang berkaitan dan dalam peranan mereka sebagai asatizah yang diiktiraf yang dapat memberi sumbangan dalam bidang-bidang sedemikian adalah sesuatu yang perlu kita raikan. Oleh yang demikian, kolej ini bertujuan memberi pilihan-pilihan tersebut bagi asatizah.
Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg