MASYARAKAT Melayu/Islam Singapura terus menampilkan keteguhan dan kecekalan dalam menyesuaikan diri dengan pelbagai keterbatasan dan norma baru, sungguhpun dicabar dengan pelbagai dugaan sepanjang krisis Covid-19 yang masih membelenggu dunia, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.
Demikian dikatakan Encik Masagos, yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, sempena sambutan tahun baru Islam, atau Maal Hijrah, malam semalam.
Masyarakat Muslim di sini menyambut Maal Hijrah ketika azan Maghrib berkumandang semalam sebagai menandakan tibanya 1 Muharram 1443 Hijriah.
Dalam catatan pos di Facebook beliau semalam, Encik Masagos menyatakan bahawa beliau sangat bangga dengan sifat terpuji masyarakat Melayu/Islam Singapura yang memaparkan ciri-ciri masyarakat gemilang.
"Harapan saya agar masyarakat kita akan terus teguh mengharungi masa-masa mencabar ini dengan tenang, sabar dan taqwa seperti semangat Hijrah yang ditunjukkan Nabi SAW ketika berhijrah dari Makkah ke Madinah dahulu," kata Encik Masagos.
Encik Masagos turut berharap tahun baru ini dapat membuka lembaran baru untuk semua, sedang keadaan pandemik koronavirus di sini dikawal dengan serta-merta.
"Semoga tahun baru Hijrah ini membuka lembaran dan azam baru buat semua untuk melindungi dan memperbaiki diri, keluarga dan masyarakat di sekeliling kita.
"Semoga kita berjaya mengawal pandemik Covid-19 dengan segera," tambah beliau.
Bagi menyambut ketibaan tahun baru Islam itu, satu acara Awal Muharram, anjuran Pejabat Mufti bersama Masjid Al-Mukminin dan SalamSG, diadakan dalam talian petang semalam.
Acara itu menampilkan Mufti Singapura, Dr Nazirudin Nasir, yang memberi takzirah khas, dan bacaan Al-Quran bersama barisan asatizah Masjid Al-Mukminin, antara lain.
Ia disiarkan secara langsung di laman Facebook dan YouTube Salam SG TV dan Facebook Masjid Al-Mukminin.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg