Seperti banyak sektor lain, sektor perbankan dan kewangan tidak terkecuali dalam menyaksikan penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang semakin berleluasa, terutamanya dalam mengautomasikan analisis dan operasi.

Namun, ia tidak menggantikan peranan penasihat kewangan manusia kerana klien tetap menghargai kepercayaan, kebertanggungjawapan dan hubungan antara manusia.

Demikian antara intisari yang dibincangkan semasa siri perbincangan Rangkaian Profesional anjuran Yayasan Mendaki pada 18 September, yang bertemakan ‘AI & Pengurusan Kekayaan: Berkembang Maju dalam Gangguan’.

Siri perbincangan itu menampilkan tetamu, Encik Marc Van de Walle, pemimpin perbankan dan pengurusan kekayaan dengan pengalaman lebih tiga dekad, dan moderator, Encik Sazzali Sabandi, ketua perbankan Islam di Maybank Singapore.

Mereka telah mengupas peranan karyawan pengurusan kekayaan yang kian berubah, serta kemahiran, keupayaan menyesuaikan diri dan rangkaian yang diperlukan untuk berkembang maju dalam industri yang dipacu teknologi.

Lebih 80 karyawan dan pemimpin perbankan Melayu/Islam menyertai siri perbincangan itu, yang turut dihadiri Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad.

Dalam perbincangan itu, Encik Van de Walle berkata tidak seperti revolusi teknologi terdahulu atau AI tradisional, AI generatif tampil berbeza kerana ia mudah diakses secara berinteraksi dan mempunyai keupayaan luar biasa untuk membuat keputusan sendiri.

Bagaimanapun, menyerahkan tugas untuk membuat keputusan kepada AI menimbulkan persoalan tentang kawalan dan pemeriksaan.

Oleh itu, meskipun teknologi semakin maju, AI tidak akan menggantikan pengurus hubungan mahupun penasihat kewangan manusia, kata beliau.

“Isu utamanya adalah AI tiada kebertanggungjawaban. Kita tak boleh saman AI, kan? Terutamanya dalam hal nasihat kewangan – mungkin satu hari nanti boleh, tetapi hari ini masih belum boleh.

“Sebaliknya, kalau kita bercakap dengan manusia, ada kebertanggungjawaban pada orang itu, walaupun dari segi emosi. Contohnya bila keadaan pasaran buruk, kita boleh jumpa semula orang itu dan berbincang.

“Kemudian, ada juga elemen kepercayaan di situ… Manusia belum bersedia untuk mempercayai mesin sepenuhnya (dalam urusan kewangan mereka),” kata Encik Van de Walle.

Beliau menambah bahawa penasihat kewangan digital atau penasihat-robo sepenuhnya hanya memegang bahagian pasaran yang sangat kecil – iaitu sekitar 1 peratus – kerana pelanggan tidak percaya pada mesin untuk menguruskan wang simpanan seumur hidup mereka.

Lagipun, nasihat kewangan didorong oleh emosi, dan peranan utama penasihat adalah untuk mengawal emosi pelanggan dan mengurus isu-isu yang tidak dinyatakan secara terus terang.

“Perkara utama yang kekal penting apabila anda menggunakan AI adalah untuk mengekalkan akal budi dan mempunyai daya pemikiran untuk menilai.

“AI tidak mempunyai daya pemikiran, tidak tahu membezakan yang mana betul atau salah. Jadi saya percaya AI boleh jadi rakan pembantu dan boleh meningkatkan mutu kerja anda,” kata beliau.