Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Badan bantu diri masyarakat Bawean agih habuan Raya

Kelab Pondok Peranakan Gelam sumbang keperluan asas kepada 150 penerima bantuan
Mar 25, 2025 | 10:32 PM
Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam (tengah), bersama pengerusi projek Dana Kita Prihatin (DKP), Encik Borhan Saini (kiri), dan Presiden Kelab Pondok Peranakan Gelam (PPGC), Encik Gazali Subni, semasa acara pengagihan habuan DKP di Masjid Kampong Delta pada 22 Mac.
Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam (tengah), bersama pengerusi projek Dana Kita Prihatin (DKP), Encik Borhan Saini (kiri), dan Presiden Kelab Pondok Peranakan Gelam (PPGC), Encik Gazali Subni, semasa acara pengagihan habuan DKP di Masjid Kampong Delta pada 22 Mac. - Foto PPGC

Kelab Pondok Peranakan Gelam (PPGC) telah memberi secebis keceriaan kepada 150 penerima habuan berupa keperluan harian asas di ambang Syawal yang bakal tiba pada 31 Mac.

Satu acara telah diadakan oleh badan bantu diri masyarakat Bawean itu di Masjid Kampong Delta pada 22 Mac.

Acara itu turut dihadiri Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam.

Dalam ucapannya, Cik Rahayu melahirkan rasa gembira di atas penglibatan individu dan syarikat bukan Melayu/Islam dalam menjayakan acara itu.

Selaku Pengerusi Dana Kita Prihatin (DKP) 2025, Encik Borhan Saini, berkata agihan 2025 mencatat peningkatan ketara daripada segi jumlah penerima.

Ini disebabkan demografi penerima bantuan tidak terhad kepada anggota kelab sahaja, tambah beliau.

Ia bahkan turut merangkumi individu daripada pelbagai latar belakang, termasuk mereka yang bukan daripada masyarakat Melayu/Islam.

“Pengagihan kali keempat ini menampakkan tambahan dari segi penerima bantuan sebanyak tiga kali ganda berbanding tahun-tahun sebelumnya yang selalunya melibatkan kurang daripada 50 penerima,” kata beliau,

Habuan dengan barangan seperti beras, gula, minyak masak, kopi atau teh serta baucar pasar raya Sheng Siong dan wang tunai bernilai $250 itu telah disampaikan.

Pihak penaja terdiri daripada syarikat Tamishna Group, pasar raya ShengSiong, SCash, Passions Watch Exchange Pte Ltd, AOX Pte Ltd, DeFRED JEWEL, Nazreen Catering, Element Design Studio Pte Ltd, dan Tabriz Carpets Pte Ltd.

Dalam pada itu, antara penerima habuan PPGC termasuk pelawak veteran yang kini berada di rumah jagaan NTUC Care, Mahadi Shor, dan pemain sepak takraw kebangsaan pada pertengahan 1960-an dan 1970-an, Eusofe Budal.

Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Encik Borhan berkongsi hasratnya melanjutkan acara pengagihan habuan itu pada tahun-tahun seterusnya.

“Sumbangan dan sokongan yang diterima daripada pelbagai anggota masyarakat untuk menjayakan projek DKP kali ini amat menggalakkan.

“Saya harap ini dapat diteruskan agar membantu lebih ramai penerima bantuan yang memerlukan pada masa hadapan,” kata beliau.

Pada 2024, Kelab PPGC berjaya mengumpulkan derma berupa barangan keperluan Hari Raya dan sumbangan berjumlah hampir $20,000 bagi projek yang sama.

Dengan hasil itu, PPGC telah mengagihkan habuan bagi sambutan Hari Raya dan sumbangan wang tunai sebanyak $150 seorang kepada 30 anggotanya yang memerlukan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg