Bahasa Melayu bukan sekadar alat komunikasi, malah menjadi wadah yang menyatukan masyarakat serta membentuk jati diri rakyat Singapura, kata Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Kedua Pendidikan, Encik David Neo.

Berucap dalam bahasa Melayu di majlis pelancaran Bulan Bahasa 2026 di Kampus Mediacorp, beliau berkata bahasa tersebut memainkan peranan penting dalam memelihara kisah generasi perintis, meluahkan aspirasi masa depan, serta mengeratkan hubungan dalam masyarakat.

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad dan Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri), yang juga Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) dan Jawatankuasa Bulan Bahasa, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim turut hadir semasa majlis pelancaran itu.

“Melalui bahasa Melayu, kita pelihara kisah-kisah generasi perintis, meluahkan impian kita untuk masa hadapan dan mengeratkan hubungan masyarakat.

“Hari demi hari, saya melihat sendiri bagaimana bahasa bukan sekadar alat komunikasi, tetapi wadah yang menyatukan masyarakat dan membentuk jati diri kita,” tambah Encik Neo.

Mengambil contoh lagu klasik Burung Kakak Tua yang dipelajarinya semasa di sekolah, Encik Neo berkongsi bagaimana karya seni sedemikian mampu mengimbau kenangan indah, sekali gus bertindak sebagai penghubung akrab antara beliau dengan rakan-rakan berbilang bangsa dan agama.

Lagu-lagu sedemikian mengimbau kenangan bersama rakan-rakannya daripada pelbagai bangsa dan agama, tambah beliau.

“Saya meluangkan banyak masa bersama mereka dengan bermain bola sepak dan mengunjungi rumah masing-masing semasa musim perayaan, seperti Hari Raya,” kongsi Encik Neo dalam ucapan selama empat minit itu.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada para pendidik, sukarelawan, penggiat seni, badan masyarakat, serta keluarga yang terus memainkan peranan aktif dalam memasyarakatkan bahasa tersebut.

Encik Neo berkata bahawa usaha memartabatkan bahasa Melayu tidak seharusnya terletak pada bahu satu pihak sahaja, sebaliknya merupakan tanggungjawab bersama seluruh masyarakat.

Menurutnya menyemai cinta terhadap bahasa Melayu perlu dipupuk dari rumah.

“Rumah merupakan bilik darjah pertama kita, manakala ibu bapa dan datuk nenek pula merupakan guru pertama kita. Bak kata pepatah, ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’,” ujar beliau.

Ini bermula dengan membaca buku Melayu bersama anak-anak serta menyertai program masyarakat yang memartabatkan bahasa tersebut, tambah Encik Neo.

Bulan Bahasa 2026 memberi tumpuan kepada usaha memperkasa golongan belia agar menggunakan bahasa Melayu dengan yakin, kreatif, dan bermakna dalam kehidupan seharian.

Acara tahunan ini juga menyaksikan pelantikan penyiar sambilan di Mediacorp Warna 942FM, pengacara dan penggiat seni, Cik Anis Qurratu’aini Azman, 36 tahun; serta Naib Presiden Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM) yang juga lulusan jurusan undang-undang dari Universiti Nasional Singapura (NUS), Encik Kamal Ashraf Kamil Jumat, 25 tahun, sebagai Duta Bahasa.

Ini menjadikan jumlah Duta Bahasa setakat ini seramai 55 orang.

Acara pelancaran itu dimeriahkan dengan persembahan kumpulan Katapella dari Sekolah Menengah Yusof Ishak; penerima Pingat Budaya, Rahimah Rahim; serta penyanyi, Hetty Sarlene.

Iringan muzik dan tarian oleh kumpulan seni Orked Malaya, Sanggar Seni Melayu dan T3at3r Muzikal Collective merancakkan lagi acara tersebut, dengan susunan muzik yang diterajui oleh Duta Bahasa 2016, Megat Muhammad Firdaus Mohamad.

Pelbagai kegiatan dianjurkan di serata Singapura bagi menyemarakkan lagi kecintaan dan penghargaan terhadap bahasa ibunda itu sehingga 11 Oktober.