Topik diikuti
Pergi ke BHkuBantu tubuh Pusat Harmoni dari sifar, kini bangga lihatnya mekar
Haniff Abdul Razak dipilih terajui institusi tersebut apabila MUIS sedar perlunya satu institusi khas bagi berikan kefahaman mengenai Islam secara lebih tepat dan jelas
Bantu tubuh Pusat Harmoni dari sifar, kini bangga lihatnya mekar
Pada awal era 2000-an, wujud salah faham dalam kalangan orang bukan Islam bahawa terdapat pelbagai kekangan dalam agama Islam.
Soalan seperti “Kenapa Islam susah sangat – itu tidak boleh, ini tidak boleh?” atau “Kenapa mesti selalu ada makanan halal?” sering didengari daripada golongan bukan Muslim, oleh Encik Haniff Abdul Razak, 79 tahun.
Melihat kekeliruan ketika itu, kepimpinan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) menyedari perlunya satu institusi khas yang memberikan kefahaman mengenai Islam yang lebih tepat dan jelas.
Apabila Encik Haniff dipilih untuk menerajui institusi tersebut – yang kini dikenali sebagai Pusat Harmoni – beliau tidak teragak-agak untuk menerima tanggungjawab tersebut.
Bagi beliau, tanggungjawab menggalas amanah sebagai Ketua Pusat Harmoni yang pertama, sejak ia dibuka pada 7 Oktober 2006 hingga 2010, merupakan satu kewajipan sosial demi keharmonian tanah air.
“Visi penubuhan Pusat Harmoni ialah menghasilkan sebuah institusi pendidikan untuk memupuk kefahaman tentang Islam, dan bukan menjadi sebuah pusat untuk membuat orang memeluk Islam,” katanya.
Mengimbau “ajakan” daripada Presiden MUIS ketika itu, Encik Mohammad Alami Musa, untuk membantu menubuhkan pusat tersebut, Encik Haniff berkata:
“Kami berada dalam satu majlis lain di Masjid Al-Iman, tiba-tiba beliau datang kepada saya dan berkata, ‘Saya mahu kamu bangunkan Pusat Harmoni.’”
Tanpa teragak-agak, beliau menyahut cabaran daripada pimpinan MUIS dan Menteri Bertanggungjawab bagi Hal Ehwal Masyarakat Islam ketika itu, Dr Yaacob Ibrahim, untuk mengembangkan Pusat Harmoni dan menjadi ketuanya dari 2006 hingga 2010.
Namun, membangunkan Pusat Harmoni daripada sifar bukanlah tugas mudah.
Ini kerana beliau perlu membina kepercayaan masyarakat dan penganut agama lain terutama apabila ia dibangunkan di sebuah masjid, iaitu Masjid An-Nahdhah di Bishan.
“Kami berdepan dengan segelintir orang yang bersikap ragu-ragu.
“Mereka berkata, ‘Oh, kenapa kamu nak adakan benda ini? Kenapa kamu panggil untuk bermesyuarat? Kenapa perlu cakap pasal benda ini?’ Memang ketika itu banyak cabaran,” katanya.
Lantas, untuk mereka kandungan pusat itu, Encik Haniff berganding bahu dengan penolong kurator di Muzium Tamadun Asia (ACM) ketika itu, Cik Hairani Hassan-Joshi.
Mereka memerah otak untuk melakar kandungan dan menyatukan kesemua maklumat 10 agama utama di sini.
Selain itu, mereka juga perlu mengambil kira sensitiviti jemaah masjid dengan menyusun maklumat agama lain secara cermat dan berhati-hati.
Untuk mengatasi keprihatinan itu, mereka membuat keputusan untuk mereka konsep interaktif seperti laci maklumat agama, di mana pelawat boleh menarik keluar maklumat mengenai agama tertentu dan membacanya, bagi memastikan wujud rasa hormat terhadap semua pihak.
“Ini untuk memastikan maklumat itu tidak terdedah secara terbuka, tetapi pada masa yang sama ia memenuhi keperluan semua orang,” tambah beliau, yang mempunyai dua orang anak perempuan dan seorang cucu lelaki.
Hasil titik peluh Encik Haniff dan beberapa individu di sebalik penubuhan itu, Pusat Harmoni dibuka secara rasmi oleh mantan Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, pada 7 Oktober 2006.
Di bawah kepimpinan Encik Haniff, pelbagai program dilaksanakan untuk mendekatkan masyarakat awam, pelajar Islam dan bukan Islam, penduduk setempat dan luar negara, mahupun anggota Perkhidmatan Negara (NS), menerusi dialog telus mengenai Islam.
Kini, walaupun sudah bermastautin di Australia sejak 2010, semangat perjuangan Encik Haniff tidak pernah padam.
Beliau membawa pengalaman berharga itu dari Singapura ke Toowoomba, Queensland, Australia, di mana beliau membantu membangunkan Pusat Pelbagai Agama dan Budaya di sana daripada sifar.
Beliau merupakan Pengarah di Pusat Pelbagai Agama dan Budaya di Toowoomba.
Berkat kegigihannya merangka pelbagai dialog serta menyatukan 27 denominasi agama di sana, usaha beliau mendapat pengiktirafan tinggi.
Encik Haniff turut dikurniakan Anugerah Masyarakat Cemerlang daripada pemerintah Queensland atas sumbangan berterusan beliau terhadap perpaduan dan keamanan.
Menjelang sambutan ulang tahun ke-20 penubuhan Pusat Harmoni, Encik Haniff menatap perkembangan pusat itu dengan rasa bangga dan terharu, sambil berharap ia dapat terus membimbing generasi muda.
Ini lebih-lebih lagi dengan lokasi strategik Pusat Harmoni yang dikelilingi pelbagai pusat pendidikan termasuk Pusat Bahasa Kementerian Pendidikan (MOELC), persatuan Pandu Puteri Singapura dan kelab masyarakat.
“Ia sangat bermakna kerana ia seperti bayi kita sendiri (dan kita) melihatnya membesar.
“Saya secara peribadi berharap agar Pusat Harmoni dapat memanfaatkan lokasi pendidikan yang sedia ada, dan membimbing pelajar, memandangkan merekalah yang bakal meneruskan agenda ini,” ujarnya.