Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bekas ahli politik WP, Tang Liang Hong, meninggal dunia pada usia 90 tahun

Oct 2, 2025 | 4:24 PM
Semasa Pilihan Raya Umum 1997 (GE1997), Encik Tang Liang Hong merupakan sebahagian daripada pasukan lima anggota Parti Pekerja (WP) di GRC Cheng San, yang kini sudah tidak wujud.
Semasa Pilihan Raya Umum 1997 (GE1997), Encik Tang Liang Hong merupakan sebahagian daripada pasukan lima anggota Parti Pekerja (WP) di GRC Cheng San, yang kini sudah tidak wujud. - Foto ST

Bekas anggota politik Parti Pekerja (WP), Encik Tang Liang Hong, yang juga seorang peguam dan pernah bertanding di GRC Cheng San pada 1997, meninggal dunia pada 15 September pada usia 90 tahun.

Satu pemberitahuan kematian atau obituari yang diterbitkan di The Straits Times (ST) pada 2 Oktober tidak menyatakan punca dan di mana beliau meninggal dunia.

Upacara pengebumian mendiang akan diadakan di Woodlands Memorial Funeral Parlour yang terletak di 7 Woodlands Industrial Park E8, dari 2 hingga 4 Oktober, dengan majlis perpisahan keluarga secara tertutup pada 5 Oktober.

Dalam Pilihan Raya Umum 1997 (GE1997), Encik Tang merupakan calon kali pertama yang menyertai pasukan lima anggota WP di GRC Cheng San, yang ketika itu merangkumi kawasan Jalan Kayu, sebahagian Ang Mo Kio dan Serangoon North, serta Punggol dan Sengkang.

Pasukan itu dipimpin oleh ketua parti, mendiang J.B. Jeyaretnam.

Mereka menentang pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang diketuai oleh Menteri Pendidikan ketika itu, Encik Lee Yock Suan, dan turut disertai Encik Zainul Abidin Rasheed, yang kemudian menjadi Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar).

Dalam satu rapat pilihan raya, Encik Tang berkata sekiranya masyarakat Melayu tidak mengundi PAP, masjid tidak akan dibina di Cheng San – satu dakwaan yang kemudiannya disangkal Perdana Menteri ketika itu, Encik Goh Chok Tong, yang menegaskan bahawa pemerintah PAP berpegang pada prinsip layanan adil dan saksama terhadap semua agama di Singapura.

Encik Tang dituduh PAP sebagai seorang Cina anti-Kristian yang berpandangan ekstrem dan mengancam keharmonian kaum dan agama di Singapura.

Beliau menafikan tuduhan tersebut.

Encik Goh turut berkata keputusan di GRC itu akan menjadi penentu hala tuju Singapura – sama ada menuju ke arah masyarakat yang lebih berteraskan dominasi Cina, atau kekal sebagai sebuah masyarakat majmuk.

WP akhirnya tewas di Cheng San GRC dengan 45.18 peratus undi, iaitu margin kekalahan terkecil pada pilihan raya tersebut.

Selepas pilihan raya, Encik Tang, yang telah membuat beberapa laporan polis terhadap anggota PAP, berdepan pelbagai saman fitnah, termasuk daripada Encik Goh, Menteri Kanan ketika itu Encik Lee Kuan Yew, serta Timbalan Perdana Menteri Encik Lee Hsien Loong, berkaitan laporan polis tersebut.

Beliau akhirnya didapati bersalah atas tuduhan fitnah dan diarahkan membayar ganti rugi berjumlah $8,075,000 kepada para pemimpin tersebut.

Encik Tang meninggalkan Singapura selepas pilihan raya itu dan kemudian berpindah ke Australia, tempat beliau dipercayai menetap hingga akhir hayatnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg