Beberapa tahun lalu, Encik Muhamad Rayn Zainudin menyaksikan ibu saudaranya hampir menjadi mangsa penipuan atau ‘scam’.
Melihat kegusaran keluarganya pada detik itu, beliau menanam satu janji dalam dirinya untuk memastikan ahli keluarganya dan orang lain tidak melalui pengalaman serupa.
Janji itu akhirnya membentuk hala tuju dalam kehidupannya, sehingga mendorong beliau menceburi bidang keselamatan siber dan rangkaian.
Ia bermula sewaktu pengajiannya di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Barat sehingga kini sebagai pelajar tahun satu dalam bidang Keselamatan Siber dan Forensik Digital di Politeknik Singapura (SP).
Di samping itu, ia juga menjadi pemangkin yang menggerakkan beliau untuk menjadi sukarelawan, mendidik pelajar sekolah menengah tentang keselamatan siber serta meningkatkan kesedaran mereka mengenai bahaya penipuan, selain memupuk tabiat serta amalan keselamatan asas dalam dunia siber.
Dengan kecemerlangannya dalam bidang akademik serta sumbangannya kepada masyarakat, Encik Rayn, 19 tahun, menerima Anugerah Bestari Gemilang dalam Majlis Anugerah Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi (4PM) ITE 2025 pada 28 November.
Beliau merupakan antara 45 penerima anugerah dari ketiga-tiga ITE Kolej, dalam majlis yang diadakan di Auditorium Universiti Nasional Singapura (NUS), Shaw Foundation Alumni House, di Kent Ridge Drive.
Majlis itu dihadiri Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua (Ehwal Dalam Negeri), Encik Edwin Tong.
Selepas majlis penganugerahan itu, Encik Rayn memberitahu Berita Harian (BH), beliau telah mempelajari selok-belok keselamatan siber dan berjaya membantu ibu saudaranya menjejaki semula penipu tersebut, sekali gus mengelakkannya daripada menjadi mangsa penipuan.
“Dari situ saya sedar jika saya benar-benar mendalami dan mampu memberi nasihat tentang keselamatan siber yang tepat, saya boleh melindungi orang lain.
“Lebih ramai yang tahu cara melindungi diri, semakin kuranglah mereka yang akan menjadi mangsa,” ujar anak bongsu dua beradik itu.
Sepanjang dua tahun di ITE Kolej Barat, Encik Rayn bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, bahkan turut berbakti dengan menjadi sukarelawan yang mengajar pelajar sekolah menengah mengenai keselamatan digital.
Dalam sesi itu, beliau berkongsi cara mengesan tanda penipuan, mengelak bahaya klik pautan yang tidak selamat, dan mempelajari kepentingan ‘cyber hygiene’ atau amalan perlindungan keselamatan siber, seperti penggunaan kata laluan yang kukuh, Pengesahan Data Tahap Kedua (F2A) dan cara menangani panggilan tidak dikenali.
“Ramai hanya mula ambil berat apabila sesuatu yang buruk berlaku. Sebab itu saya mahu pelajar sekolah faham risikonya sebelum mereka jadi mangsa,” ujar beliau.
Semangat seumpama inilah yang diketengahkan Encik Tong dalam ucapannya.
Beliau menyeru penerima anugerah supaya kembali menyumbang kepada masyarakat suatu hari nanti.
“Satu hari nanti, anda pula yang akan menjadi mentor kepada orang lain… dan membuat perbezaan dalam hidup mereka.”
Dengan anugerah ini, Encik Ryan kini bertekad bekerja lebih keras dalam menceburi minatnya.
Beliau mempunyai impian untuk berkhidmat dalam Perkhidmatan Digital dan Perisikan (DIS) demi membanteras jenayah siber serta memastikan lebih ramai orang tidak menjadi mangsa, seperti yang hampir dialami keluarganya dahulu.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Presiden 4PM, Encik Nassar Mohamad Zain; Pengarah Eksekutif 4PM, Encik Didicazli Ismail; Anggota Parlimen (AP) GRC East Coast, Cik Hazlina Abdul Halim; dan Penolong Bendahari 4PM, Cik Nurul Ain Mohd Shahrin.
Anugerah Kemajuan Terbaik Permentoran FRENZ 2025 turut diberikan kepada 18 pelajar dan Anugerah Mentor dan mentor Cemerlang FRENZ Mentors Award diberikan kepada enam pelajar, yang disampaikan oleh Encik Nassar.
Bagi 2025, seramai 39 pelajar ITE menerima Anugerah Bestari yang disampaikan oleh Cik Hazlina dan Cik Nurul Ain.
Encik Tong dan Encik Nassar turut menyampaikan Anugerah Bestari Cemerlang kepada tiga pelajar, antaranya, pelajar tahun satu Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Politeknik Ngee Ann (NP), Encik Fazli Zaini, yang sebelum ini menuntut di ITE Kolej Barat dalam jurusan Pelancongan.
Antara anugerah lain yang disampaikan ialah Anugerah Bestari Daya Bingkas serta Sijil Penyertaan bagi Program Bestari Mentoring 2025.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg