Topik diikuti
Pergi ke BHkuBerita tak semestinya ‘berat’: BH jadikan isu rumit lebih mudah difahami di platform media sosial
Berita tak semestinya ‘berat’: BH jadikan isu rumit lebih mudah difahami di platform media sosial
BH perbaharui pendekatan media sosial untuk sampaikan berita bermakna, mudah diikuti dan dekat dengan kehidupan masyarakat
Berita tak semestinya ‘berat’: BH jadikan isu rumit lebih mudah difahami di platform media sosial
Apa kaitan perubahan dasar perumahan dengan peluang anda membeli flat pertama? Bagaimana perkembangan ekonomi menjejas poket keluarga? Dan mengapa sesuatu isu yang hangat diperkatakan di media sosial sebenarnya lebih rumit daripada yang disangka?
Berita Harian (BH) mahu membantu pembaca mendapatkan jawapan kepada persoalan sebegini – tanpa perlu meneliti dasar yang panjang atau membaca laporan yang mungkin mencabar untuk difahami.
Melalui pembaharuan kandungan di platform media sosial utamanya, BH akan memberi lebih tumpuan kepada video pendek, penerangan visual dan penceritaan yang membantu masyarakat memahami bukan sahaja apa yang berlaku, malah mengapa sesuatu perkembangan itu penting kepada mereka.
Pendekatan ini juga sebahagian daripada usaha BH mendekati pembaca lebih muda, termasuk golongan milenial dan Gen Z yang mendapatkan berita melalui telefon bijak, namun tanpa mengkompromi prinsip asas kewartawanan – ketepatan, kredibiliti dan konteks.
Antara personaliti yang akan terus menghidupkan kandungan media sosial BH ialah penerbit dan penyampai podcast NoTapis, Cik Natasha Mustafa, 31 tahun; serta Wartawan Media Sosial Cik Ameerah Sallehuddin, 24 tahun dan Cik Eva Adriana, 22 tahun.
Mereka akan menjadi antara wajah yang membantu menjadikan kandungan berita lebih mesra penonton, menerusi gaya penyampaian yang jelas, semula jadi dan tidak terlalu formal.
Bagi Cik Natasha, kandungan berita yang baik bukan sahaja perlu tepat, malah harus disampaikan dengan cara yang membuat penonton merasakan isu tersebut mempunyai kaitan dengan kehidupan mereka.
“Kita tidak boleh menganggap anak muda tidak berminat dengan isu-isu serius. Kadangkala, yang membuatkan mereka menjauhi kandungan berita bukankan topiknya, tetapi cara kita menyampaikannya. Tugas kami adalah menjadikan isu yang rumit lebih mudah difahami, tanpa mengurangkan kepentingan atau kepadatan cerita itu,” katanya.
Podcast NoTapis, misalnya, akan terus meneroka kisah kehidupan, isu masyarakat yang sensitif dan perbualan yang jarang diketengahkan secara terbuka.
Ia juga akan berusaha menjadikan perbincangan lebih terus terang, dengan ruang untuk pandangan berbeza dan persoalan yang mencabar.
“Kami mahu NoTapis menjadi ruang untuk perbualan yang jujur, termasuk tentang perkara yang mungkin membuatkan sesetengah orang kurang selesa. Bukan untuk mencetuskan kontroversi semata-mata, tetapi kerana perbincangan yang bermakna kadangkala memerlukan kita berani bertanya soalan yang sukar,” tambah Cik Natasha.
Sementara itu, Editor Media Sosial BH, Cik Ervina Mohd Jamil, berkata lain-lain kandungan media sosial BH juga akan diberi nafas baru berdasarkan maklum balas sesi FGD.
Antaranya ialah siri Mari BH Jelaskan. Ia akan diperkukuh untuk menghuraikan isu dasar, ekonomi dan perkembangan semasa melalui video ringkas, grafik dan paparan maklumat yang mudah diikuti.
Kandungan popular BH seperti Kaki Makan, Kaki Jalan, Dunia Anak dan podcast BHerbual turut melengkapkan tawaran kandungan yang menyentuh pelbagai aspek kehidupan masyarakat.
BH juga sedang meneliti cara berita dipaparkan di Instagram supaya pengikut tidak dibanjiri terlalu banyak hantaran grafik statik.
Antara pendekatan yang akan diuji ialah menyalurkan sebahagian besar kemas kini berita harian melalui Instagram Stories, sementara ruang hantaran utama memberi lebih penekanan kepada berita penting, laporan khas dan kandungan penerangan yang mempunyai nilai lebih panjang.
Pembaharuan itu mengambil kira maklum balas sesi perbincangan kumpulan fokus yang mahukan kandungan lebih menarik dari segi visual, tetapi tetap berwibawa.
Di luar skrin pula, BH merancang memperluas kegiatan interaktif seperti Jom BHerbual dan NoTapis Live yang membawa perbincangan isu semasa terus kepada masyarakat.
Usaha ini membuka peluang kepada penonton untuk bertanya soalan, berkongsi pengalaman dan menyertai perbualan secara langsung.
“Bagi kami, platform media sosial bukan sekadar tempat orang ramai mendapat berita terkini tetapi juga ruang untuk memahami isu dengan lebih mendalam, mendengar pelbagai pandangan dan membina hubungan yang lebih bermakna dengan masyarakat,” ujar Cik Ervina.