Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Biografi pelihara legasi Allahyarham Ustaz Ali dilancar

SM Teo: Usaha Ustaz Ali perboleh Muslim S’pura lebih bersepadu, lebih upaya jalani kehidupan beragama dalam dunia moden, dan lebih bersedia hadapi cabaran
Mar 17, 2025 | 7:59 PM
Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean (dua dari kanan), bersama (dari kiri) Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim; dan pengerusi bersama RRG - Ustaz Dr Mohamed Ali dan Ustaz Mohamad Hasbi Hassan - di pelancaran biografi ‘A Life Well-Lived: My Father Ustaz Ali’ di Auditorium, Ustaz Ali Haji Mohamed di Masjid Khadijah pada 17 Mac.
Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean (dua dari kanan), bersama (dari kiri) Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim; dan pengerusi bersama RRG - Ustaz Dr Mohamed Ali dan Ustaz Mohamad Hasbi Hassan - di pelancaran biografi ‘A Life Well-Lived: My Father Ustaz Ali’ di Auditorium, Ustaz Ali Haji Mohamed di Masjid Khadijah pada 17 Mac. - Foto BH oleh KHALID BABA

Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) dan Masjid Khadijah telah mendokumenkan legasi Allahyarham Ustaz Ali Mohamed dalam bentuk sebuah biografi sebagai satu penghormatan buat beliau.

Biografi Allahyarham, pengerusi Masjid Khadijah dari 1993 hingga 2022 dan pengasas bersama RRG, dilancarkan pada 17 Mac, genap dua tahun selepas pemergiannya.

Bertajuk ‘A Life Well-Lived: My Father Ustaz Ali’ (Kehidupan yang Dijalani dengan Baik: Ayahku Ustaz Ali), biografi itu dilancarkan oleh Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean, semasa majlis berbuka puasa tahunan bersama Masjid Khadijah dan RRG di Masjid Khadijah.

Turut hadir di majlis itu ialah Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim; Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, Encik Mohd Fahmi Aliman; Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir; Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen; Presiden Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Saat Abdul Rahman; Pengerusi bersama RRG, Ustaz Mohamad Hasbi Hassan dan Ustaz Dr Mohamed Ali.

Biografi itu ditulis oleh Ustaz Dr Mohamed, yang juga anak Allahyarham.

Ia dihasilkan sebagai usaha mendokumenkan pengalaman hidup dan pencapaian cemerlang Allahyarham serta memelihara dan menghormati warisannya.

“Idea menerbitkan buku ini tercetus semasa Ustaz Ali masih hidup. Kami ingin mendokumenkan pengalaman hidup dan pencapaian beliau yang cemerlang bagi memberi inspirasi kepada yang lain.

“Setelah pemergiannya, kami bertekad memelihara kisah hidupnya dan menghormati legasinya. Selama dua tahun kami terus berusaha memenuhi aspirasi dan tanggungjawab menghasilkan biografinya,” ujar Ustaz Dr Mohamed kepada 100 tetamu di Auditorium Ustaz Ali Haji Mohamed di Masjid Khadijah.

Beliau juga berharap buku itu dapat memberikan wawasan, terutamanya kepada asatizah.

Ustaz Dr Mohamed berkata meskipun bukan lulusan institusi agama terkenal seperti Universiti Al-Azhar, Allahyarham bersemangat dan beretika dalam menuntut ilmu, terutama mengenai pentingnya keberkatan ibu bapa dalam usaha mencari ilmu, yang merupakan faktor kuat yang mempengaruhi dan mengukuhkan diri Allahyarham.

“Pengajaran ini telah memberikan manfaat yang besar kepada orang lain, terutamanya asatizah hari ini,” tambahnya.

Dalam ucapannya Encik Teo berkata masyarakat Islam di Singapura lebih bersepadu, lebih berdaya menjalani kehidupan beragama dalam dunia moden, dan lebih bersedia menghadapi cabaran masa depan sebahagian besar kerana usaha Allahyarham.

“Almarhum Ustaz Ali Haji Mohamed menjalani hidupnya dengan berkhidmat tanpa mementingkan diri sendiri dan tanpa jemu kepada agamanya, masyarakatnya, dan negaranya.

“Masyarakat Islam kita lebih bersepadu, lebih berdaya menjalani kehidupan beragama dalam dunia moden, dan lebih bersedia menghadapi cabaran masa depan, sebahagian besar kerana usaha Ustaz Ali,” kata Encik Teo, yang juga Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara.

Sementara itu, Encik Teo juga berkata pendekatan kepada ancaman ideologi pengganasan dan ekstremisme meliputi seluruh masyarakat menerusi program RRG.

Menurutnya langkah menghukum dalam masyarakat lain hanya mencapai kadar kemajuan yang pelbagai.

Selain itu, inisiatif yang melibatkan usaha pendekatan masjid bagi mengenal pasti belia yang memerlukan kaunseling awal juga adalah kritikal, kata beliau.

Selain itu, Encik Teo juga berkongsi bagaimana Allahyarham telah mengabdikan hidupnya untuk membantu masyarakat Melayu-Islam, dan mengukuhkan kestabilan serta keharmonian Singapura.

Antaranya menerusi tugas Allahyarham di RRG.

Encik Teo menambah RRG telah memainkan peranan penting dalam memelihara ketenangan dan perpaduan Singapura.

Katanya ia satu rahmat ketika peperangan budaya memecah belahkan masyarakat, perang dagang menyebabkan negara bersaing antara satu sama lain, dan kengerian konflik bersenjata menyebabkan penderitaan yang tidak terhingga.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg