Topik diikuti
Pergi ke BHkuDialog Perdaus bimbing belia nilai konflik dunia
Ini di samping kekal teguh kepada nilai Islam, identiti Muslim S’pura yang seimbang
Dialog Perdaus bimbing belia nilai konflik dunia
Dalam menerima maklumat di media sosial mengenai konflik geopolitik dunia, golongan belia tidak boleh terburu-buru membuat kesimpulan berdasarkan satu sudut pandangan semata-mata.
Penting untuk belia membuka minda serta menilai setiap situasi secara menyeluruh sebelum memberikan sebarang hukuman.
Menyedari bahawa emosi belia mudah tersentuh melihat isu itu, mereka perlu mengesahkan fakta yang tepat daripada sumber yang boleh dipercayai, serta memahami konteks setempat agar keprihatinan yang dizahirkan kekal berhemah dan membawa kesan positif kepada masyarakat.
Demikian rumusan daripada beberapa belia kepada Berita Harian (BH) yang turut serta dalam acara dialog serta perbincangan Voices of Humanity anjuran Perdaus di Safra Choa Chu Kang pada 1 November.
Acara itu menghimpunkan sekitar 160 hadirin, yang terdiri daripada pemimpin badan Melayu/Islam (MMO); tenaga pengajar di Perdaus dan Iyad Perdaus; serta belia daripada organisasi tersebut, masjid, MMO dan pelajar institusi pengajian tinggi (IHL).
Acara satu hari itu merangkumi dialog bersama Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam; dan kaunselor Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), Ustaz Ahmad Helmi Hasbi, serta perbincangan kumpulan fokus antara belia.
Dialog itu bertujuan untuk membantu membimbing pandangan golongan belia dalam menghadapi pelbagai pergolakan global yang sedang berlaku, keprihatinan kemanusiaan, serta naratif media sosial yang rumit.
Ini di samping kekal berpegang teguh kepada nilai Islam dan mengekalkan identiti Muslim Singapura yang seimbang.
Berkongsi apa yang beliau pelajari daripada dialog itu, salah seorang peserta, Encik Abdul Muqsid Izzet Suzairi, 20 tahun, berkata beliau mendapati belia mudah terpengaruh dengan kandungan di media sosial mengenai isu ketegangan geopolitik tanpa benar-benar memahami situasi yang berlaku.
Encik Izzet, yang merupakan pelajar tahun kedua, Marsus – sebuah program dua tahun Pengajian Islam dan Kepimpinan Belia mingguan di Perdaus – sekali gus menekankan peri penting konsep pandangan semesta atau tasawwur.
Ini supaya mereka tidak terburu-buru membuat andaian atau tuduhan negatif terhadap sesuatu peristiwa tanpa memahami punca sebenar serta melihat gambaran isu tersebut secara menyeluruh.
Pelajar tahun ketiga Nitec Lanjutan dalam jurusan Pengurusan Sukan di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Timur itu berkata:
“Saya rasa pada zaman sekarang, kadangkala belia melihat satu perkara dan terlalu menumpukannya tanpa melihat sudut pandangan orang lain.
“Kadangkala satu perkara itu mungkin sesuatu yang negatif, dan apabila timbul komen negatif tertentu, mereka mahu terus menyemarakkannya – seperti menuang minyak ke dalam api – tanpa benar-benar mengetahui mengapa ia berlaku, bagaimana ia terjadi, dan siapa yang terlibat, sekali gus menjadikannya lebih teruk.”
Sependapat, seorang lagi peserta yang juga pelajar tahun kedua Marsus, Encik Davin Irfan Yap, 21 tahun, berkata acara sedemikian dapat menjadi wadah yang mudah diakses untuk belia meluahkan keprihatinan mereka terhadap konflik dunia antaranya di Timur Tengah.
Meraih daripada dialog itu, belia juga perlu berusaha gigih untuk mendalami punca masalah tersebut serta meneroka pelbagai alternatif penyelesaian yang wujud, kata pelajar tahun ketiga dalam jurusan Kejuruteraan Aeroangkasa di Politeknik Republic (RP) itu.
Berkongsi lanjut, beliau berkata:
“Belia perlu benar-benar berusaha untuk memahami isu sebenar, mencari sumber yang boleh dipercayai, dan menyebarkan maklumat dengan niat untuk membawa kesan positif dan bukannya negatif.”
Sementara itu, menjelang acara tersebut, pelajar Marsus turut diberi tugasan untuk menghasilkan poster mengenai tema kemanusiaan, dengan setiap daripadanya dipaparkan semasa acara 1 November itu.
Antara temanya ialah, ‘Jika dunia terasa berat, apa yang boleh kita lakukan?’; ‘Apakah itu kemanusiaan?’ dan ‘Kita semua adalah sama’.
Salah seorang fasilitator program Marsus, Encik Muhammad Luqman Salman, 24 tahun, berkongsi bahawa pemerhatiannya semasa membimbing pelajar menghasilkan poster itu ialah mereka hanya inginkan keadilan.
Di tengah-tengah ketegangan global seperti konflik di Israel-Gaza mahupun krisis Rohingya, golongan belia tidak mahu ketidakadilan sedemikian dinormalisasikan atau menular ke Singapura, kongsi beliau.
“Maka, peranan kami sebagai fasilitator ialah untuk berkongsi pandangan dan pengalaman hidup dalam persekitaran yang sekular,” katanya, pelajar tahun ketiga dalam jurusan Kejuruteraan Komputer di Universiti Teknologi Nanyang (NTU).
Beliau menambah, beliau mendapati apabila belia melihat sesuatu hantaran di media sosial, emosi mereka mudah terusik dan mula bertindak balas.
Lantas, jika mereka bertenang sejenak, menilai keadaan sekeliling dan melihat bagaimana tindakan yang bakal mereka ambil itu boleh memberi kesan kepada masyarakat secara menyeluruh; mereka akan berfikir dahulu sebelum melakukan sesuatu.
Beliau percaya belia boleh mula dengan kecil di dalam masyarakat bersama badan MMO yang lain untuk membawa perubahan serta menyalurkan bantuan menerusi Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF).
“Dengan semua ini, belia dapat berfikir lebih jauh dan melihat, ‘Jika saya lakukan perkara ini, apa lagi yang boleh saya buat? Bagaimanakah saya boleh membawa manfaat yang lebih baik yang bukan sekadar bersifat reaktif, sebaliknya sesuatu yang berkesan untuk jangka masa panjang?” katanya.