Topik diikuti
Pergi ke BHkuDialog Perdaus bimbing belia nilai konflik dunia
Ini di samping kekal teguh kepada nilai Islam, identiti Muslim S’pura yang seimbang
Dialog Perdaus bimbing belia nilai konflik dunia
Dalam menerima maklumat di media sosial mengenai konflik geopolitik dunia, golongan belia tidak boleh terburu-buru membuat kesimpulan berdasarkan satu sudut pandangan semata-mata.
Penting untuk belia membuka minda serta menilai sesuatu isu secara menyeluruh sebelum memberikan sebarang hukuman.
Menyedari emosi belia mudah tersentuh melihat isu itu, mereka perlu mengesahkan fakta yang tepat daripada sumber yang boleh dipercayai.
Mereka perlu memahami konteks setempat agar keprihatinan yang dizahirkan kekal berhemah dan membawa kesan positif kepada masyarakat.
Demikian rumusan daripada beberapa belia kepada Berita Harian (BH) yang turut serta dalam acara dialog serta perbincangan, ‘Voices of Humanity’, anjuran Perdaus di Safra Choa Chu Kang pada 1 November.
Acara itu menghimpunkan sekitar 160 hadirin, yang terdiri daripada pemimpin badan Melayu/Islam (MMO); tenaga pengajar di Perdaus dan Iyad Perdaus; serta belia daripada organisasi tersebut, masjid, MMO dan pelajar institusi pengajian tinggi (IHL).
Acara sehari itu merangkumi dialog bersama Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam; dan kaunselor Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), Ustaz Ahmad Helmi Hasbi, serta perbincangan kumpulan fokus antara belia.
Dialog itu bertujuan membimbing pandangan belia dalam menghadapi pelbagai pergolakan semasa melibatkan isu sejagat, kemanusiaan, serta kerumitan naratif media sosial masa kini.
Dialog itu bertujuan membantu membimbing pandangan golongan belia dalam menghadapi pelbagai pergolakan global yang sedang berlaku, keprihatinan kemanusiaan, serta naratif media sosial yang rumit.
Hal ini penting bagi memastikan belia kekal berpegang teguh kepada nilai Islam di samping mengekalkan identiti Muslim Singapura yang seimbang.
Mengulas pengajaran daripada dialog itu, salah seorang peserta, Encik Abdul Muqsid Izzet Suzairi, 20 tahun, menyifatkan belia hari ini mudah terpengaruh dengan kandungan di media sosial mengenai ketegangan geopolitik tanpa benar-benar memahami keadaan yang berlaku.
Encik Izzet, pelajar tahun kedua, Marsus – program dua tahun Pengajian Islam dan Kepimpinan Belia mingguan di Perdaus – sekali gus menekankan peri penting konsep pandangan semesta atau tasawwur.
Ini penting supaya mereka tidak terburu-buru membuat andaian melulu atau mempunyai tuduhan negatif terhadap sesuatu peristiwa tanpa memahami punca sebenar serta gambaran menyeluruh tentang isu tersebut.
Pelajar tahun ketiga Nitec Lanjutan dalam jurusan Pengurusan Sukan di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Timur itu berkata:
“Saya rasa pada zaman sekarang, kadangkala belia melihat satu perkara dan terlalu menumpukannya tanpa melihat sudut pandangan orang lain.
“Kadangkala satu perkara itu mungkin sesuatu yang negatif, dan apabila timbul komen negatif tertentu, mereka mahu terus menyemarakkannya – seperti menuang minyak ke dalam api – tanpa benar-benar mengetahui mengapa ia berlaku, bagaimana ia terjadi, dan siapa yang terlibat, sekali gus menjadikannya lebih teruk.”
Sependapat, seorang lagi peserta yang juga pelajar tahun kedua Marsus, Encik Davin Irfan Yap, 21 tahun, berkata acara sedemikian dapat menjadi wadah yang mudah diakses untuk belia meluahkan keprihatinan mereka terhadap konflik dunia antaranya di Timur Tengah.
Mengulas lanjut tentang dialog berkenaan, pelajar tahun ketiga jurusan Kejuruteraan Aeroangkasa di Politeknik Republic (RP) itu menambah, golongan belia perlu berusaha gigih mendalami punca masalah serta meneroka pelbagai alternatif penyelesaian yang wujud.
“Belia perlu benar-benar berusaha untuk memahami isu sebenar, mencari sumber yang boleh dipercayai, dan menyebarkan maklumat dengan niat untuk membawa kesan positif dan bukannya negatif,” ujarnya.
Sementara itu, menjelang acara tersebut, pelajar Marsus turut diberi tugasan untuk menghasilkan poster mengenai tema kemanusiaan, dengan setiap daripadanya dipaparkan semasa acara 1 November itu.
Antara temanya adalah, ‘Jika dunia terasa berat, apa yang boleh kita lakukan?’; ‘Apakah itu kemanusiaan?’ dan ‘Kita semua adalah sama’.
Salah seorang pemudah cara program Marsus, Encik Muhammad Luqman Salman, 24 tahun, berkongsi bahawa pemerhatiannya semasa membimbing pelajar menghasilkan poster itu adalah mereka hanya inginkan keadilan.
Di tengah-tengah ketegangan sejagat seperti konflik di Israel-Gaza mahupun krisis Rohingya, golongan belia tidak mahu ketidakadilan sedemikian menjadi lumrah atau menular ke Singapura, kongsi beliau.
“Maka, peranan kami sebagai fasilitator adalah untuk berkongsi pandangan dan pengalaman hidup dalam persekitaran yang sekular,” kata pelajar tahun ketiga mahasiswa jurusan Kejuruteraan Komputer di Universiti Teknologi Nanyang (NTU).
Beliau menambah, emosi golongan muda mudah terusik dan cenderung bertindak balas sebaik sahaja melihat sesuatu hantaran di media sosial.
Sebaliknya, jika mereka bertenang sejenak untuk menilai keadaan dan meneliti kesan tindakan yang akan mereka ambil terhadap masyarakat secara menyeluruh, golongan belia pasti akan berfikir panjang sebelum bertindak.
Beliau percaya golongan muda boleh memulakan langkah kecil dalam masyarakat bersama MMO lain bagi membawa perubahan serta menyalurkan bantuan menerusi Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF).
“Dengan semua ini, belia dapat berfikir lebih jauh dan melihat, ‘Jika saya lakukan perkara ini, apa lagi yang boleh saya buat? Bagaimanakah saya boleh membawa manfaat yang lebih baik yang bukan sekadar bersifat reaktif, sebaliknya sesuatu yang berkesan untuk jangka masa panjang?” katanya.