Topik diikuti
Pergi ke BHkuDilema pasangan muda bina keluarga: Mahu anak tapi perlu cukup persediaan dulu
Dari cabaran kewangan dan kerjaya hingga sokongan keluarga dan jiran tetangga, pasangan kongsi realiti kehidupan berkeluarga dalam sesi ‘Jom BHerbual’ sempena sambutan BH70
Dilema pasangan muda bina keluarga: Mahu anak tapi perlu cukup persediaan dulu
Mahu anak, tetapi rumah belum ada. Gaji pula dirasakan belum ‘cukup besar’. Ini belum lagi difikirkan kos membesarkan anak dan masa yang perlu diluangkan bersama mereka.
Itulah antara persoalan yang bermain di fikiran pasangan muda, Encik Muhammad Faris Suhaimi, 28 tahun, dan isterinya, Cik Nur Syafiqah Abdul Aleem, 26 tahun, yang bakal menyambut ulang tahun pertama perkahwinan mereka pada November ini.
Bagi Encik Faris, seorang eksekutif hartanah, keputusan untuk menimang cahaya mata bukan sesuatu yang boleh dibuat secara terburu-buru.
“Faktor-faktor yang mungkin menghalang kami daripada mempunyai anak adalah kewangan. Nak fikir pasal nak dapat rumah ke atau nak fikir nak kasi gaji naik lagi.
“Ini semua faktor yang kita kena fikirkan dulu sebelum membawa cahaya mata ke dunia ini. Sebab anak itu tanggungjawab besar,” katanya.
Pasangan itu antara 20 pasangan yang menghadiri acara Jom BHerbual dan Buat Biskut anjuran Berita Harian (BH) di Studio Kulinari, Wisma Geylang Serai, pada 25 Oktober.
Acara yang menggabungkan kegiatan membuat biskut bersama ‘Captain Roti’ atau nama sebenarnya, Encik Fuad Rahim, dengan sesi podcast secara langsung itu membuka ruang kepada pasangan berkongsi secara santai tentang realiti perkahwinan, membina keluarga dan membesarkan anak di Singapura.
Turut menyertai perbincangan ialah Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam.
Acara Jom BHerbual itu juga membuka tirai sambutan ulang tahun ke-70 BH (BH70) yang jatuh pada 1 Julai 2027.
Bagi Cik Syafiqah, sesi itu membuka matanya kepada pelbagai cabaran yang dihadapi pasangan lain, termasuk mereka yang sudah lama mendirikan rumah tangga.
Selain kestabilan kewangan, beliau mendapati isu tekanan hidup, kesihatan dan kesuburan turut mempengaruhi keputusan pasangan untuk mempunyai anak atau menambah bilangan anggota keluarga.
Beliau juga menghargai peluang mengetahui lebih lanjut tentang pelbagai langkah sokongan pemerintah yang sebelum ini mungkin kurang diketahuinya.
Bukan wang semata-mata
Namun, cabaran membina keluarga tidak terhenti pada soal wang ringgit.
Bagi pasangan yang sudah sembilan tahun berkahwin, Encik Muhammad Khidir Mohamed Amin dan isterinya, Cik Nur Aishah Rozali, kedua-duanya 38 tahun, masa dan sokongan sekeliling sama pentingnya.
Encik Khidir, yang bekerja sendiri, berkata kenaikan kos sara hidup sememangnya antara kebimbangan utama pasangan yang mahu membina keluarga.
Tetapi dalam kesibukan bekerja dan mengurus kehidupan seharian, ibu bapa juga perlu memikirkan bagaimana hendak meluangkan masa secukupnya bersama anak-anak.
Menurut Cik Aishah, satu perkara yang banyak membantu keluarganya ialah hubungan baik dengan jiran tetangga.
“Saya amat gembira dan bersyukur kerana sokongan jiran-jiran saya sekarang sangat meringankan (beban). Walaupun pertolongan itu kecil, ia tetap membantu,” katanya, seorang eksekutif perkhidmatan pesakit.
Encik Khidir pula mengimbas zaman kecilnya apabila jiran saling membantu menjaga anak-anak.
Beliau berharap semangat kejiranan sedemikian dapat dihidupkan kembali.
“Jiran adalah bantuan paling dekat yang boleh kita minta dan harapkan,” tambah Cik Aishah.
Sokongan pemerintah, masyarakat sama penting
Bagi Encik Khairul Anwar Ahmad Mahbob, 38 tahun, yang sudah 11 tahun berumah tangga dengan Cik Siti Nur Hidayah Mahmood, juga 38 tahun, tekanan kewangan sebagai pencari nafkah utama keluarga tidak boleh dipandang ringan.
Beliau mengakui bantuan seperti Bonus Bayi dan sokongan kewangan lain sedikit sebanyak meringankan beban keluarga.
Namun, beliau turut berharap lebih banyak usaha dapat dilakukan bagi meyakinkan pasangan bahawa cabaran membesarkan anak boleh diatasi.
Menariknya, pasangan itu menghadiri acara tersebut tepat pada ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-11.
Encik Khairul berkata, beliau tertarik menyertai perbincangan kerana mahu memahami mengapa saiz keluarga dalam masyarakat Melayu semakin mengecil, sedangkan dalam lingkungan kenalannya sendiri masih terdapat keluarga yang mempunyai tiga hingga tujuh anak.
Beliau turut menghargai peluang berinteraksi secara langsung dengan Cik Rahayu dan memahami cabaran yang sedang ditangani pemerintah.
Mengulas pandangan peserta, Cik Rahayu berkata sesi tersebut memperlihatkan bahawa keinginan untuk mempunyai anak masih wujud, tetapi disertai kebimbangan yang turut dirasakan masyarakat Singapura secara umumnya.
Apa yang menarik perhatiannya ialah cara kreatif sesetengah keluarga mendapatkan sokongan, termasuk dengan bergantung kepada jiran tetangga.
Beliau berkata usaha membina semula semangat kampung penting bagi mewujudkan persekitaran yang lebih selesa untuk pasangan membina keluarga dan mendidik anak-anak.
Pada masa yang sama, masyarakat perlu memikirkan bagaimana hendak mengurangkan tekanan daripada suasana kehidupan yang terlalu kompetitif.
Cik Rahayu turut mengakui bahawa maklumat mengenai pelbagai bantuan dan sokongan pemerintah masih perlu disampaikan dengan lebih berkesan.
Menurutnya, perbincangan seperti Jom BHerbual bukan sahaja membantu pasangan memahami sokongan yang tersedia, malah memberi peluang kepada pemerintah mendapatkan maklum balas untuk memperhalusi dasar sedia ada.
“Melalui sesi ini, saya dapat fahami juga apakah yang menjadi kebimbangan pasangan kita, dan memberi peluang untuk saya juga memberikan mereka sedikit pencerahan tentang usaha-usaha yang sedang dijalankan pemerintah untuk memberi sokongan kepada pasangan yang mungkin inginkan anak atau mungkin berasa waktu belum sesuai untuk mereka atau mungkin ada kerisauan tertentu,” ujar beliau.
Beliau menekankan bahawa usaha menggalakkan pembentukan keluarga memerlukan penglibatan semua pihak – pemerintah menyediakan sokongan, masyarakat mewujudkan persekitaran yang membantu, dan pasangan sendiri mempunyai keinginan membina keluarga.
“Apa yang saya dapati daripada sesi ini ialah yang pertama saya lihat ada keinginan untuk ada anak.
“Kedua, adanya kerisauan yang sebenarnya sama dengan masyarakat lain dalam Singapura.
“Dan ketiga, mungkin ada juga cara-cara kreatif menerusi cerita-cerita mereka yang juga memberi saya sedikit idea dan inspirasi.
“Contohnya, tentang bagaimana satu kampung tu boleh dibina dalam masyarakat. Supaya mereka juga dapat bergantung kepada jiran-jiran dan sebagainya.
“Satu lagi ialah bagaimana kita dapat mengatasi sekitaran yang begitu kompetitif dalam masyarakat kita untuk cuba mewujudkan suasana yang lebih selesa untuk kita membina keluarga dan mendidik anak-anak kita,” tambah beliau.
Bagi pasangan seperti Encik Faris dan Cik Syafiqah, persoalannya bukan semata-mata sama ada mereka mahu mempunyai anak.
Sebaliknya, bagaimana memastikan mereka benar-benar bersedia untuk memikul tanggungjawab besar itu.
“Tapi dasar-dasar yang telah dikongsikan oleh Cik Rahayu dan apa yang telah dilaksanakan atau dalam proses dilaksanakan oleh pemerintah amat membantu kerana sebelum ini kami kurang kesedaran,” kata Cik Syafiqah.
“Jadi bagi kami sesi seperti ini adalah sesuatu yang menarik dan bermakna... dan kami galakkan lebih ramai pasangan untuk turut serta,” ujar beliau.