Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) kini dalam perbincangan untuk menyertai Dewan Perniagaan dan Pembangunan Islam (ICCD), sebahagian usaha membuka peluang bagi firma Singapura, termasuk perniagaan Melayu/Islam, meneroka pasaran Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

ICCD merupakan pertubuhan bukan pemerintah antarabangsa yang mewakili sektor swasta dan dewan atau persekutuan perdagangan nasional di 57 negara anggota di bawah OIC, yang kebanyakannya terdiri daripada negara majoriti Islam.

Ini termasuk Brunei, Indonesia dan Malaysia di Asia Tenggara.

Antara fungsi utamanya termasuk mempromosikan pasaran bersama, membina ekosistem perdagangan dan pelaburan rentas sempadan, memperkukuh kerjasama dalam bidang utama seperti kewangan yang patuh syariah, dan mempermudahkan perdagangan dalam pasaran halal.

Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH), DPPMS mengesahkan bahawa mereka kini sedang dalam perbincangan bersama ICCD mengenai potensi kerjasama.

“Kami melihat ini sebagai satu peluang memperkukuh hubungan Singapura dengan masyarakat perniagaan OIC yang lebih luas, terutamanya dalam bidang seperti perdagangan halal, pelaburan dan kewangan Islam.

“Harapan kami adalah untuk menterjemahkan hubungan antarabangsa ini menjadi kerjasama yang bermakna serta peluang praktikal bagi perniagaan Singapura, terutamanya syarikat kecil dan sederhana (SME) yang berhasrat untuk berkembang ke pasaran baharu,” kata dewan perniagaan itu.

Ditemui BH di Hotel Raffles baru-baru ini, Setiausaha Agung ICCD, Encik Yousef Hasan Khalawi – yang berada di Singapura atas undangan menghadiri jamuan malam gala ulang tahun ke-70 DPPMS – melahirkan minat ICCD bekerjasama dengan DPPMS.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Ini kerana masyarakat perniagaan Islam di Singapura memainkan peranan penting, di samping kedudukan negara ini sebagai sebuah hab perniagaan global, kata beliau.

“Kami percaya bahawa bukan masyarakat perniagaan Islam sahaja yang akan meraih manfaat, malah perniagaan Singapura secara umumnya akan dapat mengembangkan hubungan perniagaan merangkumi aspek pelaburan, perdagangan, kewangan, keusahawanan, penyelesaian pertikaian, eksport dan import, dan sebagainya, bersama pelbagai negara lain, termasuk negara bukan Islam.

“Perkara ini merupakan satu aspek yang amat penting: bagaimana sebuah dewan perniagaan Islam berupaya menghubungkan Singapura, bahkan dengan negara bukan Islam sekalipun.

“Hal ini pada hakikatnya didorong oleh masyarakat perniagaan Islam yang memainkan peranan sangat strategik di pelbagai negara bukan Islam, termasuk Amerika Syarikat, Canada, Australia, New Zealand, dan Eropah,” kata beliau.

Ditanya bilakah DPPMS akan menerima khabar tentang keahlian mereka, Encik Yousef berkata bahawa perbincangan akhir sedang dijalankan dan kelulusan keahlian biasanya ditentukan semasa perhimpunan agung tahunan ICCD pada penghujung tahun.

Antara potensi bidang kerjasama yang Singapura dan ICCD boleh teroka bersama termasuk dalam sektor perkhidmatan dan khidmat kewangan, serta industri halal.

Sebagai contoh, sedang Singapura sudah pun mempunyai infrastruktur bagi penimbangtaraan dan pengantaraan, Encik Yousef berkata ICCD boleh membantu membina keupayaan dan kapasiti bagi potensi menjadikan negara ini sebuah hab bagi penyelesaian pertikaian kewangan Islam.

“Kami sudah pun mempunyai Pusat Penimbangtaraan OIC – badan antarabangsa khusus bagi penyelesaian pertikaian yang ada kaitan dengan ICCD – yang merupakan sebuah pusat bertaraf global yang kukuh.

“Perbezaannya adalah, menerusi hubungan baharu ini, kita boleh memberi tumpuan untuk menjadikan Singapura sebagai hab penyelesaian pertikaian kewangan Islam – bidang yang belum diterokai oleh Singapura.

“Oleh itu, kita memerlukan pembangunan kapasiti, jalinan hubungan, dan sebagainya. Usaha ini akan membuka peluang besar kepada para karyawan di Singapura untuk mengendalikan kes tersebut, sama ada melalui timbang tara mahupun pengantaraan.

“Prasarana di Singapura sememangnya sudah tersedia, namun pengetahuan teknikal mungkin masih berkurangan – dan di situlah peranan yang boleh kita mainkan,” kata beliau.