Topik diikuti
Pergi ke BHkuDPPMS, Persekutuan Perkilangan S’pura tandatangani MOU teroka peluang di JS-SEZ
Manfaatkan rangkaian perkukuh keterhubungan niaga, selain wujudkan peluang pendekatan rentas sempadan
DPPMS, Persekutuan Perkilangan S’pura tandatangani MOU teroka peluang di JS-SEZ
Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) dan Persekutuan Perkilangan Singapura (SMF) menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MOU) pada 23 Oktober bagi mewujudkan kerjasama baru untuk menyokong perniagaan meneroka peluang di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Di bawah MOU itu, dewan perniagaan tersebut dan SMF akan memanfaatkan rangkaian perniagaan masing-masing dan kekuatan industri untuk memperkukuh keterhubungan perniagaan.
Ini selain memudahkan pertukaran pandangan pasaran dan industri, serta mewujudkan peluang bagi pendekatan rentas sempadan.
MOU tersebut ditandatangani di majlis jamuan malam gala ulang tahun ke-70 DPPMS, yang diadakan di Hotel Fairmont Singapore.
Turut hadir ialah tetamu terhormat, Presiden Tharman Shanmugaratnam, dan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad, yang juga penaung DPPMS.
Sekitar 400 pemimpin perniagaan, usahawan, rakan kongsi dan pihak berkepentingan menyertai majlis tersebut.
Berucap di majlis itu, presiden DPPMS, Encik Abdul Malik Hassan, berkata JS-SEZ menyediakan peluang baru bagi perniagaan Singapura meneroka kerjasama, pelaburan dan pengembangan rentas sempadan.
Bahkan, lebih ramai anggotanya kini berhasrat mengembangkan perniagaan ke Malaysia, Indonesia dan rantau Asean yang lebih luas sedang mereka mempertimbangkan tahap pembangunan seterusnya.
“Kerjasama ini (bersama SMF) mencerminkan komitmen bersama kami untuk membantu perniagaan meneroka peluang yang timbul daripada JS-SEZ, di samping memperkukuh hubungan antara masyarakat perniagaan masing-masing,” kata Encik Abdul Malik.
“Bagi DPPMS, ia merupakan bahagian penting dalam fasa seterusnya perjalanan kami.
“Sedang perniagaan kini semakin saling berhubung merentasi pelbagai industri dan pasaran, kerjasama antara persatuan perdagangan akan memainkan peranan yang lebih besar dalam menyokong pertumbuhan mereka,” tambah beliau.
Kerjasama dengan SMF itu akan menyaksikan mereka menganjurkan lawatan misi atau pengenalan, namun Encik Abdul Malik berkata mereka juga mahu memahami matlamat yang ingin dicapai setiap perniagaan dan menghubungkan perniagaan itu dengan pelanggan, rakan kongsi, pasaran atau ekosistem yang tepat.
Dengan kecerdasan buatan (AI) yang semakin pesat berkembang, Encik Abdul Malik berkata salah satu keutamaan DPPMS juga adalah untuk terus memperkukuh keupayaan perniagaan, terutama dalam pendigitalan, pengurusan kewangan dan transformasi perniagaan.
Dengan itu, beliau turut mengumumkan dua inisiatif baru bagi anggotanya.
Yang pertama, sebuah program bagi anggota DPPMS mengakses kursus Google AI dan Sijil Kerjaya secara percuma di laman Coursera bagi membangunkan kemahiran digital dan AI praktikal yang boleh diterapkan dalam operasi harian.
Yang kedua pula ialah inisiatif bersama firma perakaunan dan penasihat digital Accounting Superhero Singapore (ASH) bagi memperkenalkan program celik kewangan agar peniaga lebih memahami cara menguruskan sumber kewangan mereka.
Butiran lanjut mengenai dua inisiatif itu akan dikongsi dalam beberapa bulan mendatang.
Menurut Encik Abdul Malik, DPPMS mahu terus menjadi rakan yang dapat membantu para usahawan memperkukuh perniagaan, meningkatkan kemahiran dan mendapatkan akses kepada peluang yang bersesuaian.
“Kita juga mahu melihat lebih ramai usahawan muda tampil dengan idea dan kepimpinan baharu, sambil terus memanfaatkan pengalaman serta kebijaksanaan generasi terdahulu.
“Pada masa yang sama, kita mahu lebih banyak perniagaan tempatan berani meneroka pasaran serantau dan membina kerjasama yang dapat membawa perniagaan mereka ke tahap yang lebih tinggi.
“Kejayaan Dewan ini bukan hanya diukur melalui usia atau pencapaian DPPMS, tetapi juga melalui kemajuan para peniaga yang kita bantu,” kata beliau.
Majlis jamuan malam gala itu turut menyaksikan penyampaian anugerah kepada 14 perniagaan dan individu bagi mengiktiraf pencapaian mereka.
Ini termasuk Encik Mohd Kahliab Zainal Abidin, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat pemeriksaan kejuruteraan pakar Emaan Inspection, yang menerima Anugerah Usahawan Terbaik Royal Kings; dan Encik Nabill Shukry Johary, pemilik Cheekies Enterprise, yang menerima Anugerah Usahawan Belia.