Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) telah mengeluarkan Surat Hasrat (LOI) bagi kumpulan kedua dari 22 Oktober lalu melalui portal MyHajSG kepada warga Singapura yang telah memohon untuk menunaikan ibadah haji bagi musim 2027.

Ia dikeluarkan empat hari selepas tarikh tutup bagi kumpulan pertama untuk mengesahkan hasrat menunaikan haji atau tidak pada 18 Oktober.

Menurut laman web MUIS, kohort kedua yang menerima LOI tersebut melibatkan pemohon yang telah membuat pendaftaran untuk menunaikan ibadah haji antara 8 Mac dengan 2 Mei 2014.

Kumpulan jemaah dalam kumpulan kedua ini perlu menjalani penilaian kesihatan selewat-lewatnya pada 9 November, sebelum mengesahkan hasrat mereka menjelang 14 November – sama ada mereka disahkan sihat untuk menunaikan haji, menangguhkan atau membatalkan perancangan haji.

MUIS kemudian akan mengedarkan 900 Surat Tawaran Rasmi (LOO) bermula 16 November, kata badan berkanun itu.

Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH), seorang jurucakap MUIS berkata:

“Proses LOI bagi musim Haji 2027 masih berjalan, dengan pengeluaran LOI secara berkumpulan sebagai sebahagian daripada proses pentadbiran.

“Pemohon yang telah melengkapkan Penilaian Perubatan Haji dan menerima LOI mereka akan dimaklumkan melalui e-mel dan SMS. Tiada tindakan lanjut diperlukan melainkan jika dihubungi oleh MUIS.”

Singapura telah diperuntukkan kuota rasmi 900 jemaah bagi musim haji 2027, sama seperti tahun-tahun sebelum ini.

Berbeza dengan musim haji 2026 di mana bakal jemaah hanya perlu mendapatkan sijil kesihatan dari doktor yang mengesahkan bahawa mereka bebas daripada penyakit kronik – seperti kegagalan buah pinggang, masalah jantung serius, wanita hamil, atau kebergantungan pada kerusi roda – bakal jemaah kali ini perlu menjalani penilaian kesihatan yang lebih ketat.

Memandangkan beberapa jenis penyakit memerlukan ujian perubatan khusus, piawaian penilaian kesihatan tersebut perlu diketatkan.

Ini termasuk ujian berjalan enam minit untuk mengukur daya tahan serta kecergasan stamina, dan ujian ‘Timed Up and Go’ (TUG) bagi menilai tahap keseimbangan serta kelincahan pergerakan jemaah.

Bakal jemaah kemudian akan dibahagikan kepada tiga kategori – A, B, dan C.

Bagi mereka yang berada di kategori A, mereka disahkan sihat dan boleh meneruskan ibadah haji mereka.

Manakala bagi mereka yang berada di kategori B, mereka dikira sebagai ‘samar-samar’ antara sihat dengan tidak sihat.

Panel Perubatan Haji kemudiannya akan membuat semakan bagi mengesahkan sama ada pemohon layak atau tidak layak dari segi perubatan untuk menunaikan haji.

Bagi mereka yang berada dalam Kategori C, mereka dikategorikan sebagai tidak sihat dan akan dirujuk untuk pengurusan rawatan serta diminta menangguhkan hasrat untuk menunaikan haji.

Bakal jemaah yang menerima LOO kemudian dikehendaki membeli pakej haji mereka daripada ejen pelancongan atau ejen penjualan (GSA) yang dilantik oleh MUIS selewat-lewatnya pada 30 November.

Senarai penuh GSA serta pakej haji akan diumumkan pada November ini.

“Pemohon yang telah menerima LOI tetapi tidak mendapat LOO melalui e-mel atau SMS akan dikembalikan ke dalam barisan giliran di portal MyHajSG untuk musim haji akan datang,” kata MUIS di laman webnya.

Sementara itu, tumpuan terhadap ibadah haji 2026 semakin meningkat susulan ketegangan semasa di Arab Saudi.

Ini selepas Saudi telah beberapa kali memintas peluru berpandu dan dron ketika berlakunya pertempuran dengan kumpulan Houthi dari Yaman.

Walau demikian, MUIS tetap memberi jaminan bahawa kebajikan bakal jemaah haji 2027 akan tetap diutamakan.

“MUIS sedang memantau rapat perkembangan di Arab Saudi serta rantau yang lebih luas.

“Walaupun persiapan bagi musim Haji 2027 masih berjalan, keselamatan dan kesejahteraan jemaah tetap menjadi keutamaan kami,” kata jurucakap MUIS.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti