Topik diikuti
Pergi ke BHkuJadi relawan Pusat Harmoni dek minat kongsi Islam dengan masyarakat lain
Jadi relawan Pusat Harmoni dek minat kongsi Islam dengan masyarakat lain
Sepanjang hampir 12 tahun berkhidmat sebagai docent atau jurupandu sukarelawan di Pusat Harmoni dari 2006 hingga 2018, Cik Ramilah Tohid, 77 tahun, telah menyambut ribuan pengunjung dari pelbagai latar belakang.
Ini termasuk pelajar sekolah sehinggalah tokoh ternama seperti Putera Charles; mantan Presiden Singapura, Encik S.R. Nathan dan Puan Halimah Yacob; serta mantan Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong.
Tugas itu dilakukannya bukan demi mengejar populariti, tetapi kerana kecintaannya yang mendalam terhadap interaksi sesama manusia dan hasrat untuk berkongsi keindahan Islam.
Ditemui Berita Harian (BH), Cik Ramilah berkata antara topik yang gemar dikongsinya ialah mengenai Mekah.
“Pelawat kerap bertanyakan soalan seperti apa yang ada di dalam Kaabah atau adakah ia sebuah ‘kotak hitam’.
“Maka, saya jelaskan bahawa kita tidak menyembah binaan itu sendiri – ia sekadar berfungsi sebagai kiblat.
“Peranan kita bukan untuk mengajak mereka masuk Islam, tetapi sekadar berkongsi tentang agama kita,” kata ibu dua anak dan nenek lima cucu itu.
Penglibatan Cik Ramilah dalam dunia silang agama bermula selepas beliau bersara pada 2003.
Sebelum itu, beliau bertugas sebagai pengendali telekomunikasi maritim yang membantu menghubungkan mereka di atas kapal dengan talian darat di Singapura sejak 1971.
Beliau kemudian menyertai pasukan sukarelawan Masjid An-Nahdhah di Bishan untuk mengisi masa lapang selepas bersara, malah, mula berkhidmat sebelum masjid itu dirasmikan pembukaannya pada 6 Januari 2006.
Sejurus selepas Pusat Harmoni – yang juga terletak di masjid tersebut – dibuka pada 7 Oktober 2006, Cik Ramilah tidak teragak-agak untuk menggalas peranan tambahan tersebut.
“Saya tanya kepada ketua Pusat Harmoni ketika itu, Encik Haniff Abdul Razak, bagaimana saya boleh bantu kerana saya suka dengan aktiviti pusat itu.
“Masa itu, beliau suka dengan khidmat saya kerana sukarelawan Muslimah tak ramai yang boleh cakap bahasa Inggeris.
“Maka, apabila ada pelawat yang tidak boleh cakap Melayu datang, Encik Haniff akan segera hubungi saya,” kongsinya yang sering menjadi pengiring kumpulan pelawat dari pelbagai institusi dan rumah ibadat.
Bagi memastikan perkongsiannya tentang agama berteraskan ilmu yang kukuh, beliau memanfaatkan pengetahuan daripada Sijil Pengajian Islam (SPI) Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) selama lima tahun yang diikutinya pada 1970-an.
Namun, di sebalik semangat waja Cik Ramilah, teguh berdiri sosok pendorong utamanya iaitu arwah suaminya, Allahyarham Encik Abu Bakar Ridwan, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 2014.
Arwah bukan sahaja setia menunggunya di perhentian bas untuk menemani Cik Ramilah pergi dan pulang dari masjid, malah sering merakam aktiviti dan perkongsiannya dengan pelawat dalam bentuk CD untuk disimpan sebagai kenangan.
“Suami saya sangat bangga dengan tugas saya – setiap kali pelawat datang dan saya menyambut mereka, beliau akan merakamkan segala-galanya dalam bentuk CD.
“Bila saya balik ke rumah, beliau suka mendengar cerita saya tentang pelawat yang datang sehingga beliau tertidur,” imbau Cik Ramilah.
Apabila suaminya meninggal dunia pada Julai 2014, dunia Cik Ramilah bak runtuh sehingga menghidapi tekanan dan kesunyian.
Setiap kali lalu di perhentian bas berhampiran Masjid An-Nahdhah, bayangan arwah yang setia menunggu membuatkan jiwanya sebak, sehingga menyukarkan langkahnya untuk kembali berkhidmat di masjid dan Pusat Harmoni.
Namun, dengan sokongan sukarelawan di Pusat Harmoni serta ketuanya ketika itu, Ustaz Muhammad Fazalee Jaafar, yang mengajak Cik Ramilah untuk kembali berbakti, nyala semangatnya kembali bersemarak.
Beliau menyertai rombongan Pusat Harmoni ke Toowoomba, Queensland, Australia, pada 2015 bagi menghadiri persidangan mengenai pembinaan keupayaan silang agama, yang merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Encik Haniff dalam memperkasa keupayaan Pusat Harmoni serta para sukarelawannya.
“Saya kembali bertugas sebagai sukarelawan kerana saya teringat pesanan arwah suami saya, ‘Apa sahaja yang awak buat di masjid, saya nak kongsi pahala awak juga.’
“Apabila saya kembali, saya berdoa agar apa jua pahala daripada amalan saya ini sampai kepada beliau,” ujar beliau yang terpaksa berhenti menjadi sukarelawan pada musim Covid-19 dan juga kerana menghidapi penyakit buah pinggang pada 2018.
Kini, sedang Pusat Harmoni menyambut ulang tahunnya yang ke-20, Cik Ramilah mengenang kembali perjalanannya dengan penuh rasa syukur.
Beliau berharap lebih ramai anak muda akan tampil meneruskan usaha terlibat dengan Pusat Harmoni.
“Sertai bidang sukarelawan dengan hati yang terbuka dengan niat kerana Allah kerana jika niat betul, anda akan lakukannya dengan terbaik.
“Saya langsung tiada asas untuk berkhidmat di masjid, saya cuma mahu berkongsi ilmu dengan orang ramai, jadi apabila peluang itu datang, saya terus menyahutnya,” ujar beliau.