Jawatankuasa Daya Ekonomi telah mengadakan mesyuarat pengenalannya baru-baru ini bersama wakil Melayu/Islam merentas pelbagai sektor bagi membincangkan cara membantu pekerja merebut peluang ekonomi baru, kata pengerusi bersama, Encik Saktiandi Supaat.

Menulis dalam satu catatan Facebook pada 30 Jun, Encik Saktiandi berkata dunia sedang berkembang pesat dan Singapura turut berubah seiring perkembangan tersebut, dan oleh itu, penting mengkaji cara menyediakan laluan praktikal bagi pekerja dan usahawan merebut peluang baru.

Selain Encik Saktiandi, jawatankuasa itu diterajui bersama oleh Dr Wan Rizal Wan Zakariah, Pengarah Pengurusan Pihak Berkepentingan, Perkhidmatan Kerjaya dan Kumpulan Perkongsian (CSPG) Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i), Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC).

Encik Saktiandi merupakan pengerusi Jawatankuasa Parlimen Pemerintah (GPC) bagi Kewangan dan Perdagangan dan Perusahaan, yang juga Ketua Pakar Strategi Forex dan Ketua Penyelidikan Forex Pasaran Global Maybank.

Kali pertama diumumkan semasa majlis Perjumpaan Hari Raya Menteri pada April 2026, jawatankuasa itu dibentuk bagi mengkaji saranan semakan strategi ekonomi (ESR) nasional, dan membantu perniagaan dan pekerja Melayu/Islam merebut pekerjaan lebih baik, peluang lebih luas dan pendapatan lebih tinggi.

Ini terutamanya di tengah-tengah perkembangan kecerdasan buatan (AI) yang telah mencetuskan kebimbangan pekerja tentang bagaimana mereka boleh memanfaatkan teknologi tersebut dan cara mengharungi landskap kerja yang lebih berdaya saing.

“ESR nasional menetapkan cara bagi Singapura boleh kekal berdaya saing dan terus mewujudkan pekerjaan baik melalui perubahan ini.

“Peranan kami dalam Jawatankuasa Daya Ekonomi ini adalah untuk mengkaji apakah erti perkembangan ini buat masyarakat kita, dan menukarkannya kepada laluan praktikal bagi pekerja, karyawan, usahawan dan anak-anak muda kita.

“Kami telah mengadakan perbincangan pertama yang menarik tentang di mana terletaknya peluang, dan bagaimana setiap segmen masyarakat boleh tampil ke hadapan dengan yakin untuk merebut peluang tersebut,” kata Encik Saktiandi dalam catatan Facebooknya itu.

Encik Saktiandi turut mendedahkan senarai anggota jawatankuasa itu. Selain dua pengerusi bersama, terdapat 16 anggota jawatankuasa lain yang terdiri daripada:

  1. Encik Matin Mohdari, Ketua Dasar Awam, Pemerintah dan Ehwal Korporat (Asia Tenggara dan Asia Selatan), Expedia Group;
  2. Encik Abdul Malik Hassan, Presiden Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS);
  3. Encik Aslam Sardar, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Karyawan Sumber Manusia;
  4. Cik Noor Irdawaty Jammarudin, Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja Persekitaran Binaan dan Perdagangan Bandar;
  5. Dr N Erlyani Abdul Hamid, Ketua Strategi, Perancangan dan Perhubungan Awam, Hilleman Laboratories;
  6. Encik Zakir Hamid, Ketua Rantau, Asia Pasifik, Airbus Defence and Space;
  7. Cik Noor Atiqah Ab Halim, Pengarah, Rangkaian Karyawan dan Sukarelawan, Yayasan Mendaki;
  8. Encik Lee Wei Yang, Pemangku Pengarah Kanan, CRED, Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY);
  9. Encik Fathurrahman Faizal, pengasas bersama Ranger Labs;
  10. Encik Shamir Rahim, anggota lembaga dan pengasas VersaFleet;
  11. Encik Fazli Isa, Naib Presiden, Prasarana Iklim, ThomasLloyd Group;
  12. Encik Sani Hamid, Ketua, Nasihat Kekayaan Islam, Financial Alliance Pte Ltd;
  13. Ustaz Muhammad Tarmizi Abdul Wahid, Presiden Pergas;
  14. Cik Sainava Bee Bee, Ketua Pengedaran Takaful, Etiqa Insurance Singapore;
  15. Encik Mohammad Haikal Zainal Abidin, Jurutera Utama (Sofwe Prasarana), ST Engineering Satellite Systems Pte Ltd; dan
  16. Cik Aidli Mosbit, pensyarah kanan dalam jurusan hubungan antarabangsa di Politeknik Temasek

Encik Saktiandi berkata mesyuarat pengenalan yang diadakan itu merupakan satu permulaan, dan mereka akan mengadakan sesi pendekatan bersama masyarakat dalam beberapa bulan mendatang untuk mendapatkan pandangan.

“Bersama, kita boleh membina sebuah masyarakat yang memanfaatkan kekuatannya dan merebut peluang di hadapan,” kata beliau.