Jemaah di Masjid Al-Istiqamah di Serangoon North Avenue 2 telah diarahkan untuk keluar dari masjid sejurus selepas solat Asar pada 24 September selepas masjid itu menerima sebuah bungkusan mencurigakan.
Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH), Pasukan Polis Singapura (SPF) berkata mereka dimaklumkan mengenai kes itu sekitar 5.20 petang.
Masjid tersebut telah dikosongkan oleh polis dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) sebagai langkah berjaga-jaga dengan siasatan sedang dijalankan.
“Orang ramai dinasihatkan untuk mengelakkan kawasan sekitar lokasi itu,” kata polis.
Ia menambah bahawa anggota polis dan SCDF berada di lokasi untuk menilai dan menguruskan keadaan.
Semasa BH berada di kawasan itu pada sekitar 8.20 malam, jalan raya di Serangoon North Ave 2 ditutup untuk memberi laluan kepada beberapa kenderaan SCDF dan SPF.
Terdapat tiga lori SCDF, satu kereta SCDF, satu motosikal Polis Trafik (TP), anggota SCDF yang memakai pakaian bomba, dan pakar bahan berbahaya (HazMat) serta dua kereta mereka.
Setiap anggota SPF di lokasi juga dilihat memegang alat membantu pernafasan.
Paramedik SCDF juga dilihat memasuki masjid pada 9.18 malam dengan satu beg putih yang besar.
Wartawan BH turut memerhatikan terdapat beberapa kakitangan masjid yang masih berada di dalam masjid. Mereka hanya dibenarkan meninggalkan masjid sekitar 9.35 malam selepas kawasan tidak dikepung lagi.
Seorang wanita yang difahamkan merupakan kakitangan masjid berusia 40-an tahun, telah diusung keluar masjid dan memakai pelitup oksigen semasa menaiki ambulans.
SCDF memaklumkan bahawa mereka menerima panggilan kecemasan sekitar 5.45 petang, dengan HazMat sedang menjalankan siasatan.
Tiada bahan berbahaya ditemui selepas pemeriksaan menggunakan pengesan dijalankan, menurut makluman terkini.
“SCDF telah menilai seorang individu yang mengalami sesak nafas,” katanya, sambil menambah bahawa individu tersebut telah dibawa ke Hospital Besar Sengkang.
Sekatan jalan raya kemudian dibuka semula pada sekitar 9.20 malam manakala, kedua-dua lori HazMat beredar pada sekitar 9.23 dan 9.33 malam masing-masing.
Sekitar 10.30 malam, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim dilihat memasuki masjid.
Dalam satu kenyataan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) kepada BH, mereka berkata:
“Muis maklum bahawa Masjid Al-Istiqamah telah menerima sebuah bungkusan mencurigakan pada Rabu, 24 September 2025.
“Siasatan polis masih dijalankan. Muis sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa mengenai perkara ini.”
Bercakap kepada media, Dr Faishal berkata bahawa pihak berkuasa mengambil berat insiden itu.
“Insiden ini amat serius dan kami sedang menyiasat perkara ini. Insiden sebegini tidak boleh diterima. Pihak polis sedang menjalankan siasatan, dan kami akan melakukan segala yang mungkin untuk memastikan keselamatan masyarakat,” ujar beliau.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pihak masjid atas kewaspadaan dan kerjasama mereka dengan pihak berkuasa kerana sokongan mereka amat penting dalam membantu siasatan ini.
Dr Faishal juga menyeru masyarakat agar kekal bertenang dan memberi jaminan yang masjid-masjid adalah tetap ruang selamat.
“Saya menggesa semua untuk bertenang, sentiasa berwaspada, dan tidak menyebarkan sebarang maklumat yang palsu atau tidak benar sementara siasatan sedang dijalankan.
“Yakinlah bahawa masjid-masjid kita akan terus menjadi ruang ibadah yang selamat bagi masyarakat. Masjid akan terus beroperasi, malah solat subuh pagi esok (25 September) akan diadakan seperti biasa,” tambah beliau.
Sementara itu, Dr Faishal juga memberi keyakinan bahawa seorang kakitangan masjid yang dibawa ke hospital kini dalam keadaan stabil dan akan terus dipantau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg