Jemaah haji Singapura telah selesai melontar jamrah di Mina pada 8 Jun, kata Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Kadir Maideen, dalam satu catatan di media sosial.
Encik Kadir, yang juga Ketua Delegasi Haji, berkata beliau tersentuh melihat jemaah melakukan ibadah tersebut.
“Setiap daripada tiga tiang (jamrah) itu melambangkan saat Nabi Ibrahim as melontar batu kepada syaitan, yang cuba menghalangnya daripada mematuhi perintah Allah swt untuk mengorbankan anaknya, Nabi Ismail as.
“Menyaksikan jemaah haji kami melakukan ibadah suci ini dengan penuh keikhlasan begitu menyentuh hati saya.
“Tindakan melontar batu berfungsi sebagai peringatan yang kuat tentang cabaran yang kita semua hadapi – saat-saat godaan cuba menyesatkan kita.
“Namun, sebagaimana Nabi Ibrahim as tetap teguh, kita juga terus berusaha untuk melakukan perkara yang betul dan menjadi versi terbaik diri kita,” kata Encik Kadir.
Ibadah melontar jamrah dilakukan oleh jemaah haji pada hari-hari Tasyrik selepas berwukuf di Arafah.
Ia melibatkan jemaah melontar tujuh batu kecil ke arah tiga tiang jamrah yang melambangkan tempat Nabi Ibrahim as dikatakan menolak hasutan syaitan.
Melontar jamrah bukan sekadar memenuhi tuntutan ibadah, ia juga simbol penolakan terhadap sifat mazmumah seperti kesombongan, kedegilan dan nafsu amarah.
Ia menjadi ikrar untuk memperbaharui diri sebagai insan yang lebih taat dan bersih jiwa selepas menunaikan haji.
“Sedang jemaah haji kami kembali ke Kaabah untuk menyempurnakan ibadah haji yang terakhir, saya berdoa agar Allah swt menerima ibadah mereka, memaafkan kekurangan mereka dan memberkati mereka dengan haji yang mengubah hati dan kehidupan mereka menjadi lebih baik,” tambah Encik Kadir dalam catatannya itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg