Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) akan terus bekerja rapat dengan Arab Saudi untuk mendapatkan kuota haji yang lebih besar untuk jemaah Singapura, kata Ketua Eksekutif, Encik Kadir Maideen.
Menulis dalam satu kiriman Facebook pada 9 Jun, beliau berkata Muis memahami bahawa masih ramai yang menanti giliran mereka dipanggil untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.
Meskipun Muis tiada kawalan ke atas kuota haji yang ditentukan oleh pihak Arab Saudi, mereka komited sepenuhnya untuk melakukan segala yang mereka mampu, tambah beliau.
“Kami dengar keinginan anda. Tidak mudah untuk menunggu bagi nama anda dipanggil tahun demi tahun.
“Ketahuilah bahawa Muis terus bekerja rapat dengan rakan sejawatan kami di Arab Saudi untuk mendapatkan kuota lebih besar untuk Singapura.
“Meskipun kami mungkin tiada kawalan ke atas angka (kuota) akhir, kami komited sepenuhnya untuk melakukan segala yang kami mampu – dan sementara itu, memastikan setiap jemaah yang pergi telah membuat persiapan yang baik dan dijaga dengan baik.
“Semoga Allah swt menerima semua usaha kita, mempermudahkan jalan bagi mereka yang masih menunggu, dan membimbing kita dengan keikhlasan dan kebijaksanaan dalam tugas suci ini,” kata beliau.
Pada 2025, Encik Kadir memimpin delegasi haji negara ini yang terdiri daripada seramai 900 anggota jemaah dari Singapura.
Kuota jemaah haji Singapura telah kekal pada 900 sejak 2018, kecuali pada 2022 semasa pandemik Covid-19 apabila ia dikurangkan kepada 407 tempat.
Kuota haji rasmi Singapura adalah berdasarkan 0.1 peratus penduduk Islam di Singapura. Formula 0.1 peratus itu diputuskan oleh Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada 1987.
Sekitar 62,000 warga Singapura kini dalam senarai menunggu untuk menunaikan haji.
Sementara itu, Encik Kadir turut berkongsi bahawa Pejabat Ehwal Jemaah Singapura (SPAO) telah diberi Anugerah Emas Labbaitum oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.
Anugerah tersebut mengiktiraf pasukan yang berkhidmat dengan cemerlang, untuk memastikan jemaah haji menerima penjagaan dan sokongan bermutu sepanjang perjalanan mereka.
Encik Kadir berkata penghargaan itu benar-benar adalah untuk ramai individu yang bekerja tanpa lelah – sering kali secara senyap di belakang tabir – beberapa bulan sebelum musim haji bermula.
“Daripada pegawai kami yang mengendalikan pendaftaran dengan sabar dan belas kasihan, kepada pasukan teknologi kami yang mempertingkatkan aplikasi PilgrimSG, individu di sebalik program Get Fit for Haji, dan kakitangan barisan depan yang berjalan setiap langkah bersama jemaah haji kita – terima kasih dari lubuk hati saya.
“Saya juga berterima kasih kepada rakan kongsi kami di Konsulat Singapura di Jeddah dan Persatuan Ejen-Ejen Pelancong Muslim Singapura (Amtas) – sokongan tidak berbelah bahagi anda telah menjadikan detik penting ini satu kenyataan,” kata beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg