Apabila Encik Mohammad Aniq Haqif Abdullah mula menyertai kumpulan tarian Dharma Endari di Politeknik Republic (RP), beliau merupakan satu-satunya penari lelaki dalam kumpulan tarian Melayu itu.

Namun, pemuda berusia 20 tahun itu kemudian meniti tangga kejayaan menjadi kapten tarian bagi kumpulan itu serta gigih membantu untuk menarik lebih ramai penari lelaki, sambil mengembangkan minatnya sendiri dalam bidang koreografi.

Encik Aniq mula mengenali tarian Melayu secara tidak sengaja ketika di Darjah 3 selepas seorang guru memerlukan lebih ramai murid lelaki menyertai kegiatan kokurikulum (CCA) itu.

Kini, beliau berlatih tarian bersama Sri Warisan Som Said Performing Arts dan membuat persembahan di beberapa festival luar negara, termasuk di Perancis dan Belgium.

Beliau turut membantu untuk memperhalusi persembahan kumpulan tarian Dharma Endari bagi Mutiara Tari 2024, yang menyaksikan kumpulan itu mengekalkan gelaran juara keseluruhan selain memenangi Koreografi Terbaik dan Kostum Terbaik.

Sumbangannya turut melayakkan beliau menerima Artis Terbaik dalam edisi sulung anugerah Kecemerlangan Pelajar Inspirasi Politeknik Republic (Rise), yang mengiktiraf sumbangan pelajar dan alumni dalam bidang seperti sukan, seni, khidmat masyarakat dan kepimpinan.

Minat Encik Aniq terhadap tarian Melayu tidak muncul serta-merta.

Ketika gurunya mengajaknya menyertai tarian Melayu dahulu semasa di Darjah 3, fikirannya lebih tertumpu kepada bola sepak.

Malah, beliau pada mulanya bersetuju untuk menari selama setahun sahaja selepas mengetahui beberapa rakan lelakinya turut menyertai CCA tarian.

Empat daripada mereka akhirnya berhenti, tetapi Encik Aniq memilih untuk terus menari.

“Saya tahu dalam hati, tarian Melayu bukan sekadar hobi. Ia lebih daripada itu,” katanya.

Di sekolah rendah, beliau mengimbangi CCA tarian dengan bola lantai, sebelum memilih badminton ketika di sekolah menengah atas permintaan ibunya.

Namun, Encik Aniq tidak mahu meninggalkan tarian sepenuhnya lalu menyertai Sri Warisan di luar sekolah.

Pendedahan kepada pelbagai gaya tarian tradisional dan kontemporari di Sri Warisan kemudian mencetuskan minatnya terhadap koreografi.

Apabila memasuki RP, cabaran lain pula menantinya.

Melihat Dharma Endari ketika itu kekurangan penari lelaki, Encik Aniq mencadangkan agar bahan publisiti kumpulan itu turut menampilkan wajah penari lelaki, supaya tarian Melayu tidak dilihat sebagai kegiatan khusus untuk wanita.

Usaha itu perlahan-lahan membuahkan hasil, dengan lebih ramai lelaki menyertai kumpulan tersebut.

Sebagai kapten tarian Dharma Endari, beliau turut bekerja rapat dengan jurutari kumpulan itu, bagi memperhalusi gerakan dan perincian persembahan untuk Mutiara Tari 2024, sebuah peraduan tarian. 

Pengalamannya membuat persembahan di luar negara pula membuka matanya kepada pelbagai budaya dan seni dari negara lain.

Kini, selepas menamatkan pengajian di RP pada Mei, Encik Aniq mahu membawa minat itu ke tahap seterusnya dengan melanjutkan pelajaran dalam bidang koreografi di luar negara, sebelum kembali menyumbang kepada seni tari Melayu Singapura.

Baginya, anugerah Rise bukan penamat perjalanan.

Sebaliknya, ia menjadi motivasi dan pengesahan bahawa tahun-tahun yang dicurahkannya kepada seni tari tidak sia-sia dan masih banyak yang mahu dilakukannya untuk memastikan tarian Melayu terus berkembang.

“

Saya tahu dalam hati, tarian Melayu bukan sekadar hobi. Ia lebih daripada itu.
Encik Mohammad Aniq Haqif Abdullah.