Setiap kali wang tidak mencukupi, barangan dapur antara yang terpaksa dikurangkan oleh ibu tunggal lima anak, Cik Siti Norasikin Mohd Shah, 43 tahun, yang tidak dapat bekerja dan kini banyak bergantung pada pendapatan tidak menentu anak sulungnya.

Justeru peluang memilih sendiri barangan runcit dan keperluan harian bernilai sehingga $100 di Kindness Market Maybank Singapore pada 5 September lalu memberi sedikit kelegaan buat Cik Siti, yang merupakan antara sekitar 3,000 penerima manfaat acara itu.

Diadakan di Singapore Expo Hall 4, inisiatif anjuran Maybank Singapore dan Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East itu melibatkan 27 rakan masyarakat, termasuk 13 pertubuhan Melayu/Islam seperti Pertapis, serta 1,300 sukarelawan Maybank yang bertindak sebagai pendamping dan pembeli peribadi atau ‘personal shopper’.

Anak sulung Cik Siti, Cik Nur Rilla Nabilla Rohaizat, 23 tahun, bekerja di sebuah gudang secara sambilan apabila dipanggil bekerja, sekali gus menyebabkan pendapatan yang diterima tidak menentu.

Dalam keadaan itu, beliau perlu lebih berhati-hati mengurus perbelanjaan keluarga, terutama bagi barangan dapur, dan memilih untuk lebih kerap memasak di rumah bagi mengurangkan kos makan di luar.

“Cabaran ialah dari segi kewangan, barang-barang dalam rumah macam dapur dan sebagainya. Sebab saya dah tak boleh kerja, hanya harapkan anak saya,” katanya.

Baginya pengalaman di Kindness Market berbeza kerana beliau bukan sahaja menerima bantuan, malah diberi kebebasan menentukan sendiri barangan yang paling diperlukan keluarganya.

“Yang ini kira beruntung sedikit sebab percuma. Kita boleh ambil apa yang sepatutnya,” katanya.

Seorang lagi penerima manfaat Pertapis, Cik Hadrawati Abdul Rahman, 50 tahun, turut berdepan dilema serupa apabila wang yang ada perlu dibahagikan antara keperluan rumah, persekolahan anak-anak dan urusan perubatan.

Cik Hadrawati, yang tidak bekerja dan mempunyai tujuh anak, kini tinggal bersama dua anaknya yang berusia 13 dan 16 tahun serta menjaga seorang cucu.

Beliau berkata, ada kalanya barangan seperti susu terpaksa diketepikan, supaya wang dapat digunakan bagi keperluan persekolahan anak-anak serta pemeriksaan kesihatannya di hospital.

Di Kindness Market, beliau dapat memilih sendiri barangan seperti beras, susu dan kopi.

“Alhamdulillah, bersyukur dapat barang-barang yang saya boleh pilih... cukup membantu,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Pertapis, Encik Firdaus D’Cruz, berkata pertubuhan yang sudah beroperasi selama 56 tahun itu kini menyokong sekitar 500 keluarga.

Menurutnya, keperluan setiap keluarga tidak sama, dengan sesetengahnya mempunyai anak kecil manakala yang lain perlu menjaga warga emas.

Justeru, konsep Kindness Market yang membolehkan penerima menentukan sendiri cara menggunakan kredit $100 memberi mereka pilihan dan kebebasan untuk menilai apa yang benar-benar diperlukan di rumah.

Beliau berkata, pendekatan itu juga mengelakkan keadaan di mana keluarga menerima barangan yang mungkin sudah dimiliki atau tidak diperlukan.

Encik Firdaus turut berharap masyarakat tidak mudah menganggap keluarga yang menerima bantuan sebagai tidak bermotivasi atau tidak berusaha memperbaiki kehidupan mereka.

Sebaliknya, katanya, ramai keluarga yang ditemui Pertapis mahu memperbaiki keadaan hidup tetapi berdepan cabaran dan keadaan di luar kawalan mereka sehingga memerlukan sokongan.

“Kita sebenarnya bertemu dengan ramai keluarga yang bermotivasi, yang ingin memperbaiki diri mereka sendiri. Mereka memerlukan bantuan, mereka memerlukan sokongan,” katanya.

Sukarelawan, Encik Zul Hakim Jumat, 34 tahun, pula berkata bahawa pengalamannya sebagai ‘personal shopper’ membuka matanya kepada bagaimana sesuatu yang kelihatan kecil boleh membawa makna besar kepada penerima manfaat.

Beliau turut tersentuh melihat hubungan erat sesetengah keluarga, termasuk mereka yang hadir bersama anak dan cucu untuk membeli-belah.

Bagi Encik Zul Hakim, yang merupakan Ketua, Strategi Berasaskan Nilai dan Impak (Serantau), Pengurusan Kekayaan Islam Kumpulan Maybank, pengalaman itu memberi peluang kepadanya untuk mengetepikan seketika kesibukan kerja dan meluangkan masa berinteraksi secara langsung dengan keluarga yang dibantu.

Secara keseluruhan, Kindness Market 2026 mengagihkan sokongan bernilai lebih $590,000.

Jumlah penerima manfaat tahun ini (2026) juga meningkat lebih 75 peratus daripada sekitar 1,690 orang pada 2025.

Menurut jurucakap Maybank, Cik Rufaidah Mohd Kamal, 32 tahun, matlamat inisiatif itu bukan sahaja untuk memenuhi keperluan harian penerima, malah memberi mereka pilihan serta mewujudkan interaksi yang lebih bermakna dengan sukarelawan.