Topik diikuti
Pergi ke BHkuLebih ketat, tapi penilaian kesihatan haji 2027 manfaatkan jemaah S’pura
GSA: Penilaian kesihatan haji baru perkukuh persiapan jemaah
Lebih ketat, tapi penilaian kesihatan haji 2027 manfaatkan jemaah S’pura
Sebaik Surat Hasrat (LOI) berada di genggaman pada 14 September lalu, pasangan suami isteri Encik Jashirudeen Abdul Rahiman, 60 tahun, dan Cik Fawziah Jainullabudeen, 55 tahun, tidak henti mengungkapkan kata syukur.
Namun, perasaan gembira itu turut diselimuti kebimbangan.
Mereka pernah berada dalam keadaan serupa pada akhir 2025, selepas menerima LOI buat kali pertama. Namun mereka tidak menerima surat tawaran untuk menunaikan haji pada 2026 selepas menjalani penilaian kesihatan.
Ujian penilaian kesihatan sebagai antara syarat untuk disertakan dalam rombongan haji dari Singapura dilaksanakan buat kali pertama bagi musim haji 2026.
Kali ini, sebagaimana yang diumumkan oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) pada 4 September lalu, penilaian tersebut telah diperketat untuk bakal jemaah Haji 2027.
Justeru, walaupun Encik Jashirudeen dan isterinya menyambut baik pendekatan baru yang lebih berstruktur tersebut, rasa khuatir tetap menyelubungi mereka.
“Daripada satu aspek, ujian ini bagus kerana ia memberitahu tahap kesihatan fizikal kita,” kata Encik Jashirudeen.
“Namun, pada masa yang sama, ia juga digunakan untuk menilai sama ada kita layak atau tidak. Maka, timbul dua perasaan yang berbelah bahagi – satu aspek kita menyambut baik ujian ini, tetapi di satu aspek yang lain timbul rasa bimbang.”
Kekhuatiran yang dirasai pasangan itu turut dikongsi beberapa warga Singapura lain yang dihubungi Berita Harian (BH) selepas mereka menerima LOI daripada MUIS sejak 14 September. Kuota haji bagi Singapura untuk musim haji 2027 ialah 900 orang.
Namun beberapa ejen pelancongan atau ejen penjualan pakej haji (GSA) yang dihubungi Berita Harian (BH) berkata penilaian kesihatan yang lebih ketat itu adalah wajar, memberi manfaat kepada bakal haji dan mengurangkan risiko mereka mengalami kerumitan berhubung tahap kesihatan mereka di Tanah Suci.
Berdasarkan pengalaman mereka saban tahun menguruskan rombongan haji dari Singapura, mereka memberitahu BH mengerjakan ibadah haji memerlukan kadar kecergasan jasmani tertentu, dan penilaian kesihatan yang diperketat sekurang-kurangnya boleh menambah kesedaran dalam kalangan jemaah mengenai cabaran fizikal yang bakal dihadapi di Makkah.
Justeru, mereka berkata saringan kesihatan itu bukan bertujuan untuk menyusahkan, sebaliknya bagi memastikan jemaah benar-benar sihat. Tambahan pula, ibadah haji memerlukan jemaah berdikari memandangkan mereka berada jauh daripada sistem sokongan keluarga di Singapura.
Tahap kecergasan yang baik akan membantu jemaah menyempurnakan ibadah dengan selesa, kata mereka.
Pengurus Besar Halijah Travels, Encik Haffidz Abdul Hamid, akur langkah MUIS memperketat penilaian kesihatan bagi bakal jemaah haji 2027 sejajar dengan syarat ibadah tersebut, yang menekankan aspek kemampuan dari segi kesihatan dan kewangan.
“Kriteria ini sama sekali tidak bertentangan dengan tuntutan agama,” ujar beliau.
“Ia akan pastikan jemaah benar-benar bersedia untuk lakukan haji kerana ia adalah ibadah fizikal yang memerlukan kecerdasan dan kesihatan,” kongsinya sambil menggariskan ibadah haji yang mencabar seperti sa’i, wuquf di arafah, dan melontar jamrah.
Menerusi pemerhatian beliau semasa musim haji 2026, Encik Haffidz mendapati bahawa secara keseluruhannya, jemaah dari seluruh dunia memerlukan tahap kesediaan fizikal dan kesihatan yang jauh lebih tinggi.
Beliau menjelaskan bahawa kesesakan jutaan jemaah seluruh dunia juga mampu memudahkan wabak untuk merebak, sekiranya jemaah yang berangkat tidak berada pada tahap kesihatan optimum.
“Dengan adanya keperluan itu untuk jemaah haji Singapura, ia akan memastikan jemaah kita cukup sedia untuk lakukan haji,” ujarnya.
Berkongsi pendapat itu, Pengarah Urusan Shahidah Travel & Tours, Encik Ayoob Angullia, menambah bahawa ibadah haji menuntut ketahanan fizikal dan stamina yang tinggi memandangkan jemaah secara puratanya perlu berjalan sehingga 10,000 langkah sehari.
Beliau memahami kerisauan masyarakat yang bimbang impian ke Tanah Suci dinafikan akibat masalah kesihatan setelah bertahun-tahun menunggu.
Walau bagaimanapun, beliau menasihatkan jemaah yang mempunyai penyakit sedia ada agar bersikap jujur dan berterus terang dengan pihak MUIS demi perancangan ibadah mereka yang lebih teratur.
“Sekiranya perlukan masa untuk berubat, permohonan boleh ditangguhkan – terpulang kepada kelulusan MUIS – bagi memberi ruang kepada proses penyembuhan sebelum berangkat,” kongsi beliau.
Sehubungan itu, Encik Ayoob menyarankan agar bakal jemaah mengambil langkah proaktif seawal mungkin dengan membina disiplin kendiri, mengukuhkan stamina, serta menjaga tahap hidrasi badan.
Penolong Setiausaha Persatuan Agensi Pelancongan Islam Singapura (Amtas), Cik Noor Faizah Mustaffa, turut menjelaskan bahawa ramai jemaah menyangka mereka mampu berdikari berdasarkan aktiviti harian biasa di rumah.
Namun, mereka sering terlepas pandang atau tidak membayangkan cabaran sebenar di Arab Saudi seperti cuaca panas terik, perjalanan jauh, dan tempo aktiviti yang pantas, katanya, menjawab soalan BH selepas bakal jemaah diberitahu mengenai penilaian kesihatan diperketat pada 4 September.
“Syarat kesihatan yang ditetapkan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi serta MUIS bukanlah satu hambatan untuk jemaah menunaikan haji.
“Sebaliknya, ia bertindak sebagai benteng saringan bagi memastikan jemaah berada dalam keadaan fizikal, mental, dan emosi yang kukuh demi menyempurnakan ibadah tersebut dengan selamat,” ujarnya.
Sistem kelayakan diperkukuh
Penilaian kesihatan dipertingkat bagi jemaah Haji 2027 – yang merangkumi ujian klinikal, darah, X-ray, ujian elektrokardiogram (ECG), dan kecergasan fizikal – diumumkan MUIS pada 4 September lalu di Hab Islam Singapura, demi memenuhi kriteria ketat Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi (MOHU).
Hasil daripada penilaian kesihatan terbaru itu, bakal jemaah haji akan digolongkan dalam tiga kategori – A (sihat), B (reviu), dan C (tidak sihat).
Bagi tujuan ini, MUIS telah melantik dua pusat saringan sehenti, iaitu di SATA CommHealth dan HMI Medical Centre.
Penilaian yang dipertingkat itu memperkukuh proses bagi musim haji 2026, yang merangkumi sistem mengisytihar kesihatan sendiri dan semakan Rekod Kesihatan Elektronik Kebangsaan (NEHR) bagi musim haji 2026 kata karyawan perubatan yang dihubungi BH.
Peranan Panel Penilaian Haji juga dipertingkat, terutama apabila memutuskan sama ada seseorang bakal jemaah boleh disertakan dalam rombongan haji dari Singapura.
Mengulas mengenai proses yang diperketat itu,Ketua Pegawai Perubatan Haji 2027, Dr Siti Sarina Mohd Sairazi memberitahu BH pada ketika itu bahawa panel tersebut bertujuan memberikan penilaian yang telus dan adil.
Ini khususnya bagi jemaah dalam Kategori B – mereka yang disifatkan menerusi penilaian kesihatan sebagai “samar-samar” antara sihat dengan tidak sihat – agar keupayaan mereka dapat dinilai dengan sewajarnya demi memastikan ibadah dapat dilaksanakan dengan selamat dan sempurna.
Menurut Doktor keluarga Banyan Clinic@JW, yang juga merupakan Panel Perubatan Haji, Dr Zuraimi Mohamed Dahlan, perubahan tersebut juga penting bagi mengelakkan isu kelulusan berdasarkan maklumat kesihatan yang kurang tepat seperti yang berlaku pada musim haji 2026.
Risau tapi tekad ‘lulus’ ujian
Seorang bakal jemaah berusia 59 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Cik Nur, 59 tahun berkata beliau mengganggap LOI yang diterimanya baru-baru ini sebagai peluang kedua untuk menunaikan haji selepas menangguhkan hasrat pada 2026.
Beliau, yang juga bekas pesakit barah yang telah sembuh sepenuhnya, berkata beliau menganggap saringan perubatan wajar sebelum menghadapi cabaran menunaikan ibadah haji.
“Pemeriksaan tambahan bagi jemaah seluruh negara itu penting, bukan sahaja untuk memastikan jemaah sihat, tetapi bebas dari sakit yang menular.
“Imbasan X-ray dada juga penting kerana memandang terdapat jutaan jemaah, penyakit seperti penyakit batuk kering, atau tuberkulosis (TB) mudah merebak,” kata Cik Nur yang sudah membuat janji temu penilaian kesihatan pada 23 September nanti. Beliau pernah menerima LOI bagi musim haji 2026, tetapi terpaksa menangguhkan hasrat menunaikan haji kerana mengutamakan penjagaan ibunya yang sakit tua dan meninggal dunia pada awal Mac 2026.
Cik Fawziah pula berkongsi beliau risau kerana perlu menjalani ujian tekanan darah dan ujian elektrokardiogram (ECG).
“Bacaan tekanan darah saya boleh turn naik, lebih-lebih lagi apabila saya berada dalam sekitaran atau berjumpa doktor baru,” kata beliau.
Cik Fawziah dan suaminya telah membuat janji temu menjalani penilaian kesihatan pada 21 September.
“Insya-Allah, kami berharap dapat melepasi saringan tahun ini dan seterusnya menerima Surat Tawaran Rasmi (LOO) kelak,” kata beliau lagi.
– Laporan tambahan oleh SHADI HANNAN.
