Topik diikuti
Pergi ke BHkuLihat tangisan anak ketika digari, pasangan tekad 'cuci tangan’ daripada dadah
Lihat tangisan anak ketika digari, pasangan tekad 'cuci tangan’ daripada dadah
Detik digari di hadapan tujuh anaknya di balai polis di Ang Mo Kio kekal sebagai memori paling mengguris hati buat Encik Muhammad Farhan Rahim, 37 tahun.
Sekitar Mac 2025, beliau dan isterinya, Cik Siti Sufiah Mohammad Othman, 34 tahun, diarahkan untuk ke balai polis tersebut untuk tujuan siasatan, sebelum diminta menjalani ujian air kencing yang mengesahkan kedua-duanya positif dadah methamphetamine.
“Anak perempuan saya bersandar pada saya dan bertanya, ‘Abi, adakah Abi akan masuk penjara?’ manakala seorang lagi menangis di pram.
“Ketika itu, saya sedar saya tidak mampu memberi perhatian kepada mereka bagi enam bulan akan datang,” ujar Encik Farhan sambil menitiskan air mata.
Demikian cerita yang dikongsi Encik Farhan dan isterinya ketika ditemui Berita Harian (BH) di Forum Rangkaian Pemulihan Badan Melayu/Islam (MMORN) pada 17 November di Masjid Sultan.
Di hadapan sekitar 200 hadirin yang terdiri daripada pemimpin masyarakat dan wakil daripada pelbagai pertubuhan, pasangan dengan tujuh anak berusia antara tiga dengan 14 tahun itu berkongsi liku-liku perjalanan silam serta perubahan hidup mereka.
Acara itu turut menyaksikan Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Ehwal Luar), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, mengumumkan pelancaran inisiatif Bersatu SG pada 2027.
Ia bertujuan mengurangkan stigma dan meningkatkan kesedaran mengenai usaha menangani penyalahgunaan dadah serta menyokong integrasi semula bekas pesalah dalam masyarakat.
Sebelum kejadian itu, Encik Farhan pernah dipenjara selama empat tahun pada 2008 atas kesalahan merusuh akibat terpengaruh dengan kumpulan kongsi gelap sejak sekolah menengah.
Mengimbau zaman membesar di kawasan Choa Chu Kang, Encik Farhan, yang kini bekerja sebagai pemandu penghantaran di syarikat Infinite, berkata:
“Keluarga saya sebenarnya baik, cuma saya tersilap pilih kawan. Sejak di peringkat menengah bawah, saya mula bergaul dengan rakan-rakan di bawah blok dan anggap kehidupan bersama kumpulan kongsi gelap ini sangat seronok.
“Pada usia muda, saya rasa bangga apabila orang lain rasa takut kepada kita.
“Bagi saya ketika itu, buat kacau dan larikan diri daripada polis memberikan satu kepuasan dan keseronokan tersendiri.”
Selepas dibebaskan pada 2012, beliau menjauhi kegiatan keganasan namun, terjebak dengan penyalahgunaan dadah.
Kerana menyangka mengambil dadah di rumah lebih sukar dikesan pihak berkuasa, beliau berani untuk lakukan sedemikian.
Alasannya ialah ingin mendapatkan tenaga agar dapat menjalani kehidupan seharian, terutama sekali apabila beliau bekerja bagi waktu yang panjang.
Hal tersebut turut dikongsi isterinya, Cik Sufiah, yang ketika itu merupakan suri rumah dan mempercayai bahan terlarang mampu memberinya tenaga tambahan untuk menguruskan kerja rumah serta anak-anak.
“Sebenarnya, tindakan itu sia-sia kerana walaupun ia buat kita berjaga dan bertenaga, akhirnya badan jadi lebih penat kerana tidak dapat rehat yang sebenar,” katanya, yang kini bekerja sebagai kru perkhidmatan di salah sebuah kedai makan.
Akibat perbuatan itu, kedua-dua Encik Farhan dan Cik Sufiah dimasukkan ke Pusat Pemulihan Dadah (DRC) pada Mac 2025, sebelum masing-masing dibebaskan pada Mac dan Mei 2026.
Bagi pasangan itu, detik perpisahan di balai polis ketika itu membuka mata mereka bahawa kesilapan tersebut menghukum emosi anak-anak, yang turut berdepan tekanan rakan sebaya terutama yang sudah meningkat remaja.
“Apa yang kami lalui di dalam (DRC) tidak seperti apa yang anak-anak lalui di luar.
“Emosi mereka juga terganggu, jadi, saya tidak mahu mereka melalui pengalaman perit itu lagi,” tegas Cik Sufiah.
Kini, selepas bersih daripada dadah, pasangan itu bersyukur terdapat pegawai pemulihan daripada Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) yang telah menawarkan mereka pelbagai program sokongan ketika mereka menjalani program berasaskan masyarakat (CBP).
Antara program yang dimanfaatkan Cik Sufiah termasuklah Lingkaran Keluarga Cemerlang (FEC) oleh Yayasan Mendaki, tempat beliau mendalami ilmu memperbaiki institusi kekeluargaan.
Bagi Encik Farhan pula, beliau aktif menyertai kerja amal mengagihkan barangan dapur untuk membantu golongan yang memerlukan.
Kini, Encik Farhan bertekad membantu lebih ramai golongan sepertinya agar mereka dapat berubah sebelum terlambat.
“Jangan tunggu sehingga keadaan menjadi terlalu parah atau merosakkan diri sendiri baru hendak menyesal.
“Mulakan langkah perubahan dari sekarang kerana pintu untuk kembali ke pangkal jalan sentiasa terbuka,” ujarnya.