Jawatankuasa Daya Ekonomi telah mengadakan mesyuarat pengenalannya baru-baru ini bersama wakil Melayu/Islam merentas pelbagai sektor, dan akan mula mengadakan siri pendekatan untuk mendapatkan pandangan tentang cara membantu pekerja merebut peluang ekonomi baharu.

Susulan itu, jawatankuasa tersebut menyasar mengemukakan satu laporan mengandungi saranan menjelang hujung 2026, kata dua pengerusi bersamanya, Encik Saktiandi Supaat, dan Dr Wan Rizal Wan Zakariah, kepada Berita Harian (BH).

Dalam hantaran Facebook pada 30 Jun, Encik Saktiandi turut mendedahkan 14 anggota, tidak termasuk dua pengerusi bersama, yang membentuk jawatankuasa tersebut, dengan Yayasan Mendaki dan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) turut terlibat sebagai sekretariat.

Kali pertama diumumkan semasa majlis Perjumpaan Hari Raya Menteri pada April 2026, jawatankuasa itu dibentuk bagi mengkaji saranan semakan strategi ekonomi (ESR) nasional, dan membantu perniagaan dan pekerja Melayu/Islam merebut pekerjaan lebih baik, peluang lebih luas dan pendapatan lebih tinggi.

Ini terutamanya di tengah-tengah perkembangan kecerdasan buatan (AI) yang telah mencetuskan kebimbangan pekerja tentang bagaimana mereka boleh memanfaatkan teknologi tersebut dan cara mengharungi landskap kerja yang lebih berdaya saing.

Encik Saktiandi merupakan pengerusi Jawatankuasa Parlimen Pemerintah (GPC) bagi Kewangan dan Perdagangan dan Perusahaan, yang juga Ketua Pakar Strategi Forex dan Ketua Penyelidikan Forex Pasaran Global Maybank.

Sementara itu, Dr Wan Rizal ialah Pengarah Pengurusan Pihak Berkepentingan, Perkhidmatan Kerjaya dan Kumpulan Perkongsian (CSPG) Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i), Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC).

Menjawab pertanyaan BH, Encik Saktiandi dan Dr Wan Rizal dalam satu jawapan bersama berkata jawatankuasa itu tidak memulakan tugas dengan tangan kosong, dengan ESR menyediakan hala tuju nasional bagi ekonomi masa depan.

“Peranan kami adalah menterjemahkannya kepada saranan praktikal yang khusus buat masyarakat, yang dapat membantu pekerja, karyawan, usahawan dan belia Melayu/Islam merebut peluang baharu serta mengharungi perubahan ekonomi.

“Lebih penting lagi, matlamat kami bukan sekadar membina daya tahan dalam masyarakat, tetapi juga keupayaan untuk maju ke hadapan bersama,” kata mereka.

Dalam tempoh beberapa bulan mendatang, jawatankuasa itu akan mengadakan siri pendekatan bersama empat kumpulan utama – belia dan penuntut institut pengajian tinggi (IHL); pekerja dalam sektor yang mudah terjejas dan sedang membuat peralihan; karyawan, pengurus dan eksekutif (PME); dan usahawan serta syarikat kecil dan sederhana (SME) – untuk mendengar keprihatinan, aspirasi dan idea mereka.

Sesi pendekatan tersebut akan dilaksanakan bersama e2i, Mendaki dan rakan-rakan M Kuasa Tiga+ (M³+).

“Perspektif mereka akan membantu membentuk tugas jawatankuasa itu dan memastikan saranan kami adalah praktikal, berasaskan realiti dan responsif terhadap landskap ekonomi yang berkembang,” kata dua pengerusi bersama itu.

Mengulas tentang anggota yang dipilih menyertai jawatankuasa itu pula, Encik Saktiandi dan Dr Wan Rizal berkata mereka berusaha membawa masuk perspektif daripada pelbagai lapisan masyarakat, industri dan kepakaran.

Oleh sebab itu, jawatankuasa tersebut telah mengumpulkan pemimpin korporat yang berpengalaman di samping pengasas dan pengamal perniagaan lebih muda, sekali gus menggabungkan pengalaman strategik dengan idea segar serta realiti kehidupan sebenar.

Para anggota juga secara bersama mewakili sektor pertumbuhan utama yang telah dikenal pasti dalam laporan ESR, tambah mereka.

Ini termasuk AI dan teknologi, teknologi kewangan dan start-up (syarikat pemula), aeroangkasa dan kejuruteraan, sains hayat, sumber manusia (HR) dan pembangunan tenaga kerja, kewangan Islam dan takaful, iklim dan prasarana, SME dan perdagangan, pendidikan, gerakan kesatuan sekerja; dan asatizah serta sektor masyarakat.

Pada dasarnya, Encik Saktiandi dan Dr Wan Rizal berkata, matlamat mereka adalah untuk memastikan masyarakat Melayu/Islam berada dalam kedudukan baik untuk berkembang maju dalam ekonomi masa depan.

Ini di samping memastikan ekonomi masa depan membawa kepada pekerjaan dan peluang yang lebih baik, dan kemungkinan yang lebih besar.

“Tidak kira latar belakang, setiap lapisan masyarakat – daripada pelajar, belia, pekerja matang/karyawan sehinggalah warga emas – boleh mendapat manfaat daripada akses dan penggunaan AI.

“Oleh itu, kita mesti menggunakan AI untuk memperkasakan pekerja, bukannya menggantikan mereka.

“Daya tahan ekonomi bererti melengkapkan individu, perniagaan, dan keluarga dengan keyakinan, kemahiran, serta peluang untuk menyesuaikan diri, berkembang, dan berjaya dalam dunia yang berubah pantas,” kata mereka.

Sementara itu, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Professor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, dalam satu hantaran Facebook pada 1 Julai berkata beliau mengalu-alukan sesi perbincangan jawatankuasa yang akan datang, dan menggalak masyarakat agar turut serta dalam membentuk saranan yang dapat mengukuhkan daya tahan serta kesiapsiagaan masyarakat untuk masa depan.

“Seiring dengan perkembangan ekonomi Singapura, kita mahu memastikan masyarakat kita bukan sekadar mampu menyesuaikan diri dengan perubahan, malah bersedia merebut peluang-peluang baharu yang terbuka.

“Justeru, kita perlu berganding bahu dan mendengar pelbagai pandangan, di samping memahami aspirasi serta cabaran yang dihadapi oleh golongan muda, pekerja, karyawan dan usahawan kita.

“Dengan itu, kita dapat terus memberikan sokongan yang relevan kepada mereka dalam dunia yang berubah dengan begitu pesat,” kata beliau.

ANGGOTA JAWATANKUASA DAYA EKONOMI

Pengerusi bersama: Encik Saktiandi Supaat dan Dr Wan Rizal Wan Zakariah

  1. Encik Matin Mohdari, Ketua Dasar Awam, Pemerintah dan Ehwal Korporat (Asia Tenggara dan Asia Selatan), Expedia Group;
  2. Encik Abdul Malik Hassan, Presiden Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS);
  3. Encik Aslam Sardar, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Institut Karyawan Sumber Manusia;
  4. Cik Noor Irdawaty Jammarudin, Setiausaha Agung, Kesatuan Pekerja Persekitaran Binaan dan Perdagangan Bandar;
  5. Dr N Erlyani Abdul Hamid, Ketua Strategi, Perancangan dan Perhubungan Awam, Hilleman Laboratories;
  6. Encik Zakir Hamid, Ketua Rantau, Asia Pasifik, Airbus Defence and Space;
  7. Encik Fathurrahman Faizal, Pengasas Bersama, Ranger Labs;
  8. Encik Shamir Rahim, Anggota Lembaga dan Pengasas, VersaFleet;
  9. Encik Fazli Isa, Naib Presiden, Prasarana Iklim, ThomasLloyd Group;
  10. Encik Sani Hamid, Ketua, Nasihat Kekayaan Islam, Financial Alliance Pte Ltd;
  11. Ustaz Muhammad Tarmizi Abdul Wahid, Presiden Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas);
  12. Cik Sainava Bee Bee, Ketua Pengedaran Takaful, Etiqa Insurance Singapore;
  13. Encik Mohammad Haikal Zainal Abidin, Jurutera Utama (Sofwe Prasarana), ST Engineering Satellite Systems Pte Ltd; dan
  14. Cik Aidli Mosbit, Pensyarah Kanan dalam Jurusan Hubungan Antarabangsa di Politeknik Temasek