Topik diikuti
Pergi ke BHkuMinat kunjung taman pupuk kesedaran belia pelihara alam sekitar
Minat kunjung taman pupuk kesedaran belia pelihara alam sekitar
Penerima Biasiswa Industri-NEA ingin teroka cara hurai masalah dalam bidang pengurusan sisa, amalan lestari
Minat kunjung taman pupuk kesedaran belia pelihara alam sekitar
Sejak kecil, Encik Rafli Nur Iman Suhaimi, gemar menghabiskan masa di taman dan kebun sambil memerhatikan tumbuh-tumbuhan serta hidupan liar di sekelilingnya.
Secara perlahan-lahan hobi mengamati alam sekitar itu bertukar menjadi nyala rasa yang mencetus kesedaran mendalam terhadap pemuliharaan alam semesta.
Kini, Encik Rafli, 20 tahun, pelajar Diploma Sains Sekitaran dan Kemampanan di Politeknik Ngee Ann (NP), berhasrat menjadikan minatnya itu sebagai kerjaya sepenuh masa dalam sektor perkhidmatan alam sekitar di Singapura.
Pada 12 Mac lalu, beliau merupakan antara 11 pelajar yang menerima Biasiswa Industri – Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), di Dewan Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE), Environment Building di Scotts Road.
Encik Rafli menerima biasiswanya yang ditaja syarikat khidmat pembersihan, RS Facilities Services Pte Ltd, daripada Menteri Negara Kanan (Pendidikan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Dr Janil Puthucheary.
Program Biasiswa Industri-NEA itu menarik bakat muda bagi menyertai industri perkhidmatan sekitaran.
Pada 2026, jumlah penerima biasiswanya, seramai 11 orang, merupakan bilangan paling ramai yang pernah tercatat dalam sejarah penyampaian biasiswa itu.
Ia mengiktiraf pelajar politeknik dan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) yang menunjukkan kecemerlangan akademik, potensi kepimpinan yang kukuh dan komitmen mendalam terhadap kemampanan sekitaran.
Ini merupakan edisi kelima program tersebut dengan 78 permohonan diterima daripada pelajar.
Selepas tamat pengajian, 11 penerima biasiswa itu akan bertugas sebagai penolong penganalisis sains data, pelatih pengurusan, penolong kejuruteraan mekatronik dan penyelia.
Syarikat yang menaja biasiswa terdiri daripada BNL Group, Cimelia Resource Recovery Pte Ltd, Hong Ye Group Pte Ltd, LS 2 Services Pte Ltd, Re Sustainability Cleantech Pte Ltd, dan RS Facilities Services Pte Ltd.
Tajaan biasiswa meliputi yuran pengajian, yuran wajib, dan elaun sara hidup.
RS Facilities Services Pte Ltd memberikan sekitar $15,000 setahun untuk pelajar politeknik dan $8,000 setahun untuk pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE).
Sejak Biasiswa Industri-NEA itu diperkenalkan pada Februari 2020, NEA telah menyokong 36 pelajar dalam pengajian mereka.
Dengan industri setempat mengemudi usaha menerapkan teknologi, robotik dan piawaian khidmat lebih tinggi, syarikat di sini juga rasakan lebih keperluan bagi mengambil bakat muda untuk menyuntik idea segar dan memastikan penyediaan khidmat penting dapat menjulang kebersihan dan kemampanan sekitaran.
Menurut NEA, usaha bersama semua rakan kerjasama kekal sebagai kunci dalam mengekalkan piawaian kebersihan awam yang tinggi dan memelihara alam sekitar demi masa hadapan yang cerah.
Dalam pada itu, Encik Rafli memberitahu Berita Harian (BH), sebagai anak sulung dua beradik, perjalanannya tidak mudah.
“Saya mengikuti pendidikan posmenengah di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) sebelum melanjutkan pengajian saya ke NP.
“Pengalaman baharu yang saya timba di NP membina daya tahan dan memperkukuh azam saya untuk terus menyumbang dalam bidang kemampanan.
“Saya sedar yang lebih penting adalah bagaimana kita berkembang dan bukannya di mana kita mulakan pengajian.
“Minat saya terhadap alam sekitar dipupuk sejak kecil melalui masa yang dihabiskan di luar rumah.
“Kunjungan ke taman awam mencetuskan rasa ingin tahu tentang ekosistem yang ada dan bagaimana spesies saling berinteraksi,” katanya.
Rasa ingin tahu itu kemudian diterjemahkan kepada satu tindakan kemasyarakatan.
Encik Rafli aktif dalam kegiatan sukarela termasuk projek pembersihan pantai di Taman East Coast serta usaha menghapuskan telur siput gondang emas, spesies perosak yang mengancam biodiversiti setempat, di Taman Bishan.
Melalui pengalaman tersebut, beliau menyedari bagaimana tingkah laku manusia boleh memberi kesan besar kepada alam sekitar.
“Ia membuka mata saya bahawa tindakan kecil boleh memberi kesan besar, sama ada baik atau sebaliknya,” ujarnya.
Selain kegiatan sukarela, Encik Rafli turut mengamalkan gaya hidup mampan dalam kehidupan harian.
Beliau mengawal perbelanjaan, jarang membeli pakaian baharu dan memilih untuk menderma pakaian yang tidak lagi digunakan sebagai usaha mengurangkan pembaziran.
Encik Rafli turut menyuarakan kebimbangan terhadap cabaran pengurusan sisa jangka panjang di Singapura, khususnya kapasiti terhad di Kawasan Pelupusan Sampah Semakau.
“Sebagai sebuah negara kecil, Singapura menghadapi cabaran genting apabila ruang tanah yang ada kini habis digunakan.
“Saya juga melihat usaha menebus guna pulau baharu atau memindahkan sisa ke negara jiran sebagai penyelesaian yang tidak mampan dan akur Pelan Hijau Singapura 2030 juga bertujuan untuk menangani krisis pengurusan sisa yang mendesak ini,” tambahnya.
Melangkah ke hadapan, Encik Rafli berharap dapat menyumbang kepada sektor perkhidmatan alam sekitar melalui penerokaan penyelesaian dalam bidang seperti pengurusan sisa, automasi dan amalan kelestarian.
Beliau juga ingin mengubah tanggapan sektor itu bukan hanya tertumpu kepada kerja pembersihan sisa dan sampah sarap, sebaliknya melibatkan aspek sains, kejuruteraan dan inovasi.
“Semangat saya membara untuk menyangkal mitos bahawa perkhidmatan alam sekitar hanyalah sekadar ‘pembersihan sampah’.
“Ia dengan menekankan bahawa bidang ini melibatkan pertimbangan kimia yang teliti untuk pembasmian serangga perosak, penyingkiran udara dan proses kitar semula, serta aplikasi kejuruteraan penting yang menggunakan automasi dalam proses seperti pengasingan sampah untuk melancarkan operasi industri,” ujar Encik Rafli.
Menerusi pengajiannya, Encik Rafli juga sedang membangun kemahiran teknikal dalam modul seperti pemantauan bunyi bising serta kesihatan, keselamatan dan sekitaran.
Ini membawa pada Sijil Tahap 2 program bizSAFE yang diiktiraf Majlis Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (WSHC).
“Saya adalah seseorang yang agak introspektif, di mana sifat ini secara semula jadi telah memupuk minat yang mendalam terhadap matematik dan sains.
“Subjek fizik amat menarik minat saya kerana ia pada dasarnya adalah matematik yang diberikan label dan unit saintifik.
“Perasaan ingin tahu tentang sistem dan corak inilah yang telah membentuk minat saya terhadap cabaran alam sekitar serta proses di sebalik penghuraian masalah yang wujud,” kongsinya.
“
“Minat saya terhadap alam sekitar dipupuk sejak kecil melalui masa yang dihabiskan di luar rumah. Kunjungan ke taman awam mencetuskan rasa ingin tahu tentang ekosistem yang ada dan bagaimana spesies saling berinteraksi... Pengalaman baharu yang saya timba di NP (Politeknik Ngee Ann) membina daya tahan dan memperkukuh azam saya untuk terus menyumbang dalam bidang kemampanan.”
