Mindef giat usaha padan NSman berkemahiran khas dengan peranan ketenteraan relevan
Mindef giat usaha padan NSman berkemahiran khas dengan peranan ketenteraan relevan
Seramai 850 Anggota Kerahan Perkhidmatan Negara (NSman) telah memanfaatkan Skim Pengerahan Kepakaran Dipertingkat (Enhanced Expertise Deployment Scheme), yang dilancarkan pada 2022 yang bertujuan menempatkan pekerja yang mempunyai kepakaran awam khusus dalam peranan ketenteraan yang relevan.
Ini termasuk lebih 220 NSmen pada 2025 yang ditempatkan semula ke bidang seperti undang-undang, siber, dan komunikasi strategik, kata Kementerian Pertahanan (Mindef) pada 21 Januari.
“Mindef telah mempertingkat usaha jangkauannya untuk meningkatkan kesedaran mengenai skim itu dalam kalangan NSmen,” kata kementerian itu, memberi respons kepada akhbar The Straits Times.
Menurut Mindef lagi, 10 taklimat telah disampaikan semasa latihan dalam kem (ICT) pada 2025, kepada lebih 3,500 NSmen.
“Mindef akan terus membina usaha ini dan meneroka titik sentuhan tambahan semasa ICT untuk mengukuhkan lagi kesedaran mengenai skim itu dalam kalangan NSmen,” jelasnya.
NSmen yang dikerahkan semula adalah antara 234 anggota yang dilantik sebagai pakar tentera kanan pada satu upacara yang diadakan di Institut Ketenteraan Safti pada 21 Jan.
Mereka terdiri daripada 25 askar daripada tentera darat, 28 askar angkatan laut, 31 askar angkatan udara, 144 askar Perkhidmatan DIgital dan Risikan serta enam daripada perkhidmatan bersama.
Berucap pada majlis itu, Menteri Negara (Pertahanan), Encik Desmond Choo, menyatakan bahawa kohort itu – yang mempunyai kepakaran dalam bidang seperti kejuruteraan, perisikan, perubatan tentera, dan keselamatan siber – merangkumi kumpulan NSmen terbesar daripada Skim Pengerahan Kepakaran Dipertingkat.

