Topik diikuti
Pergi ke BHkuMUIS agih $2.2j bantuan kos sara hidup kepada lebih 5,600 isi rumah penerima zakat
Menerusi bantuan Sokongan Kos Sara Hidup, setiap isi rumah terima sekurang-kurangnya $120
MUIS agih $2.2j bantuan kos sara hidup kepada lebih 5,600 isi rumah penerima zakat
Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) telah mengagihkan sebanyak $2.2 juta kepada lebih 5,600 isi rumah penerima zakat yang layak, kata badan berkanun itu pada 25 September.
Agihan khas itu ujarnya bertujuan memberikan bantuan tambahan kepada keluarga Muslim berpendapatan rendah bagi meringankan perbelanjaan harian mereka.
Menerusi bantuan Sokongan Kos Sara Hidup, setiap isi rumah menerima sekurang-kurangnya $120, manakala jumlah yang lebih tinggi diberikan kepada isi rumah yang mempunyai keperluan lebih besar berdasarkan pendapatan per kapita (PCI) mereka.
Dalam kenyataannya, MUIS berkata bantuan sekali sahaja itu – yang dibiayai oleh sumbangan zakat daripada masyarakat Islam – melengkapi Bantuan Kewangan Zakat bulanan MUIS serta bantuan kos sara hidup yang lebih luas daripada pemerintah.
“Ia mencerminkan komitmen MUIS dalam memastikan bantuan zakat kekal responsif terhadap keperluan penerima yang sentiasa berubah, di samping melengkapi ekosistem sokongan sosial Singapura yang lebih luas pada masa kini,” kata MUIS.
Pengagihan tersebut difahamkan bermula sejak Ogos lalu.
Memberikan komen selepas solat Jumaat di Masjid Khadijah pada 25 September, Pemangku Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad, berkata bantuan itu dapat dilaksanakan kerana setiap anggota masyarakat memainkan peranan.
“Ada keluarga dalam masyarakat kita yang mungkin menghadapi kesukaran mengurus perbelanjaan harian.
“Apabila kos meningkat dan keperluan keluarga bertambah, sedikit bantuan boleh meringankan beban,” katanya.
Menurutnya, masyarakat dapat membantu mereka yang memerlukan menerusi sumbangan zakat, sekali gus memperkukuh hubungan bersama.
“Setiap sumbangan adalah satu amanah untuk disalurkan dengan baik kepada mereka yang memerlukan sokongan. Bagi saya, inilah ihsan yang kita amalkan. Apabila kita mampu, kita memberi.
“Jika ada yang memerlukan bantuan, kita saling membantu. Inilah masyarakat yang ingin kita kukuhkan bersama,” tambahnya.
Ketua Eksekutif MUIS, Encik Kadir Maideen, pula berkata sokongan itu mencerminkan keutuhan zakat dan keprihatinan bersama masyarakat.
Ia sekali gus melengkapi usaha pemerintah untuk memberikan bantuan kewangan tambahan kepada keluarga rentan yang terjejas akibat peningkatan kos sara hidup.
“Sifat pemurah masyarakat Islam kita membolehkan kami menyokong keluarga yang mungkin menghadapi cabaran lebih besar.
“MUIS kekal komited untuk memastikan bantuan kami diberikan tepat pada waktunya dan sentiasa responsif, sambil kita bekerjasama dengan pemerintah serta rakan kongsi masyarakat untuk memartabatkan keluarga yang rentan,” katanya.
Pada 2025, MUIS telah mengagihkan $74.7 juta dana zakat kepada penerima yang layak merentasi kesemua lapan asnaf.
MUIS memastikan bahawa sekurang-kurangnya 40 peratus daripada keseluruhan agihan zakat disalurkan untuk menyokong penerima yang kurang berkemampuan, seperti mereka yang berada dalam kategori asnaf, fakir dan miskin.
“Ini menegaskan peranan zakat yang berterusan dan penting dalam membantu mereka yang memerlukan, serta membina masyarakat Islam yang lebih kukuh dan bersatu padu di Singapura,” kata MUIS.