Topik diikuti
Pergi ke BHkuMUIS nasihat jemaah haji 2027 berurusan hanya dengan ejen dilantik
MUIS nasihat jemaah haji 2027 berurusan hanya dengan ejen dilantik
Bakal jemaah musim haji 2027 digesa supaya tidak berurusan dengan individu atau ejen pelancongan tanpa kebenaran yang menawarkan pakej haji atau khidmat berkaitan, kata Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).
Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 5 November, MUIS berkata pakej dan perkhidmatan haji bagi jemaah Singapura di bawah aturan haji rasmi negara ini hanya harus ditempah daripada ejen pelancongan atau ejen penjualan (GSA) yang dilantik oleh mereka.
“Orang ramai harus mengesahkan status ejen pelancongan atau ejen penjualan melalui saluran rasmi MUIS sebelum membuat sebarang pembayaran atau komitmen.
“Mereka juga harus berhati-hati tentang sebarang tawaran yang melibatkan aturan visa alternatif atau dakwaan bahawa visa haji boleh dijamin di luar aturan haji rasmi Singapura,” kata MUIS.
Bagi musim haji 2027, MUIS telah meluluskan 37 pakej haji daripada 10 GSA yang dilantik.
Harga bagi 37 pakej itu adalah antara $13,864 dengan $21,199, bergantung pada pakej yang dipilih dan aturan penginapan bilik.
Bakal jemaah boleh memilih pakej bagi 18, 23, 25 atau 28 hari.
Harga pakej yang ditawarkan bagi musim haji 2027 itu lebih rendah berbanding harga antara $14,190 dengan $29,895 bagi pakej 24, 25 dan 29 hari yang ditawarkan untuk musim haji 2026.
Singapura telah diperuntukkan kuota rasmi 900 anggota jemaah bagi musim haji 2027, sama seperti tahun-tahun sebelum ini.
MUIS mengingatkan bakal jemaah bahawa hanya visa haji yang sah membenarkan mereka untuk menunaikan rukum Islam yang kelima itu.
“Mereka harus mematuhi semua syarat visa dan kemasukan yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi,” katanya.
Bakal jemaah turut digalak mempertimbangkan insurans pelancongan tambahan, terutamanya bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan dan keadaan lain yang di luar skop perlindungan Bantuan Perubatan Kecemasan (EMA).
Mereka boleh mendapatkan nasihat GSA dilantik untuk bimbingan lanjut.
Maklumat lanjut mengenai haji 2027 boleh didapati di laman web go.gov.sg/haj2027.
Orang ramai juga boleh menghubungi Pejabat Haji MUIS melalui e-mel di haj@muis.gov.sg, atau talian di 6350-5369.
SENARAI GSA YANG DILANTIK MUIS BAGI HAJI 2027
- Azza Travel & Tours
- Hagel Travel & Tours
- Hahnemann Travel & Tours
- Halijah Travels
- Hamidah Travel & Tours
- Jalaluddin Travel & Services
- Noor Mohamad Services & Travel
- Shahidah Travel & Tours
- Thoha Travel & Tours
- TM Fouzy Travel & Tours