Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

NDP 2025: Langkah keselamatan dipertingkat sekitar Padang

Orang awam dilarang bawa sepanduk, bendera, payung atau objek hebah tanda sokongan atau menentang individu atau kumpulan
Jul 29, 2025 | 5:12 PM
Langkah keselamatan akan diperketat di kawasan sekitar Padang  sempena Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) pada 9 Ogos 2025.
Langkah keselamatan akan diperketat di kawasan sekitar Padang sempena Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) pada 9 Ogos 2025. - Foto fail

Langkah keselamatan yang lebih ketat akan dilaksanakan di kawasan sekitar Padang pada 9 Ogos, selepas Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2025 diisytihar sebagai acara khas dengan keselamatan yang dipertingkat.

Dalam satu kenyataan media pada 29 Julai, polis berkata kawasan sekitar Padang – tempat NDP akan berlangsung – telah ditetapkan sebagai kawasan acara khas, dengan langkah keselamatan lebih ketat dilaksanakan bagi memastikan keselamatan awam.

Menurut The Straits Times (ST), kawasan berkenaan termasuk Clarke Quay, Bras Basah dan Taman Di Persisiran.

Di dalam kawasan itu, satu zon khas yang meliputi City Hall, Raffles Place dan Marina Bay, turut ditandakan sebagai tempat pemeriksaan keselamatan lebih ketat bakal dilaksana.

Pemeriksaan akan dijalankan ke atas semua individu dan kenderaan yang memasuki atau yang berada di dalam zon tersebut.

Pihak polis akan mempunyai kuasa untuk menolak kemasukan atau mengarahkan individu keluar dari zon itu, kata polis.

Langkah yang dipertingkat itu akan berkuat kuasa pada 9 Ogos dari tengah malam hingga 11.59 malam.

Pihak polis berkata adalah menjadi satu kesalahan membawa barang terlarang seperti senjata, bahan mudah terbakar, penyembur cat dan pesawat tanpa pemandu, termasuk dron, ke dalam kawasan acara khas itu.

Polis menegaskan bahawa orang awam akan tertakluk kepada pemeriksaan keselamatan.

Dalam senarai objek yang dilarang juga terdapat apa-apa sahaja yang mengandungi rujukan yang bertujuan menghebahkan sesuatu perkara atau “menunjukkan sokongan atau penentangan terhadap pandangan atau tindakan mana-mana orang, kumpulan atau pemerintah”.

Objek berkenaan termasuk sepanduk, bendera, pelekat dan payung, tambah polis.

Sesiapa yang didapati memiliki barang tersebut boleh ditangkap dan dikenakan denda sehingga $20,000, penjara sehingga 12 bulan, atau kedua-duanya sekali.

Barangan itu juga akan dirampas.

Penerbangan pesawat tanpa pemandu adalah dilarang sama sekali di dalam kawasan acara khas itu.

Pesalah boleh didakwa walaupun dron diterbangkan di luar kawasan yang ditetapkan, tetapi dengan cara yang boleh mengganggu, menjejas atau melambatkan pelaksanaan NDP 2025.

Jika didapati bersalah, pesalah boleh didenda sehingga $20,000 atau dipenjara sehingga 12 bulan, atau kedua-duanya sekali.

Pesawat tanpa pemandu itu juga akan dirampas.

Orang ramai dinasihatkan supaya memberi kerjasama sepenuhnya terhadap semua arahan polis dan diingatkan bahawa sebarang kegiatan yang menjejas keselamatan di kawasan itu akan ditangani dengan tegas berdasarkan undang-undang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg