Tugas utamanya ialah merawat pesakit sebagai pakar bedah kolorektum.
Namun di luar hospital, Dr Francis Seow-Choen, meluangkan masa di tengah alam semula jadi, merakam keindahan ular liar demi mendidik orang ramai agar lebih memahami dan menghargai reptilia yang sering disalahertikan itu.
Pakar bedah kolorektum berusia 68 tahun itu bukan sekadar pengamal perubatan. Beliau juga seorang pencinta alam yang meluangkan masa lapangnya menjelajah hutan di dalam dan luar negara, mendokumentasikan keindahan dan keunikan ular liar.
“Saya sudah suka binatang sejak kecil, tidak kira besar atau kecil. Tetapi apabila Covid-19 melanda, saya mula fokus pada ular di hutan kerana kami dilarang bergaul dengan orang di luar.
“Di situlah minat saya terhadap ular semakin mendalam,” jelas Dr Seow kepada Berita Harian (BH) dalam bahasa Melayu.
Minat tersebut kini dizahirkan dalam bentuk buku yang dilancarkan pada Januari 2025.
Ia mengandungi foto dan butiran tentang 75 spesies ular yang wujud di Singapura, dan lebih 100 jenis ular yang terdapat di negara berhampiran.
Buku berjudul, ‘A Guide to Land Snake of Singapore (Panduan Ular Darat Singapura)‘, setebal sekitar 500 muka surat.
Menurut Dr Seow, buku tersebut, yang mengambil masa sekitar lima tahun untuk disiapkan, bukan sekadar koleksi gambar, malah satu usaha menyampaikan mesej penting – bahawa ular bukanlah musuh manusia.
Dengan pengalaman lebih tiga dekad dalam bidang perubatan dan biologi, Dr Seow menggabungkan ketelitian saintifik dengan fotografi untuk mengetengahkan sisi lain ular supaya dapat mendidik masyarakat dan memupuk pemahaman yang lebih mendalam tentang haiwan yang sering ditakuti itu.
“Ramai orang takut ular. Ada yang nampak ular sahaja, sudah mahu pukul atau bunuhnya. Tetapi sebenarnya kebanyakan ular jinak.
“Kalau kita tidak ganggu mereka, mereka pun tidak ganggu kita,” ujar Dr Seow, yang juga pengasas klinik Seow-Choen Colorectal Surgery yang terletak di pusat beli-belah Paragon di Orchard Road.
Beliau berharap bukunya akan membantu orang ramai mengenali sifat ular, memahami habitat mereka dan akhirnya belajar hidup berdampingan dengan mereka.
Ini terutama sekali dalam konteks Singapura, sebuah pulau kecil yang padat dengan manusia tetapi juga kaya dengan biodiversiti, tambahnya.
Namun, misi Dr Seow itu bukan tanpa cabaran.
Beliau sering masuk hutan beberapa kali seminggu, pada waktu siang dan malam, untuk mencari serta merakam gambar ular.
“Sudah banyak kali saya dipatuk. Kadangkala, saya masuk hutan tetapi tidak dapat cari ular yang saya mahu cari,” akuinya.
Antara pengalaman yang paling diingatinya ialah ketika menemui ular blue coral, sejenis ular berbisa yang memakan ular lain dan dianggap ramai antara yang tercantik di dunia.
“Ramai penduduk Singapura tidak pernah lihat ular ini. Bahagian perutnya merah, dan atasnya biru terang.
“Apabila kali pertama teman saya beritahu saya tentang ular itu, saya ikut beliau… saya tidak sangka yang saya benar-benar jumpa ular itu,” katanya.
Untuk mendapatkan foto yang sempurna, Dr Seow berkata beliau perlu memahami tingkah laku ular, mengenal pasti habitat khusus bagi setiap spesies.
Malah, adakalanya ia termasuk mengatur kedudukan ular – dengan penuh hati-hati terutama jika ia ular berbisa – agar ia lebih sesuai dirakam.
Walaupun kerjayanya sebagai doktor dan minatnya terhadap ular kelihatan berbeza, bagi Dr Seow, kedua-duanya dipandu oleh prinsip yang sama.
“Pemerhatian terperinci, penyelidikan menyeluruh, dan usaha untuk menyumbang kepada pengetahuan manusia.
“Saya cari ular bukan semata-mata untuk ambil gambar cantik. Saya mahu fahami mereka, kumpul maklumat dan kongsi dengan orang ramai.
“Ini sama seperti dalam bidang perubatan. Kita kumpul data untuk faham penyakit dan bantu pesakit,” tambahnya.
Sebelum mendalami dunia ular, Dr Seow lebih dikenali dalam kalangan masyarakat haiwan sebagai penggemar serangga ranting.
Beliau telah menerbitkan lebih 10 buku mengenai serangga ranting berasal dari Singapura, Semenanjung Malaysia, Sumatera dan Borneo.
Dengan buku terkininya itu, Dr Seow berharap orang ramai akan melihat ular daripada perspektif baru, dan bukan sebagai haiwan menakutkan, tetapi sebagai sebahagian penting ekosistem.
“Ular juga cantik. Mereka ada tempat dalam dunia ini. Kita tidak perlu bunuh ular setiap kali kita nampaknya. Kalau kita faham mereka, kita boleh hidup bersama dengan aman,” katanya sambil tersenyum.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg