Apabila Kolonel Mohamed Firoz Ramjan menyertai Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) 17 tahun lalu, latihan siap siaga kecemasan ketika itu amat berbeza, dengan tumpuan lebih menjurus kepada latihan berulang, pengalaman di lapangan dan tunjuk ajar daripada pegawai kanan.
Namun, seiring perkembangan pesat landskap bandar dan kepadatan kawasan awam, bentuk krisis yang dihadapi juga kian berubah – daripada kebakaran di bangunan tinggi dan insiden pengangkutan berskala besar, kepada kecemasan yang melibatkan teknologi baru seperti kenderaan elektrik dan sistem tenaga solar.
Kini, sebagai Pengarah Akademi Pertahanan Awam (CDA), Kolonel Firoz, 46 tahun, bapa dua anak remaja berusia 14 dan 19 tahun, menerajui landskap latihan yang jauh lebih moden, menggabungkan sains, teknologi dan unsur realiti bagi melatih generasi baru anggota penyelamat.
Bagi memastikan latihan SCDF terus kekal relevan dengan cabaran masa kini, beliau mengetuai projek naik taraf besar-besaran kawasan latihan lapangan (FTA) di CDA, menjadikannya kemudahan moden yang mencerminkan persekitaran bandar sebenar.
Di atas kepimpinannya yang berkesan, beliau diiktiraf Anugerah Pencapaian Home Team (HTAA) yang disampaikan oleh Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, di Majlis Anugerah Menteri yang berlangsung di Akademi Home Team pada 29 Oktober.
Kolonel Firoz merupakan salah seorang daripada lima penerima HTAA.
Keseluruhannya, 130 pegawai diiktiraf dalam acara tahun ini (2025).
Berkongsi dengan Berita Harian (BH) sebelum majlis tersebut diadakan, Kolonel Firoz, yang sudah menggalas jawatan pengarah selama satu setengah tahun, berkata:
“Anugerah ini amat bermakna kerana ia mencerminkan usaha berpasukan dan keyakinan terhadap apa yang kami usahakan.
“Kami menubuhkan hampir 10 pasukan projek yang merangkumi pegawai daripada SCDF, Agensi Sains dan Teknologi Home Team (HTX) dan rakan-rakan kerjasama lain.
“Ada anggota yang ditugaskan semula di pertengahan projek dan ada yang baru menyertai pasukan projek ini, namun semua memberikan komitmen terbaik.
“Ia benar-benar mencerminkan ketabahan dan semangat kerja keras anggota pasukan.”
Projek naik taraf itu dimulakan pada 2019 dan dilaksanakan dalam tiga fasa – pada 2022, 2023 dan 2024 – bagi memastikan latihan dapat diteruskan tanpa gangguan, termasuk ketika pandemik Covid-19 melanda.
Setiap fasa direka bagi meningkatkan tahap realisme latihan dengan memastikan piawaian keselamatan kekal tinggi.
FTA yang dinaik taraf kini meliputi sekitar satu pertiga kawasan kampus CDA yang seluas 16 hektar di Jalan Bahar.
Ia dilengkapi simulasi berskala penuh seperti pusat beli-belah, stesen MRT, pusat pertukaran bas dan medan selera, bagi memberi pengalaman latihan yang mencerminkan keadaan sebenar yang bakal dihadapi di lapangan.
Antara kemudahan yang diusahakan ialah Makmal Penyesuaian dan Pembaikan Kesihatan Pasukan Kecemasan yang ditubuhkan dalam memberi tumpuan kepada prestasi anggota penyelamat dengan menerapkan lebih banyak unsur sains dan teknologi dalam latihan.
Sebagai tambahan, Pusat Penyelidikan Kebakaran (FRC) menempatkan kemudahan Ruang Latihan Tingkah Laku Kebakaran atau Compartment Fire Behaviour Training (CFBT) di mana pelatih SCDF boleh mengurus latihan kebakaran secara selamat dalam persekitaran terkawal.
“Kami tidak mahu mereka mengalami kebakaran sebenar buat kali pertama di lapangan.
“Kami mahu mereka melaluinya di sini, dengan keadaan yang paling realistik sebelum mereka dikerahkan,” ujar Kolonel Firoz.
FTA asal dibina pada 1999 dengan prasarana dan pensimulasi yang direka bagi menghadapi cabaran pada waktu itu.
Bagaimanapun, Kolonel Firoz akui kemudahan tersebut kini tidak lagi seiring dengan keperluan latihan semasa.
“Pada masa ini, kami sudah pun merancang fasa seterusnya untuk menaik taraf bahagian yang belum disentuh, memandangkan konteks kini berbeza.
“Naik taraf seterusnya mungkin mengambil masa tiga hingga lima tahun.
“Dalam bidang kerja kami, proses pembangunan tidak boleh berhenti. Kami mesti sentiasa peka dan mengikuti perkembangan bukan sahaja di dalam negara, malah di luar negara,” ujarnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg