Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penyanyi muda sedia buat penampilan solo pertama di NDP 2025

Impi masa hadapan S’pura lebih terangkum dengan masyarakat penuh kebaikan, belas ihsan
Aug 9, 2025 | 5:30 AM
Heema Izzati Zainuddin, ndp
Penyanyi dan penulis lagu muda, Heema Izzati Zainuddin, bersedia untuk penampilan solo pertamanya dalam Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2025, membawakan lagu ‘Room at the Table’ nyanyian dan gubahan asal artis tempatan, Charlie Lim. Gambar dirakam ketika pertunjukan Pendidikan Nasional pada 5 Julai. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Walaupun baru berusia 18 tahun, Heema Izzati Zainuddin sudah tidak asing lagi dengan penglibatan dalam Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP).

Kecil molek tetapi berjiwa besar, penyanyi dan penulis lagu muda itu bakal membuat penampilan solo pertamanya dalam NDP 2025.

Ini merupakan pengalaman yang amat berbeza, berbanding persembahan pertamanya sebagai pemain selo pada NDP 2020, ketika beliau baru berusia 13 tahun.

“Persembahan kali ini tertumpu kepada cara saya berhubung dengan penonton walaupun secara fizikal saya agak kecil berbanding dengan ribuan penonton lain yang berada di Padang.

“Saya akan berusaha menonjolkan suara dan emosi saya melalui gerak-geri tubuh dan ekspresi wajah supaya ia dapat dirasai penonton.

“Pada penghujungnya, apa yang saya boleh lakukan hanyalah berlatih di dalam bilik dan berharap segalanya akan terserlah semasa persembahan sebenar,” kongsi beliau ketika dihubungi Berita Harian (BH).

Menggambarkan pengalamannya membuat pertunjukan Pendidikan Nasional setakat ini sebagai sesuatu yang paling dihargainya, Heema berkongsi membuat persembahan di hadapan 27,000 penonton di Padang sebenarnya bukan sesuatu yang menggerunkan.

Sebaliknya, beliau meletakkan sepenuh kepercayaannya kepada kamera untuk memastikan emosi dan penghayatannya terserlah ketika menyanyikan lagu Room at the Table, nyanyian dan gubahan asal artis tempatan, Charlie Lim.

Lagu itu menyampaikan pesan mengenai keterangkuman dan kebaikan yang sangat dekat di hatinya.

Heema berharap masyarakat Singapura terus melangkah ke hadapan dengan menjunjung tinggi nilai itu pada masa depan.

“Malah secara peribadi, sebagai seorang remaja yang membesar di Singapura, saya sentiasa berusaha setiap hari untuk menjadi seorang yang lebih baik, lebih penyayang dan menunjukkan lebih empati.

“Saya benar-benar berharap, malah saya boleh katakan bahawa inilah hasrat utama saya sempena Hari Kebangsaan Singapura, agar kita semua dapat mencari ruang dalam diri kita untuk menjadi lebih penyayang dan penuh belas kasihan.

“Bagi saya, semangat kemasyarakatan itu amat penting,” ujar beliau.

Heema berkongsi, selain banyak bermuhasabah diri, pengalaman tersebut turut memberi kesan kepada karya seni yang sedang beliau hasilkan.

“Lagu ini dan pengalaman yang saya alami melalui SG60 benar-benar membuatkan saya berfikir tentang masa depan dan apa yang saya ingin sampaikan kepada dunia melalui seni saya,” katanya, yang bakal mengeluarkan EP pertama setelah tamat sambutan NDP.

Walaupun sukar mengimbangi komitmen terhadap pelajaran dan latihan NDP, pelajar Maktab Seni La Salle itu berkata memberi keutamaan kepada diri sendiri dan memastikan tidak berasa letih adalah kunci untuk sentiasa memberikan 110 peratus dalam apa jua yang dilakukan.

Dengan sokongan keluarganya yang menjadi penyokong setia di sebalik tabir setiap latihan, Heema berharap dapat membanggakan mereka.

... Secara peribadi, sebagai seorang remaja yang membesar di Singapura, saya sentiasa berusaha setiap hari untuk menjadi seorang yang lebih baik, lebih penyayang dan menunjukkan lebih empati.  Saya benar-benar berharap, malah saya boleh katakan bahawa inilah hasrat utama saya sempena Hari Kebangsaan Singapura, agar kita semua dapat mencari ruang dalam diri kita untuk menjadi lebih penyayang dan penuh belas kasihan. Bagi saya, semangat kemasyarakatan itu amat penting.
Heema Izzati Zainuddin, penyanyi dan penulis lagu.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg