Topik diikuti
Pergi ke BHkuPermintaan bagi ruang khusus perniagaan Melayu di TKC ‘baru’ lebihi jangkaan
DPPMS: 17 perniagaan suara minat buka kedai di ruang khusus niaga, inkubasi keusahawanan Melayu
Permintaan bagi ruang khusus perniagaan Melayu di TKC ‘baru’ lebihi jangkaan
Minat awal terhadap Tanjong Katong Complex (TKC) yang bakal berwajah baru menunjukkan permintaan yang baik, dengan 17 perniagaan sudah pun menyatakan minat secara rasmi untuk membuka kedai di pusat beli-belah Geylang Serai itu, kata Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS).
Ini khususnya bagi ruang perniagaan dan inkubasi keusahawanan Melayu di TKC yang diberi nafas baru itu, yang dibangunkan dan dikelolakan DPPMS.
Ruang khusus bagi perniagaan dan inkubasi keusahawanan Melayu di TKC yang berwajah baru itu adalah seluas sekitar 1,500 meter persegi – atau kira-kira 5 peratus daripada ruang lantai kasar maksimum sekitar 30,000 meter persegi.
Syarikat pemaju hartanah yang sedang menjalankan kerja-kerja naik taraf TKC, Elegant Group, memberitahu BH bahawa TKC yang diperbaharui itu dirancang menempatkan sekitar 220 unit, dengan 40 peratus daripadanya diperuntukkan untuk makanan dan minuman (F&B).
Jika mengambil pengiraan berdasarkan angka 5 peratus itu, ini bermakna kira-kira 11 unit akan tersedia bagi ruang khusus tersebut, lebih rendah berbanding jumlah perniagaan yang telah menyuarakan minat.
Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH), Pengarah Eksekutif DPPMS, Cik Nadiah Hassan, berkata sebahagian besar pernyataan minat yang diterima datang daripada perniagaan runcit.
Ini berdasarkan maklum balas yang diterima sejauh ini menerusi pendekatan dan juga tinjauan yang masih sedang dijalankan dalam kalangan anggotanya dan masyarakat perniagaan lebih luas.
“Respons sejauh ini menunjukkan minat yang baik terhadap ruang khusus itu,” kata Cik Nadiah.
“Meskipun jumlah pernyataan minat yang diterima kini melebihi bilangan unit yang dianggarkan tersedia, DPPMS akan terus membiarkan proses ini terbuka supaya kami dapat menilai dengan lebih baik permintaan, kesesuaian perniagaan, serta komposisi penyewa yang bakal ditempatkan kelak.
“Perniagaan runcit membentuk sekitar 60 peratus daripada pernyataan minat yang dicatatkan, dengan minat turut diterima daripada sektor-sektor lain,” kata Cik Nadiah lagi.
“DPPMS akan terus menilai permintaan dan kesesuaian perniagaan sebelum memuktamadkan sebarang komitmen penyewa.”
BH diberitahu DPPMS sedang bekerjasama dengan pihak relevan bagi perancangan ruang khusus untuk perniagaan dan usahawan Melayu itu, termasuk butiran konfigurasi unit dan campuran penyewa, dengan ia akan tertakluk kepada aturan pembangunan dan komersial keseluruhan.
Sebagai sebahagian daripada pendekatan inkubasi, Cik Nadiah berkata DPPMS sedang meneroka usaha untuk menawarkan “kadar sewa pengenalan” untuk perniagaan yang layak, tertakluk kepada terma dan syarat muktamad, dengan keutamaan diberikan kepada anggota DPPMS.
Bagaimanapun, pada ketika ini, DPPMS belum dapat berkongsi butiran lanjut, termasuk kelayakan dan tempoh kadar sewa pengenalan.
“DPMMS masih bekerjasama dengan pihak yang relevan mengenai rangka kerja penyewaan dan kriteria kelayakan bagi perniagaan dalam ruang inkubasi itu.
“Hasratnya adalah untuk menawarkan kadar pengenalan yang memberikan titik permulaan yang lebih membantu untuk perniagaan yang layak, di samping memastikan model keseluruhan kekal mampan dari segi komersial,” kata Cik Nadiah.
Ditanya apakah penyewa akan perlu membayar sewa pada kadar biasa selepas tempoh kadar pengenalan itu berakhir, Cik Nadiah berkata belum ditentukan lagi sama ada perniagaan akan dikenakan kadar komersial semasa atau kadar di bawah struktur yang berbeza.
“Ini akan bergantung pada terma penyewaan muktamad dan aturan komersial yang dipersetujui dengan pihak-pihak berkaitan,” kata beliau.
Ditanya juga sama ada mana-mana bekas penyewa TKC telah melahirkan minat untuk kembali, Cik Nadiah berkata pihaknya masih lagi menjalankan pendekatan dan mendapatkan maklum balas.
“Pada peringkat ini, kami masih mengumpulkan maklum balas tentang pernyataan minat dan menilai keperluan perniagaan, dan oleh itu, kami tidak mempunyai angka muktamad bagi jumlah bekas penyewa yang telah mengesahkan hasrat mereka untuk kembali,” kata beliau.
Cik Nadiah berkata DPPMS akan terus menyokong perniagaan menerusi perjalanan perkembangan mereka.
“Perniagaan dalam ekosistem ini berpotensi mendapat manfaat daripada bidang seperti khidmat nasihat perniagaan, pembangunan keupayaan, akses pasaran, pemasaran serta jalinan rangkaian perniagaan, bergantung pada keperluan masing-masing.
“Ini disokong melalui ekosistem DPPMS yang lebih luas, termasuk SMCCI Enterprise Pte Ltd (SEPL), iaitu sayap komersial DPPMS, dan Pusat SME@DPPMS, yang menyediakan sokongan khidmat nasihat perniagaan serta bertindak sebagai laluan utama kepada bantuan dan geran pemerintah yang relevan,” kata beliau.