Pesara bantu warga emas terap penggunaan digital
Pastikan golongan berusia kekal berdikari, yakin guna teknologi dalam masyarakat moden
Sebagai warga Singapura berusia 66 tahun, SM Syed Ali faham betapa mencabarnya dunia digital bagi golongan warga emas.
Lantas, setelah bersara daripada kerjayanya selama lebih tiga dekad dalam industri semikonduktor, beliau kini mengabadikan masanya sebagai Duta Kesejahteraan Infokom Warga Emas (Siwa).
Program itu, yang diterajui Pejabat Digital SG oleh Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) bersama Majlis Penuaan Aktif di bawah Persatuan Rakyat (PA), membolehkan warga emas berusia 50 tahun ke atas yang celik teknologi untuk menggalakkan penggunaan digital dalam kalangan masyarakat mereka tersendiri.
Sebagai duta, Syed Ali membimbing warga emas yang lain menjalani tugas harian, yang beliau berkata semakin bergantung pada telefon pintar.
Ini termasuk membuat bayaran menggunakan kod QR, memanfaatkan aplikasi PayNow dan PayLah, serta menggunakan wadah pemesejan seperti WhatsApp untuk berhubung dengan anggota keluarga.
Katanya, langkah-langkah itu mampu membuatkan warga emas berasa kurang terasing, membina keyakinan diri untuk menjadi lebih berdikari, serta memastikan warga emas kekal aktif secara mental dan sosial, khususnya dalam masyarakat yang semakin beralih kepada teknologi.
“Ramai warga emas bimbang mereka akan menjadi mangsa penipuan jika tersalah menekan butang pada telefon pintar mereka.
“Dengan memahami asas serta mencuba menggunakan telefon pintar sendiri, keyakinan itu akan muncul secara semula jadi,” tambahnya.
Pengamatan itu berdasarkan pengalaman beliau sebagai sukarelawan akar umbi di Redhill sejak 2000.
Sepanjang tempoh 25 tahun sebagai sukarelawan, beliau banyak berinteraksi dengan penduduk daripada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk warga emas yang memerlukan sokongan tambahan.
Justeru, ini membentuk kepekaannya terhadap cabaran harian yang dihadapi penduduk setempat dan mendorong beliau membimbing warga emas menyesuaikan diri dengan dunia digital.
Syed Ali, yang bersara pada 2012, memanfaatkan kepakaran teknologi yang diperoleh daripada pengalamannya sebagai pengurus rantaian bekalan global.
Jawatannya itu membuatkan beliau biasa menggunakan kod bar dan teknologi lain untuk meningkatkan kecekapan operasi di tempat kerja.
Di samping itu, pengetahuan berkaitan teknologi diperkayakan dengan ilmu yang dikongsi anak-anaknya sendiri, kata bapa dua anak itu.
Bagi Syed Ali, proses pembelajaran perlu melibatkan rasa ingin tahu dan kesediaan bertanya menjadi kunci untuk terus kekal relevan dalam dunia yang sentiasa berubah.
Sebagai pembimbing, beliau juga percaya seseorang itu perlu sabar, mengajar secara bertahap-tahap dan tidak bersikap menghakimi sepanjang proses pembelajaran.
Antara pendekatan yang digunakan Syed Ali ialah latihan praktikal.
Beliau akan menggalakkan warga berusia menggunakan baucar digital atau bayaran tanpa tunai untuk membeli barangan bernilai kecil, seperti tisu atau kopi di pusat penjaja.
“Mereka perlu cuba sendiri dan amalkannya (membayar menggunakan baucar digital) dalam rutin harian mereka, kalau tidak, mereka akan lupa,” jelasnya.
Dalam negara yang semakin beralih kepada pembayaran tanpa tunai dan bergantung kepada aplikasi, Syed Ali percaya usaha kecil di peringkat masyarakat mampu membawa perubahan besar.
“Kalau kita boleh membantu seseorang warga emas hari ini, esok lusa orang itu boleh membantu orang lain pula.
“Itulah makna sebenar proses pembelajaran dan proses pembangunan negara,” ujar beliau.
“
Kalau kita boleh membantu seseorang warga emas hari ini, esok lusa orang itu boleh membantu orang lain pula. Itulah makna sebenar proses pembelajaran dan proses pembangunan negara.
